Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS fail tuduhan pemimpin Hamas lakukan jenayah serangan 7 Okt

Sep 4, 2024 | 1:21 PM
Amerika Syarikat telah memfailkan tuduhan jenayah terhadap pemimpin Hamas, Encik Yahya Sinwar, dan lima yang lain atas serangan ke atas Israel pada 7 Oktober.
Amerika Syarikat telah memfailkan tuduhan jenayah terhadap pemimpin Hamas, Encik Yahya Sinwar, dan lima yang lain atas serangan ke atas Israel pada 7 Oktober. - Foto AFP

NEW YORK: Amerika Syarikat mengumumkan pertuduhan jenayah pada 3 September terhadap pemimpin tertinggi Hamas atas dakwaan peranan mereka dalam merancang, menyokong dan melakukan serangan maut di selatan Israel pada 7 Oktober.

Ketua kumpulan Hamas, Encik Yahya Sinwar, dan sekurang-kurangnya lima yang lain dituduh mendalangi serangan 7 Oktober, yang membunuh 1,200 orang, termasuk lebih 40 warga Amerika, menurut aduan jenayah tersebut.

Serangan itu mencetuskan serangan Israel ke atas Gaza yang telah membunuh lebih 40,800 rakyat Palestin dan memusnahkan sebahagian besar wilayah itu.

Aduan yang difailkan di mahkamah persekutuan di Bandar New York termasuk tuduhan konspirasi dengan memberikan sokongan material kepada organisasi pengganas asing, konspirasi membunuh warga Amerika dan konspirasi menggunakan senjata pemusnah besar-besaran, mengakibatkan kematian.

Aduan itu turut menuduh Iran dan Hezbollah Lebanon menyediakan sokongan kewangan dan senjata, termasuk roket, yang digunakan dalam serangan itu.

“Seperti yang digariskan dalam aduan kami, defendan-defendan itu yang bersenjata, mendapat sokongan politik dan pembiayaan daripada Iran, dan sokongan daripada Hezbollah – telah mendorong usaha Hamas untuk memusnahkan Israel dan membunuh orang awam bagi menyokong matlamat tersebut,” kata Peguam Negara, Encik Merrick Garland, dalam satu kenyataan.

Beliau berkata tuduhan itu, yang menandakan usaha pertama penguat kuasa undang-undang Amerika untuk memanggil secara rasmi dalang serangan itu, hanyalah sebahagian daripada usaha menyasarkan “setiap aspek operasi Hamas”.

Aduan itu menamakan enam defendan, tiga daripadanya sudah meninggal dunia.

Defendan yang masih hidup ialah Encik Sinwar, yang dipercayai bersembunyi di Gaza; Encik Khaled Meshaal, yang berpangkalan di Doha, Qatar dan mengetuai pejabat diaspora kumpulan itu; dan Encik Ali Baraka, pegawai kanan Hamas yang berpangkalan di Lebanon.

Defendan yang telah meninggal dunia ialah mantan pemimpin Hamas, Encik Ismail Haniyeh, yang telah dibunuh pada Julai di Teheran; ketua sayap tentera, Encik Mohammed Deif, yang dikatakan Israel terbunuh dalam serangan udara pada Julai; dan Encik Marwan Issa, timbalan komander tentera, yang terbunuh dalam serangan Israel pada Mac.

Iran telah menyalahkan Israel atas kematian Encik Haniyeh.

Namun, Israel tidak mengaku bertanggungjawab.

Menurut seorang pegawai Jabatan Kehakiman, pendakwa raya Amerika sepatutnya mengemukakan pertuduhan terhadap enam pemimpin Hamas pada Februari, tetapi menangguhkannya dengan harapan dapat menangkap Encik Haniyeh.

Jabatan Kehakiman memutuskan untuk mendedahkan pertuduhan kepada umum selepas kematian Encik Haniyeh. –Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg