Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS gesa India, Pakistan hurai sengketa secara bertanggungjawab

Apr 28, 2025 | 3:27 PM
Anggota pasukan keselamatan India berkawal di tebing Tasik Dal berikutan serangan militan berhampiran Pahalgam Kashmir selatan, di Srinagar, pada 25 April. 
Anggota pasukan keselamatan India berkawal di tebing Tasik Dal berikutan serangan militan berhampiran Pahalgam Kashmir selatan, di Srinagar, pada 25 April.  - Foto REUTERS

WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat berkata pada 27 April bahawa Washington telah menghubungi India dan Pakistan sambil menggesa kededua negara itu berusaha ke arah apa yang dipanggil “penyelesaian bertanggungjawab” kerana ketegangan telah meningkat antara dua negara Asia berikutan serangan militan Islam di Kashmir baru-baru ini.

Di khalayak ramai, pemerintah Amerika telah menyatakan sokongan kepada India selepas serangan itu tetapi tidak mengkritik Pakistan.

India menyalahkan Pakistan atas serangan pada 22 April di Kashmir yang telah membunuh lebih dua dozen orang. Pakistan menafikan tanggungjawab dan menggesa siasatan neutral terhadap kejadian di Kashmir yang ditadbir India itu.

“Ini adalah situasi yang berkembang dan kami memantau perkembangan dengan teliti. Kami telah berhubung dengan pemerintah India dan Pakistan di pelbagai peringkat,” kata jurucakap Jabatan Negara Amerika dalam satu kenyataan melalui e-mel.

“Amerika menggesa semua pihak untuk bekerjasama ke arah penyelesaian yang bertanggungjawab,” tambah jurucakap itu.

Jurucakap jabatan itu juga berkata Washington “berdiri bersama India dan mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas di Pahalgam,” mengulangi komen serupa yang dibuat oleh Presiden Donald Trump dan Naib Presiden JD Vance baru-baru ini.

India ialah rakan kongsi Amerika yang semakin penting kerana Washington berhasrat untuk menentang pengaruh China yang semakin meningkat di Asia manakala Pakistan kekal sebagai sekutu Amerika walaupun kepentingannya untuk Washington telah berkurangan selepas pengunduran Amerika dari negara jiran Afghanistan pada 2021.

Encik Michael Kugelman, penganalisis Asia Selatan dan penulis majalah Foreign Policy yang berpangkalan di Washington, berkata India kini merupakan rakan kongsi Amerika yang lebih rapat daripada Pakistan.

“Ini mungkin membimbangkan Islamabad bahawa jika India bertindak balas secara ketenteraan, Amerika mungkin bersimpati dengan perintah menentang keganasan dan tidak cuba menghalangnya,” kata Encik Kugelman.

Beliau juga berkata memandangkan penglibatan Washington dan usaha diplomatik yang berterusan dalam perang Russia di Ukraine dan perang Israel di Gaza, pentadbiran Encik Trump “berurusan dengan banyak perkara di peringkat global” dan mungkin meninggalkan India dan Pakistan sendiri, sekurang-kurangnya pada hari-hari awal ketegangan.

Encik Hussain Haqqani, bekas duta Pakistan ke Amerika dan zamil kanan di badan pemikir Institut Hudson, juga berkata Amerika seolah-olah tiada selera untuk menenangkan keadaan pada masa ini.

Kashmir dengan majoriti penduduk Islam, dituntut sepenuhnya oleh India dan Pakistan yang masing-masing memerintah hanya sebahagian daripadanya dan sebelum ini berperang di wilayah Himalaya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg