ISLAMABAD: Ketegangan antara India dengan Pakistan meningkat dengan mendadak pada 24 April apabila pemerintah Pakistan menyatakan langkah India menyekat aliran sungai utama sebagai tindak balas terhadap serangan militan di Kashmir akan dianggap sebagai “tindakan perang”.
Kenyataan keras itu dikeluarkan selepas mesyuarat tergempar Jawatankuasa Keselamatan Negara Pakistan, yang turut mengumumkan beberapa langkah tindak balas termasuk penutupan ruang udara kepada syarikat penerbangan India, pengurangan kakitangan diplomatik India di Islamabad, dan penggantungan semua perdagangan dengan India.
Langkah India menggantung Perjanjian Air Indus – satu perjanjian penting yang telah wujud sejak 1960 dan menjadi lambang kestabilan di Asia Selatan mencetuskan kebimbangan besar di Islamabad.
Pakistan bergantung kepada sistem sungai itu untuk kira-kira 90 peratus hasil pertaniannya, dan sebarang gangguan terhadap aliran air boleh memberi kesan besar kepada keselamatan makanan dan ekonomi negara itu.
“Jika India berani menyekat atau mengubah aliran sungai, kami akan menganggap ia sebagai pencerobohan nyata dan akan bertindak balas dengan tegas,” kata kenyataan rasmi pemerintah Pakistan.
Ketegangan itu tercetus susulan serangan bersenjata di kawasan pelancongan di Kashmir yang dikuasai India, dan mengorbankan lebih 26 orang awam.
Walaupun India belum secara rasmi menamakan mana-mana kumpulan sebagai dalang serangan, New Delhi terus menyalahkan Pakistan atas sokongan kepada militan anti-India.
Sebagai tindak balas, India turut membatalkan visa rakyat Pakistan, menurunkan tahap hubungan diplomatik, dan menggantung perjanjian air.
Bagi Pakistan, tindakan India dilihat bermotif politik dan tidak sah dari segi undang-undang antarabangsa.
“India tidak boleh menggunakan tragedi ini untuk melaksanakan dasar balas dendam yang berbahaya dan sehala,” kata seorang pegawai kanan Pakistan.
Dalam kalangan rakyat Pakistan, kebimbangan semakin meningkat.
Saluran televisyen tempatan dipenuhi peringatan keras daripada pakar ketenteraan yang memberi amaran bahawa konfrontasi antara kedua-dua negara yang memiliki senjata nuklear itu boleh mengundang bencana.
Mantan diplomat Pakistan, Encik Najm us Saqib, berkata keadaan itu berpotensi berlarutan.
“Bulan-bulan mendatang berkemungkinan menyaksikan ketegangan yang semakin memuncak dan boleh mengganggu kestabilan serantau yang sedia rapuh,” katanya.
Sejarah konflik Kashmir yang panjang menyumbang kepada ketegangan berulang itu.
India menyalahkan Pakistan kerana membenarkan militan beroperasi dari wilayahnya, manakala Pakistan menuduh India menyokong pemberontak pemisah di wilayah Baluchistan.
Mantan jeneral tentera Pakistan, Encik Ahmed Saeed Minhas, menuduh India sengaja mencetuskan ketegangan tanpa bukti kukuh.
“Mereka menuding jari kepada Pakistan tanpa sebarang bukti konkrit.
“Kalau mereka lupa, pada 2019 kami menjamu juruterbang mereka dengan teh, kali ini mungkin kami tambah biskut,” katanya secara sinis merujuk kepada episod 2019 apabila juruterbang India ditangkap dan kemudian dibebaskan oleh Pakistan.
Berbeza dengan serangan Pulwama pada 2019 yang menyasarkan pasukan keselamatan dan dikaitkan dengan kumpulan militan Jaish-e-Mohammed, serangan kali ini menyasarkan orang awam, dan tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab secara jelas.
Keadaan itu menjadikannya lebih sukar dikawal.
Menurut penganalisis keselamatan di Islamabad, Syed Muhammad Ali, India mungkin menggunakan kejadian itu untuk meraih sokongan Amerika Syarikat dan mengalihkan perhatian daripada isu ekonomi dalam negara, termasuk ancaman tarif oleh Presiden Amerika, Encik Donald Trump.
Pegawai tentera Pakistan menyatakan setakat ini, belum terdapat sebarang bukti penggerakan tentera India secara besar-besaran, tetapi pasukan keselamatan Pakistan telah bersiap sepenuhnya di sepanjang Garisan Kawalan (LoC).
Mantan Menteri Maklumat Pakistan, Encik Murtaza Solangi, memberi amaran dunia tidak boleh mengharapkan keajaiban seperti pada 2019.
“Dulu, kedua-dua negara bernasib baik kerana tidak tersasar ke arah perang terbuka. Kali ini, keadaannya jauh lebih berisiko,” katanya.
Pakar keselamatan berpangkalan di Washington, Encik Asfandyar Mir, menyuarakan kebimbangan tentang ketiadaan saluran komunikasi diplomatik rahsia yang biasanya membantu meredakan krisis.
“Ketiadaan komunikasi tertutup meningkatkan risiko salah langkah dan kesilapan besar,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg