WASHINGTON: Amerika Syarikat meningkatkan tekanan terhadap Perdana Menteri sementara Israel, Encik Benjamin Netanyahu, supaya memenuhi komitmennya melaksanakan pelan damai Gaza, sedang tribunal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempertikaikan bukti Israel yang membawa kepada pemecatan petugas bantuan kemanusiaan Palestin.

Utusan Presiden Amerika, Encik Jared Kushner, menggesa Encik Netanyahu dalam perbualan telefon pada 24 November supaya menunaikan janji yang dibuat kepada Presiden Donald Trump berhubung pelaksanaan pelan tersebut, lapor Axios, yang memetik tiga sumber yang mengetahui perbincangan itu.

Desakan tersebut mencerminkan kekecewaan yang semakin meningkat dalam kalangan pegawai Rumah Putih dan Lembaga Keamanan yang ditubuhkan Encik Trump terhadap kelewatan melaksanakan pelan damai Gaza.

Washington dilaporkan berpandangan bahawa Encik Netanyahu lebih mengutamakan kelangsungan kerjaya politiknya berbanding usaha melaksanakan pelan tersebut.

Dalam wawancara bersama majalah New York yang diterbitkan pada 23 November, Encik Kushner memberi amaran bahawa Israel kini berada di persimpangan penting.

“Israel boleh bangkit daripada tragedi 7 Oktober, menjadi lebih selamat dan lebih diterima masyarakat antarabangsa, atau meneruskan haluan sekarang yang menjadikannya semakin tersisih daripada dunia,” katanya.

Bagaimanapun, dua sumber menyifatkan perbualan antara Encik Kushner dengan Encik Netanyahu sebagai positif dan membina, dengan pemimpin Israel itu sekali lagi menyatakan kesediaannya melaksanakan langkah yang dikehendaki Washington.

Pejabat Perdana Menteri Israel mengesahkan perbualan tersebut berlangsung, namun enggan mengulas lanjut.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Pada Julai, Lembaga Keamanan mencapai persetujuan dengan Hamas mengenai pelan 15 perkara untuk melucutkan senjata kumpulan bersenjata di Gaza serta menyerahkan tanggungjawab pentadbiran awam dan keselamatan kepada sebuah pemerintah Palestin yang dianggotai golongan teknokrat.

Namun, pelaksanaan pelan tersebut tergendala selama beberapa bulan menjelang pilihan raya Israel pada 27 Oktober.

Encik Netanyahu gagal memperoleh majoriti untuk membentuk pemerintah baru dan kini mengetuai pemerintah sementara, manakala pemimpin pembangkang, Encik Gadi Eisenkot, diberi mandat membentuk pemerintah campuran.

Encik Eisenkot sebelum ini berjanji melaksanakan pelan damai Encik Trump bagi memastikan Hamas tidak lagi menguasai Gaza dalam tempoh 18 bulan.

Dalam perbualan telefon dengan Encik Trump sekitar dua minggu lalu, Encik Netanyahu dilaporkan memberi alasan bahawa kedudukannya sebagai perdana menteri sementara membataskan kuasanya untuk meluluskan langkah yang dikehendaki Washington.

Bagaimanapun, pemerintah Israel telah bersetuju melaksanakan langkah tersebut sebelum pilihan raya berlangsung.

Washington kini mendesak Israel meluluskan enam langkah utama, termasuk membenarkan penempatan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di Gaza dan kemasukan bahan binaan bagi membina pangkalan pasukan tersebut.

Amerika juga mahu Israel membenarkan 4,000 anggota polis Palestin, yang telah menjalani pemeriksaan keselamatan Israel, mengikuti latihan di Mesir sebelum kembali bertugas di Gaza.

Langkah lain termasuk membenarkan kemasukan bahan bagi projek bekalan air dan sanitasi, rumah sementara untuk melindungi penduduk sepanjang musim sejuk serta pelaksanaan projek perintis pentadbiran teknokrat Palestin di selatan Gaza.

Sekatan Israel terhadap kemasukan bahan binaan dan tempat perlindungan sementara menyebabkan ramai penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal terpaksa menghadapi banjir, ribut dan cuaca sejuk di dalam khemah.

Dalam perkembangan berasingan, sebuah tribunal PBB memutuskan bahawa Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) gagal mengemukakan bukti mencukupi bagi mewajarkan pemecatan seorang kakitangannya yang dituduh terlibat dalam serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.

Keputusan yang dilaporkan akhbar The Guardian itu menimbulkan persoalan mengenai kesahihan dakwaan Israel terhadap kakitangan UNRWA.

Agensi tersebut memecat sembilan kakitangannya pada Januari 2024 susulan dakwaan Israel bahawa mereka terlibat dalam serangan berkenaan.

Tribunal mendapati tuduhan terhadap kakitangan terbabit hampir keseluruhannya berdasarkan maklumat yang dimiliki Israel, dengan nilai pembuktian dan tahap kebolehpercayaan yang terhad.

Dalam kes Encik Abu Awad, salah seorang kakitangan yang dipecat, tribunal memutuskan UNRWA gagal mengemukakan bukti bagi menyokong keputusan pemecatannya.

Beliau diberikan pampasan bersamaan gaji setahun serta AS$5,000 ($6,400) bagi kerugian bukan kewangan.

Encik Awad dituduh memegang jawatan komander dalam Briged Al-Qassam, sayap ketenteraan Hamas, namun beliau menafikan dakwaan tersebut.

Tribunal turut mempertikaikan kebolehpercayaan rakaman perbualan telefon dan mesej yang dipintas pihak perisikan Israel, termasuk satu kes kesilapan mengenal pasti individu akibat penggunaan kad SIM yang diklon.

Siasatan PBB juga tidak menemu bual 19 kakitangan yang pada awalnya dituduh Israel atas alasan keselamatan.

UNRWA tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas keputusan tribunal tersebut.

Mantan Pesuruhjaya Agung UNRWA, Encik Philippe Lazzarini, sebelum ini mengakui bahawa keputusan memecat kakitangan terbabit dibuat sebelum siasatan dijalankan.

Beliau mempertahankan tindakan tersebut dengan alasan mahu memastikan agensi berkenaan dapat terus beroperasi dan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.

“Pertimbangan saya ketika itu adalah untuk mengambil keputusan paling pantas dan tegas bagi menunjukkan bahawa kami, sebagai sebuah agensi, memandang serius tuduhan tersebut.

“Keupayaan seluruh agensi untuk terus beroperasi dan menyalurkan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan menjadi taruhan,” katanya. – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti