Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS dakwa ‘rundingan baik’ dengan Iran, sedia gempur jika gagal
AS dakwa ‘rundingan baik’ dengan Iran, sedia gempur jika gagal
Iran sangkal dakwaan minta rundingan disambung
AS dakwa ‘rundingan baik’ dengan Iran, sedia gempur jika gagal
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata terdapat “peluang baik” untuk mencapai kejayaan menerusi rundingan baharu dengan Iran.
Namun, beliau memberi amaran serangan udara terhadap republik Islam itu akan disambung semula jika usaha diplomatik gagal.
Kenyataan itu dibuat ketika Amerika dan Iran memasuki hari ketiga tanpa sebarang serangan, selepas Washington menghentikan kempen pengeboman selama 13 malam yang bermula susulan pertikaian berhubung kawalan Iran ke atas Selat Hormuz.
Bercakap kepada pemberita di dalam pesawat, Air Force One, Encik Trump berkata beliau masih memberi ruang kepada usaha diplomatik, tetapi kesabarannya terbatas.
“Saya mempunyai banyak kesabaran. Kita akan lihat apakah yang berlaku. Saya fikir terdapat peluang yang baik sesuatu dapat dicapai,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa jika rundingan itu gagal, Washington akan kembali melancarkan tindakan ketenteraan.
“Jika ia tidak menjadi, kami akan kembali melakukan apa yang kami lakukan sebelum ini,” ujarnya.
Encik Trump turut mendakwa Iran kini mahu kembali berunding selepas mengalami kerosakan besar akibat serangan udara Amerika.
“Mereka bercakap dengan kami sekarang mengenai perjanjian.
“Iran menerima tamparan hebat dalam tempoh dua minggu lalu dan mereka meminta kami menghentikan serangan serta mengadakan pertemuan,” katanya.
Namun, Teheran segera menadikan dakwaan itu.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmail Baghaei, berkata tiada rundingan secara langsung sedang berlangsung antara kedua-dua negara.
“Pengantara mungkin menyampaikan mesej daripada pihak Amerika mengenai perkembangan semasa di rantau ini, tetapi pada masa ini kami tidak terlibat dalam sebarang rundingan dengan Amerika,” katanya.
Menurut Encik Baghaei, sebarang komunikasi hanya dilakukan melalui negara pengantara dan bukannya secara langsung.
Qatar dan Pakistan kini memainkan peranan sebagai orang tengah dalam usaha menghidupkan semula perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada 17 Jun lalu.
Perjanjian itu sebelum ini menghentikan serangan Amerika ke atas Iran, menamatkan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran dan membuka semula Selat Hormuz kepada pelayaran antarabangsa.
Bagaimanapun, perjanjian itu runtuh pada Julai ini selepas Iran mentafsirkan syarat berhubung Selat Hormuz sebagai memberikan kuasa kepadanya untuk mengawal laluan berkenaan.
Teheran kemudian mengarahkan kapal dagang menggunakan laluan tertentu berhampiran pantainya dan bertindak menyerang beberapa kapal tangki yang memilih laluan alternatif melalui perairan Oman.
Menjelang awal Julai, sebahagian besar trafik perkapalan di Selat Hormuz terhenti, menyebabkan harga minyak dunia kembali melonjak melepasi AS$100 ($129) setong.
Sebagai tindak balas, Amerika mengembalikan sekatan terhadap pelabuhan Iran dan menyambung semula serangan udara.
Walaupun serangan kini dihentikan buat sementara waktu, isu kawalan Selat Hormuz kekal menjadi halangan terbesar kepada sebarang penyelesaian damai.
Iran terus menegaskan bahawa ia mempunyai hak mengurus laluan strategik itu, yang menjadi laluan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran dilaporkan menahan beberapa kapal yang didakwa menyimpang daripada laluan pelayaran yang ditetapkan Teheran.
Encik Baghaei berkata Iran turut mengadakan perbincangan dengan Oman mengenai “prinsip bersama dan mekanisme operasi” bagi memastikan keselamatan pelayaran di Selat Hormuz.
Beliau bagaimanapun menegaskan Amerika tidak terbabit dalam rundingan tersebut.
Pada masa sama, beliau mengkritik Washington dengan menyifatkan tindakan negara itu sejak beberapa tahun lalu “menyerupai kumpulan mafia yang tidak mematuhi sebarang undang-undang atau peraturan antarabangsa.”
Sementara itu, Encik Trump menolak dakwaan bahawa bekalan peluru Amerika semakin berkurangan selepas hampir lima bulan konflik.
“Kami mempunyai banyak peluru. Kami juga mempunyai bekalan peluru sederhana yang lebih daripada mencukupi,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui Washington mahu menambah lagi bekalan senjata kerana sebahagian daripadanya telah disalurkan kepada Ukraine.
Perkembangan diplomatik itu berlaku ketika Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dijangka mengadakan pertemuan dengan Encik Trump di Rumah Putih.
Penganalisis berpendapat Encik Netanyahu dijangka mendesak Washington supaya meneruskan tekanan ketenteraan terhadap Iran, berbeza dengan pendekatan Encik Trump yang kini cuba memberi peluang kepada rundingan.
Dalam perkembangan berasingan, Arab Saudi memaklumkan sistem pertahanan udaranya berjaya memintas beberapa dron yang didakwa dilancarkan oleh kumpulan militia disokong Iran dari Iraq, walaupun serangan udara Amerika terhadap Iran dihentikan sementara.
Israel dan Jordan turut melaporkan beberapa serangan dron di wilayah masing-masing, menunjukkan ketegangan serantau masih belum reda.
Walaupun keadaan keselamatan kekal rapuh, pasaran kewangan dunia memberi reaksi positif terhadap jeda konflik itu.
Harga minyak mentah Brent susut kira-kira 6 peratus kepada sekitar AS$86 setong, manakala pasaran saham sejagat mencatat kenaikan apabila pelabur menjangkakan rundingan diplomatik mampu mengelakkan konflik yang lebih besar.
Namun, penganalisis berpendapat sebarang kejayaan rundingan bergantung kepada penyelesaian isu paling kritikal, iaitu status Selat Hormuz.
Selagi Iran berkeras mahu mengawal laluan maritim itu dan Amerika terus menuntut kebebasan pelayaran antarabangsa, prospek perdamaian kekal rapuh dan berisiko berubah menjadi konflik bersenjata pada bila-bila masa. – Agensi berita.