Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS gempur Iran, konflik merebak ke lebih banyak negara Timur Tengah
AS gempur Iran, konflik merebak ke lebih banyak negara Timur Tengah
Medan perang kini meluas ke Iraq, Jordan, Arab Saudi, Mesir dan Lebanon meningkatkan risiko perang serantau
AS gempur Iran, konflik merebak ke lebih banyak negara Timur Tengah
WASHINGTON: Perang antara Amerika Syarikat dan Iran kembali memuncak apabila siri serangan udara dan peluru berpandu di beberapa negara Timur Tengah sejak 29 Julai hingga awal pagi 30 Julai memperluaskan medan pertempuran ke beberapa negara lain, sekali gus mengakhiri tempoh beberapa hari ketegangan yang agak reda di rantau itu.
Markas Pusat Amerika (Centcom) mengesahkan ia melancarkan satu lagi siri serangan ke atas sasaran di Iran kira-kira jam 3.30 pagi waktu tempatan pada 30 Julai namun tidak mendedahkan lokasi atau jenis sasaran yang diserang.
Serangan terbaharu itu berlaku ketika usaha menghidupkan semula rundingan damai terus menemui jalan buntu, manakala konflik yang sebelum ini tertumpu kepada Amerika Syarikat dan Iran kini semakin meluas melibatkan beberapa negara lain di Timur Tengah.
Pada 29 Julai, Iran melancarkan peluru berpandu ke arah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Jordan serta menyasarkan beberapa kapal tangki minyak di rantau berkenaan.
Dalam masa sama, pesawat pejuang Amerika Syarikat bersama Arab Saudi melancarkan serangan terhadap kumpulan bersenjata yang mempunyai kaitan dengan Iran di Iraq.
Di Mesir pula, dua kapal terbakar di sebuah hab perkapalan selepas dipercayai diserang dron, termasuk sebuah kapal simpanan gas milik syarikat Amerika Syarikat. Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan dalam insiden itu.
Presiden Donald Trump sebelum itu memberi bayangan mengenai tindakan ketenteraan baharu apabila berikrar Amerika Syarikat akan bertindak balas terhadap cubaan menyerang tenteranya di rantau berkenaan.
“Kami akan menyerang mereka dengan sangat keras kerana kini giliran kami untuk bertindak,” katanya kepada pemberita di Pejabat Oval.
Kenyataan itu dibuat selepas Iran didakwa cuba menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat di Jordan.
Menurut Centcom, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) melancarkan beberapa peluru berpandu balistik ke arah pangkalan tentera Amerika Syarikat, namun kesemuanya berjaya dipintas sebelum mengenai sasaran.
Konflik semakin meluas sejak gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran gagal dipertahankan awal bulan Julai ini.
Kumpulan bersenjata yang disokong Iran kini kembali mengaktifkan beberapa medan pertempuran lama di Iraq, Lebanon, Jordan dan kawasan Laut Merah, sekali gus meningkatkan risiko perang serantau yang lebih besar.
Penyertaan Arab Saudi dalam operasi udara terhadap kumpulan pro-Iran di Iraq turut dilihat sebagai perubahan ketara dalam pendirian Riyadh.
Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi mengelak daripada terlibat secara terbuka dalam peperangan antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, walaupun beberapa pegawai kanan Amerika Syarikat mendakwa Riyadh pernah melancarkan serangan balas secara sulit.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Arab Saudi menegaskan negara itu tidak mahu meningkatkan ketegangan, tetapi akan mempertahankan diri sekiranya diserang.
Di Iraq, tentera Amerika Syarikat memaklumkan serangan udara pada 29 Julai adalah tindak balas terhadap lebih 30 serangan dron yang dilancarkan kumpulan pro-Iran dalam tempoh 72 jam lalu.
Seorang pegawai Amerika Syarikat berkata sasaran utama ialah anggota Pasukan Mobilisasi Popular (PMF), iaitu gabungan kumpulan bersenjata Iraq yang mempunyai hubungan rapat dengan Iran.
Amerika berkata serangan itu turut menyasarkan lokasi pelancaran peluru berpandu dan dron serta membunuh kira-kira 20 penasihat tentera Iran, termasuk pegawai teknikal kanan dan pegawai perhubungan IRGC.
Tiada kumpulan di bawah PMF mengaku bertanggungjawab terhadap siri serangan dron itu.
Perdana Menteri Iraq, Ali al-Zaidi, bagaimanapun mengecam serangan Amerika Syarikat dan Arab Saudi sebagai “pencerobohan yang tidak boleh diterima.”
Iraq kini berada dalam kedudukan sukar kerana mengekalkan hubungan rapat dengan kedua-dua Amerika Syarikat dan Iran, selain berulang kali menjadi medan persaingan kedua-dua negara sejak beberapa tahun lalu.
PMF kemudian mengeluarkan kenyataan bersama yang mengancam akan membalas serangan tersebut.
Bagaimanapun, kumpulan itu memaklumkan sebarang tindakan hanya akan diputuskan selepas tamatnya ibadah Arbain minggu depan, apabila ratusan ribu jemaah Syiah menziarahi bandar suci Karbala.
“Kami pasti akan membalas serangan musuh Amerika. Jika keadaan memerlukan, sasaran kami juga boleh melibatkan kepentingan Amerika Syarikat di Arab Saudi,” menurut kenyataan itu.
Di Lebanon, keadaan turut kembali tegang apabila tentera Israel mendakwa Hezbollah melancarkan dron membawa bahan letupan ke arah sebuah kenderaan tenteranya di selatan negara itu.
Insiden berkenaan menimbulkan kebimbangan bahawa gencatan senjata yang rapuh antara Israel dan Hezbollah berisiko runtuh.
Hezbollah sebelum ini menolak rangka kerja keselamatan yang dipersetujui antara Israel dan Lebanon bagi menamatkan pertempuran yang berlarutan selama beberapa bulan.
Sementara itu, ketegangan yang semakin meluas turut memberi kesan kepada pasaran tenaga dunia.
Harga minyak mentah Brent dan West Texas Intermediate (WTI) melonjak ketara susulan kebimbangan gangguan bekalan minyak dari Timur Tengah.
Arab Saudi turut berdepan puluhan serangan dron terhadap kemudahan minyaknya sepanjang minggu ini, manakala kumpulan Houthi di Yaman dilaporkan terus menyerang kapal tangki minyak Saudi di Laut Merah.
Penganalisis memberi amaran bahawa gangguan terhadap laluan perkapalan dan eksport minyak dari Timur Tengah boleh menjejaskan bekalan tenaga global, khususnya kepada negara-negara Asia Timur yang bergantung kepada import minyak dari rantau itu.
Perkembangan terbaharu itu juga dijangka meningkatkan tekanan politik terhadap pentadbiran Trump, yang kini berdepan pilihan raya pertengahan penggal dalam tempoh kurang 100 hari, selain berpotensi mencetuskan lonjakan inflasi global jika konflik terus merebak. - Agensi berita