ANKARA: Pemimpin negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dijadual berhimpun di Ankara pada 7 Julai dan 8 Julai bagi sidang kemuncak penting yang dijangka dipenuhi ketegangan berhubung perang Ukraine, peranan Eropah dalam pakatan itu serta tuntutan Amerika Syarikat (AS) supaya sekutunya meningkatkan perbelanjaan pertahanan.

Sidang kemuncak itu berlangsung ketika Nato sedang melalui perubahan besar dalam hubungan keselamatan rentas-Atlantik, dengan Washington mula mengurangkan kehadiran ketenteraannya di Eropah dan menuntut negara anggota lain memikul lebih banyak tanggungjawab keselamatan.

Pertemuan kali ini juga merupakan sidang pertama selepas anggota Nato bersetuju meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2035.

Presiden Amerika Donald Trump dijadual tiba di Turkey pada 7 Julai sebelum mengadakan pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Encik Trump kemudian akan menghadiri sidang penuh Nato pada 8 Julai termasuk pertemuan dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy.

Rumah Putih memaklumkan pertemuan Encik Trump dan Encik Zelensky dijangka memberi tumpuan kepada usaha menghidupkan semula rundingan damai antara Ukraine dan Russia yang kini semakin terbantut.

Encik Trump sebelum ini berjanji ketika kempen pilihan raya bahawa beliau mampu menamatkan perang Russia-Ukraine dalam tempoh sehari sekiranya kembali menjadi presiden.

Namun sehingga kini, usaha tersebut masih gagal mencapai hasil ketara.

Pemimpin Eropah pula terus mendesak Amerika meningkatkan semula usaha diplomatik bagi memulakan rundingan damai baharu antara Kyiv dan Moscow.

Beberapa pegawai kanan pentadbiran Amerika mengakui tumpuan Washington sejak beberapa bulan lalu lebih banyak tertumpu kepada konflik Iran sehingga rundingan melibatkan Ukraine dan Russia menjadi perlahan.

Encik Trump pada 4 Julai turut mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, mengenai perang Ukraine dan sidang Nato yang bakal berlangsung.

Menurut pembantu dasar luar Kremlin, Encik Yuri Ushakov, kedua-dua pemimpin membincangkan perkembangan terkini konflik serta usaha mencari jalan penyelesaian.

Ketegangan di Eropah terus meningkat susulan kebimbangan bahawa Russia mungkin memperluaskan peperangan ke wilayah lain di benua itu.

Walaupun Ukraine berjaya melancarkan serangan dron dan peluru berpandu jauh ke dalam Russia, pegawai Amerika berkata Washington masih melihat peperangan itu berada dalam keadaan buntu tanpa kemajuan besar di pihak mana-mana.

Encik Putin sebelum ini menyatakan kesediaan meneruskan rundingan dengan wakil Amerika, namun menolak cadangan menghentikan serangan jarak jauh.

Kremlin juga terus menuntut wilayah Ukraine yang masih gagal ditawan sepenuhnya oleh tentera Russia walaupun perang kini memasuki tahun kelima.

Di sebalik sidang kemuncak itu, Ankara turut berdepan gelombang bantahan anti-Nato yang menyaksikan lebih 100 penunjuk perasaan ditahan pihak berkuasa Turkey pada 5 Julai.

Parti Komunis Turkiye (TKP) mendakwa ramai ahli dan pemimpinnya ditahan ketika menyertai perarakan bantahan di Dataran Kizilay, Ankara.

Rakaman video menunjukkan penunjuk perasaan mengibarkan bendera sambil melaungkan slogan seperti “Nato pembunuh, keluar dari negara kami” dan “Tiada laluan untuk Nato”.

Polis antirusuhan kemudian bertindak menyuraikan orang ramai menggunakan gas pemedih mata.

Dalam satu lagi bantahan di Istanbul yang turut dianjurkan TKP, ratusan peserta berarak dari Dataran Taksim menuju ke Dolmabahce.

Setakat ini pemerintah Turkey masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai penahanan tersebut.

Menjelang sidang Nato, pihak berkuasa Turkey memperketat kawalan keselamatan di seluruh Ankara termasuk mengharamkan demonstrasi, memasang penghadang di beberapa kawasan utama dan menutup jalan tertentu.

Pada Jun lalu lalu, pihak berkuasa turut menahan 103 individu dalam operasi antikeganasan di Ankara yang menyaksikan keseluruhan 225 orang ditahan.

Dalam operasi berasingan, seramai 39 individu termasuk wartawan media bebas, aktivis dan ahli akademik turut ditahan.

Tindakan tersebut menerima kritikan daripada pemimpin parti pro-Kurdish DEM, Encik Tuncer Bakirhan, dan tokoh pembangkang utama dari Parti Rakyat Republikan (CHP), Kemal Kilicdaroglu.

Encik Bakirhan mendakwa pemerintah menggunakan sidang NATO sebagai alasan untuk menyekat kebebasan rakyat.

“Negara ini telah berubah menjadi pusat tahanan dengan menggunakan sidang Nato sebagai alasan. Kita sedang melalui darurat ketenteraan yang tidak diisytiharkan,” katanya menerusi platform X.

Pendakwa raya Turkey bagaimanapun menegaskan operasi keselamatan tersebut adalah sebahagian usaha membanteras kumpulan militan dan tidak berkaitan secara langsung dengan sidang Nato.

Pemerhati melihat sidang Nato di Ankara kali ini bukan sahaja menentukan hala tuju perang Ukraine dan hubungan Amerika-Eropah, malah menjadi ujian besar terhadap perpaduan pakatan ketenteraan terbesar dunia itu ketika dunia semakin berdepan ketidakstabilan geopolitik. - Agensi berita