NEW DELHI: Sehari selepas serangan bersenjata yang mengorbankan 26 pelancong di Lembah Kashmir, pemerintah India pada 23 April mengambil tindak balas terhadap Pakistan, yang dianggap sebagai dalang di sebalik tragedi berdarah itu.
Walaupun tiada kumpulan secara rasmi dinamakan sebagai pelaku, kenyataan Menteri Pertahanan India, Encik Rajnath Singh, mencerminkan pendirian tegas pemerintah bahawa serangan itu tidak berlaku secara terpencil.
Menurutnya, India mempunyai dasar toleransi sifar terhadap pengganasan serta memberi isyarat tindakan ketenteraan adalah salah satu pilihan yang sedang dipertimbangkan.
“Kami akan memburu bukan sahaja pelaku, bahkan juga dalang di sebalik tabir yang merancang konspirasi untuk melancarkan serangan ke atas bumi India,” katanya dalam satu sidang media tergempar di New Delhi.
Sebagai langkah pertama, India menggantung penyertaannya dalam Perjanjian Air Indus, satu perjanjian penting yang mengawal aliran sungai dari India ke Pakistan sejak 1960-an.
Ini disusuli dengan penutupan sempadan darat utama antara kedua-dua negara dan pengusiran penasihat ketenteraan Pakistan dari Suruhanjaya Tinggi di New Delhi.
Visa rakyat Pakistan turut diperketat, sekali gus membekukan hampir semua bentuk interaksi awam antara dua negara berjiran yang memiliki senjata nuklear itu.
Tindakan itu diumumkan selepas mesyuarat khas Kabinet yang dipengerusi Perdana Menteri, Encik Narendra Modi, yang baru pulang dari lawatan tergempar di Arab Saudi.
Serangan berlaku di kawasan pelancongan berhampiran Pahalgam, apabila sekumpulan militan melepaskan tembakan ke arah pelancong yang sedang berkelah.
Mangsa dipercayai dipilih berdasarkan agama, dengan 25 daripada 26 mangsa dikenal pasti sebagai penganut Hindu, satu taktik yang mengingatkan kembali kepada ketegangan antara masyarakat pada awal 1990-an, ketika ribuan penduduk Hindu terpaksa meninggalkan Kashmir akibat ancaman dan serangan berterusan.
Encik Kunal Gunbote, anak kepada Encik Kaustubh Gunbote, 60 tahun, salah seorang daripada mangsa, berkongsi kesedihannya: “Ayah saya ditembak di hadapan ibu saya.
“Mereka semua dipaksa berbaring dan disoal nama mereka satu demi satu.
“Di manakah kawalan keselamatan yang pemerintah janjikan? Tidak ada satu pun pos keselamatan berdekatan.”
Dalam reaksi segera, Kementerian Luar Pakistan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Namun, Menteri Pertahanan Pakistan, Encik Khawaja Muhammad Asif, dalam wawancara bersama media tempatan, menegaskan negaranya “tidak menyokong sebarang bentuk pengganasan” dan menyalahkan kumpulan tempatan sebagai pelaku sebenar.
Bagaimanapun, seorang pegawai keselamatan India yang enggan dinamakan berkata, agensi perisikan India mengesyaki kumpulan militan, Lashkar-e-Taiba, yang berpangkalan di Pakistan sebagai pihak bertanggungjawab.
Kumpulan proksi baru, The Resistance Front, dikatakan telah digunakan bagi mengaburi penglibatan langsung Lashkar-e-Taiba.
Serangan itu berlaku dalam konteks geopolitik yang sudah sedia tegang.
Sejak 2020, tumpuan ketenteraan India lebih banyak terarah ke sempadan utaranya, susulan konfrontasi dengan China di wilayah Ladakh.
Justeru, serangan di Kashmir dilihat bukan sahaja mencabar naratif keselamatan dalaman, bahkan juga memberi tekanan untuk India agar tidak memandang ringan ancaman Pakistan.
Pakar keselamatan, Jeneral (Bersata) D.S. Hooda, berkata: “Serangan ini memudarkan ilusi bahawa Kashmir sudah aman.
“Apabila mangsa terdiri daripada orang awam yang tidak bersenjata, tekanan terhadap pemerintah untuk bertindak balas menjadi amat besar.”
Serangan itu turut memberi kesan langsung kepada sektor pelancongan yang sedang giat dibangunkan di Kashmir.
Syarikat penerbangan menambah penerbangan keluar dari wilayah itu, manakala hotel di Kashmir melaporkan pembatalan tempahan secara besar-besaran.
Ketua pemimpin wilayah Kashmir, Encik Omar Abdullah, menzahirkan kesedihan mendalam dan berkata:
“Sangat menyedihkan melihat tetamu kami terpaksa meninggalkan tempat ini dalam suasana penuh ketakutan.
“Tetapi kami faham mengapa mereka bertindak demikian.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg