WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dijangka menawarkan semula penyertaan Turkey dalam program jet pejuang siluman F-35, sekali gus membatalkan larangan yang dikenakannya sendiri terhadap Ankara tujuh tahun lalu atas alasan keselamatan negara.

Langkah itu dijangka diumumkan sempena sidang puncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Ankara yang berlangsung pada 7 hingga 8 Julai dan dilihat sebagai usaha Encik Trump memperkukuh hubungan dengan Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, yang dianggap antara pemimpin asing paling rapat dengannya.

Menurut beberapa pegawai kanan pentadbiran Amerika, Encik Trump dijangka memberi isyarat bahawa Washington bersedia membenarkan Turkey membeli jet pejuang F-35 selepas rundingan sulit selama beberapa minggu bagi menamatkan kebuntuan antara kedua-dua negara.

Bagaimanapun, rancangan itu dijangka berdepan tentangan Kongres Amerika yang boleh cuba menghalang langkah berkenaan.

Turkey disingkirkan daripada program F-35 pada 2019 selepas membeli sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia, yang ketika itu dibimbangi boleh digunakan Moscow untuk mengumpul maklumat mengenai teknologi siluman pesawat tempur Amerika.

Rumah Putih pada masa itu menegaskan sistem F-35 tidak boleh “wujud bersama platform risikan Russia” yang berpotensi mempelajari keupayaan pesawat berkenaan.

Namun, Encik Trump sejak sekian lama dilaporkan tidak selesa dengan keputusan itu dan beberapa kali menyalahkan mantan Presiden Barack Obama atas situasi yang membawa kepada penyingkiran Turkey daripada program tersebut.

Menurut pegawai pentadbiran Amerika, antara pilihan yang sedang dibincangkan ialah memindahkan sistem S-400 milik Turkey kepada pihak ketiga atau menjadikannya tidak lagi boleh digunakan.

Sebahagian besar sistem peluru berpandu itu dilaporkan masih berada dalam kontena penghantaran.

Undang-undang Amerika yang diluluskan Kongres pada 2020 melarang penjualan F-35 kepada Turkey selagi Ankara masih memiliki sistem pertahanan udara Russia itu.

Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, sebelum ini berkata Encik Trump sudah mengarahkan pegawai pentadbiran mencari jalan untuk memenuhi hasrat Erdogan mendapatkan semula jet pejuang tersebut.

“Presiden meminta kami meneliti perkara ini kerana terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk mematuhi undang-undang Amerika,” katanya sebelum ini.

Encik Trump pula berkata isu itu akan diselesaikan.

“Kami akan menyelesaikannya,” katanya bulan lalu ketika bertemu Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte, di Pejabat Oval.

Beliau turut membayangkan akan membawa “hadiah” yang akan membuatkan Erdogan “sangat gembira” sempena sidang Nato di Ankara.

Bagaimanapun, rancangan itu terus menerima kritikan, termasuk daripada Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.

“Turkey ialah negara besar, tetapi ia dipimpin oleh seorang pemimpin yang secara terbuka menyeru kemusnahan Israel.

“Beliau menduduki separuh Cyprus, mengancam Greece dan bercakap secara terbuka mengenai penaklukan Baitulmakdis,” kata Encik Netanyahu dalam wawancara dengan Fox News.

Beberapa anggota Republikan di Kongres Amerika Syarikat turut menyuarakan keraguan terhadap langkah tersebut, termasuk Senator Jim Risch yang mengetuai Jawatankuasa Hubungan Luar Senat.

Pada masa sama, sekatan Amerika Syarikat terhadap agensi perolehan pertahanan Turkey yang dikenakan sejak 2019 masih kekal berkuat kuasa.

Laporan Perkhidmatan Penyelidikan Kongres pula menyebut beberapa jet F-35 yang sudah dibayar Turkey tetapi tidak pernah diserahkan kini masih disimpan di Amerika Syarikat.

Encik Trump dijangka tiba di Ankara pada 7 Julai untuk menghadiri sidang Nato dalam suasana hubungan trans-Atlantik yang semakin tegang.

Presiden Amerika itu sejak beberapa tahun lalu kerap mengkritik negara anggota Nato kerana didakwa gagal meningkatkan perbelanjaan pertahanan.

Beliau juga semakin berang terhadap apa yang dianggapnya sebagai kurang sokongan sekutu Nato semasa perang Amerika dengan Iran.

Selain bertemu Encik Erdogan, Encik Trump dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, pada 8 Julai di tengah ketegangan berterusan dengan Russia.

Pemerhati antarabangsa berkata langkah Encik Trump membuka semula laluan F-35 kepada Turkey boleh memberi kesan besar terhadap keseimbangan kuasa dalam Nato dan hubungan strategik antara Barat, Turkey dan Russia. - Agensi berita