NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, akan menghantar lebih ramai pembantu kanan ke Timur Tengah dalam beberapa minggu akan datang untuk mencapai perjanjian gencatan senjata Gaza yang telah diusahakan oleh pentadbirannya selama lebih setahun, kata seorang pembantu kanan pada 10 Disember.
Timbalan Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Encik Jon Finer, berkata terdapat peningkatan usaha ke arah perjanjian itu selepas gencatan senjata dicapai antara Israel dengan Hezbollah Lebanon pada 27 November.
“Kami percaya bahawa terdapat momentum dalam proses itu.
“Momentum kini meningkat apabila kami dan rakan kongsi kami mencapai gencatan senjata dalam konflik antara Israel dengan Hezbollah,” kata Encik Finer dalam temu bual di persidangan, Reuters NEXT, di New York.
“Terdapat tenaga baru dalam usaha ini,” tambahnya.
Namun, beliau tidak menamakan pegawai yang akan berkunjung ke rantau itu atau kemajuan yang mereka telah buat ke arah pencapaian perjanjian yang sukar difahami selama berbulan-bulan.
Israel, kumpulan Hamas dan pelbagai pihak ketiga telah terlibat dalam rundingan.
Rundingan gencatan senjata itu bertujuan menamatkan perang antara Hamas dengan Israel dan membebaskan baki tebusan yang masih ditahan di Gaza sebagai pertukaran dengan tahanan Palestian di penjara Israel.
Perang meletus apabila Hamas menyerang selatan Israel secara mengejut pada 7 Oktober 2023, membunuh lebih 1,200 orang dan 240 yang lain ditahan sebagai tebusan.
Serangan balas dan berterusan Israel sehingga kini telah membunuh lebih 44,700 rakyat Palestin dan memusnahkan hampir sebahagian besar wilayah Gaza.
Kesibukan kegiatan diplomatik di rantau itu berlaku pada minggu-minggu terakhir Presiden Biden sebelum beliau menyerahkan kuasa kepada bakal presiden Encik Donald Trump pada Januari 2025.
Menurut Encik Finer, pasukan Presiden Biden sedang membincangkan dengan Encik Trump mengenai isu serantau, yang juga termasuk tumbangnya rejim Presiden Bashar al-Assad di Syria dan usaha membebaskan wartawan Amerika Encik Austin Tice, yang dilaporkan hilang sejak diculik di negara itu lebih sedekad lalu.
Sebelum ini, Qatar, salah sebuah negara perantara gencatan senjata, menyatakan bahawa rundingan dilaporkan berjalan dengan baik secara senyap-senyap di belakang tabir.
Ia dijalankan selepas pelaksanaan gencatan senjata antara Israel dengan Hezbollah di Lebanon di samping tekanan daripada Encik Trump.
Meskipun cadangan terbaru masih kabur, beberapa pegawai yang diberi taklimat mengenai perkara itu berkata rundingan semakin lancar. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg