Topik diikuti
Pergi ke BHkuKepimpinan Nato: Eropah telah ganti kebanyakan aset dipotong AS
Kepimpinan Nato: Eropah telah ganti kebanyakan aset dipotong AS
Timbalan Komander Tertinggi Bersekutu Eropah, John Stringer, beri jaminan sekutu sedia ambil alih tanggungjawab pertahanan tatkala AS kurangkan kontinjen
Kepimpinan Nato: Eropah telah ganti kebanyakan aset dipotong AS
BRUSSELS: Sekutu-sekutu Eropah bagi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) sebahagian besarnya telah menggantikan aset yang dipotong oleh Amerika Syarikat daripada rancangan menyelamatnya jika berlaku peperangan di Eropah.
Perkara itu diketengahkan oleh Timbalan Komander Tertinggi Bersekutu Eropah, Encik John Stringer, dalam satu wawancara bersama Bloomberg Television baru-baru ini.
Beliau berkata demikian menjelang sidang puncak perikatan tersebut di Ankara pada minggu depan, di mana sekutu akan cuba meredakan pengumuman Amerika baru-baru ini yang memberi isyarat bahawa ia sedang beralih dari benua itu.
“Sekutu Eropah pastinya telah mempertingkat usaha untuk menampung perubahan pasukan Amerika di Eropah,” kata Encik Stringer.
Amerika baru-baru ini mengumumkan pemotongan besar-besaran kepada pasukan yang akan dihantarnya ke Eropah sekiranya tercetus peperangan atau krisis.
Langkah itu telah mendorong markas tentera Nato untuk meminta negara Eropah mengisytiharkan pasukan yang belum mereka usul bagi perikatan tersebut.
Encik Stringer, mantan juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Diraja (RAF), berkata bagi kategori yang mana Eropah tidak dapat sediakan pasukan yang setara, pihaknya akan merancang memadankan kesan tersebut menggunakan aset berbeza.
Perkongsian dan pemindahan beban itu kini sedang dilakukan “secara munasabah, seimbang, dan didorong sepenuhnya oleh logik tentera,” katanya.
Beliau juga menekankan kesiapsiagaan sekutu Eropah terhadap peralihan keutamaan dan komitmen Amerika.
Retorik Presiden Amerika, Encik Donald Trump, terhadap Nato sejak kembalinya beliau ke Rumah Putih telah membimbangkan para sekutu dan mendorong penelitian semula perbelanjaan pertahanan di Eropah.
Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, mengejutkan sekutu di ibu pejabat Nato pada Jun lalu dengan pengumuman untuk melakukan semakan enam bulan ke atas pasukan Amerika di Eropah.
Ia dilihat sebagai satu isyarat bahawa lebih banyak pemotongan dana atau aset akan berlaku.
Kolonel Martin O’Donnell, seorang jurucakap markas tentera Nato, berkata dalam kes tertentu, negara sekutu Eropah mempunyai kelengkapan yang sama atau lebih baik daripada inventori Amerika, tambahnya.
Beliau merujuk kepada contoh pesawat pejuang jenis F-16 yang bakal diterima oleh Bulgaria.
Encik Stringer dilantik sebagai komander operasi kedua Nato di Eropah pada 2026.
Pelantikan ini berlaku tatkala perikatan tersebut sedang bergelut dengan konflik peperangan di sempadannya di Ukraine serta dasar Amerika yang semakin memencilkan diri.
Apabila ditanya mengenai peletakan jawatan Setiausaha Pertahanan Britain, Encik John Healey, baru-baru ini berhubung dakwaannya mengenai perbelanjaan pertahanan Britain yang tidak mencukupi, Encik Stringer berkata:
“Kesemua negara, kesemua 32, bersetuju bahawa mereka akan mencapai sasaran 3.5 peratus menjelang 2035 dan mempunyai pelan laluan yang berwibawa untuk mencapainya.
“Tiada sesiapa yang dikecualikan dalam perkara itu.”
Beliau merujuk kepada sasaran Nato untuk pemerintah membelanjakan sekurang-kurangnya 3.5 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi pertahanan teras.
“Itu adalah perkara yang kita persetujui dan ia pastinya merangkumi UK,” tegas beliau.
Bidang pelaburan yang diumumkan Britain dalam beberapa minggu kebelakangan ini “sejajar sepenuhnya dengan hala tuju tentera kita pada kaca mata Nato”.
Menurutnya, hal ini “diperlukan untuk mampu secara berwibawa mencegah dan mempertahankan bilion orang di bawah payung Nato”.
“Nato menjangkakan semua negara, termasuk UK, akan berpegang teguh pada komitmen mereka,” kata Encik Stringer. – Agensi berita.
