Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas timbang gencatan senjata berperingkat jika Israel jamin patuh

Dec 6, 2024 | 12:02 PM
Sumber Hamas memberitahu media bahawa mereka sedia memeterai gencatan senjata kerana tidak mahu melihat rakyat Palestin terus menderita akibat perang berlanjutan dengan Israel.
Sumber Hamas memberitahu media bahawa mereka sedia memeterai gencatan senjata kerana tidak mahu melihat rakyat Palestin terus menderita akibat perang berlanjutan dengan Israel. - Foto REUTERS

KAHIRAH: Kumpulan Hamas sedia mempertimbangkan perjanjian gencatan senjata berperingkat yang akan bermula dengan pengunduran secara beransur-ansur tentera Israel yang menduduki Gaza.

Perkembangan itu berlaku ketika perantara Mesir mengusahakan cadangan baru untuk pengurusan sosial dan keselamatan di Jaluran Gaza, di samping gencatan senjata antara puak penentang Palestin dengan tentera Israel, kata beberapa sumber.

Perjanjian berasingan yang membawa kepada gencatan senjata penuh akan menyaksikan Hamas membebaskan tahanan Israel dari Gaza secara berperingkat manakala Israel secara beransur-ansur menarik tenteranya, kata sumber itu.

Hamas sebelum ini berkeras tuntutan menarik balik sepenuhnya tentera Israel yang ditempatkan di beberapa kawasan di dalam Gaza, termasuk koridor tengah antara utara dan selatan wilayah itu serta sempadan dengan Mesir.

Salah satu sumber Hamas berkata bahawa dalam menghadapi tindakan keras Israel, perantara Mesir telah meminta kelonggaran daripada Hamas.

“Kami mahu menamatkan penderitaan rakyat kami dan pertumpahan darah.

“Sebab itu kami menunjukkan fleksibiliti terhadap beberapa perkara seperti pengunduran secara beransur-ansur dan gencatan senjata secara berperingkat. Tetapi kami tidak akan bersetuju melainkan kesemuanya dicapai sepenuhnya,” tambah sumber itu.

Empat sumber – dua di Mesir, seorang diplomat serantau dan satu lagi sumber Hamas – berkata bahawa Israel juga telah menunjukkan kesediaan untuk berundur secara berperingkat dalam tempoh yang panjang.

Pengunduran itu akan dibuat bersama-sama perjanjian yang akan membolehkan gencatan senjata menyeluruh dicapai kemudiannya.

Perjanjian itu mungkin memerlukan pembebasan baki 97 tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza.

Sumber Israel memberitahu media bahawa mereka telah menyampaikan saranan mereka kepada orang tengah untuk gencatan senjata selama 60 hari, meminta pembebasan tebusan dan menyatakan kesediaan untuk membebaskan beribu-ribu tahanan Palestin di penjara Israel.

Cadangan gencatan senjata penuh akan diwujudkan dalam pemeteraian berasingan perjanjian akhir yang akan merangkumi Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat serta pihak-pihak dalam gencatan senjata, kata empat sumber itu.

Agensi berita Reuters memetik sumber termaklum pada 5 Disember bahawa Encik Steve Witkoff, utusan bakal Presiden Donald Trump, telah berkunjung ke Qatar dan Israel pada November, yang berpotensi menandakan Qatar kembali ke meja rundingan.

Sumber Hamas berkata bahawa kumpulan itu telah meminta jaminan bahawa Israel tidak akan melakukan sebarang pelanggaran dalam fasa pertama gencatan senjata, selepas beberapa tebusan Israel diserahkan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg