DOHA: Rundingan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas untuk menamatkan perang di Gaza dan membebaskan baki tebusan berjalan baik secara senyap-senyap di belakang tabir, kata perantara dan pegawai.
Ia dijalankan selepas pelaksanaan gencatan senjata antara Israel dengan Hezbollah di Lebanon di samping tekanan daripada bakal Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Meskipun butiran mengenai cadangan terbaru masih kabur, beberapa pegawai yang diberi taklimat mengenai perkara itu berkata rundingan semakin lancar.
“Kami dapat rasakan momentum akan kembali selepas pilihan raya Amerika,” kata Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani, yang merupakan salah seorang pengantara utama dalam persidangan di Doha pada 7 Disember.
Beliau menambah bahawa Encik Trump menggalakkan perjanjian gencatan senjata dicapai di Gaza.
Pada November, Encik Steve Witkoff, yang akan berkhidmat sebagai utusan Timur Tengah pentadbiran Encik Trump, telah bertemu Sheikh Al Thani di Doha untuk membincangkan rundingan itu.
Keesokan harinya, Encik Witkoff bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menurut seorang pegawai yang mengetahui perkara tersebut.
Sejak pertemuan itu, rentak rundingan telah dipercepatkan, kata pegawai itu, yang tidak diberi kuasa untuk bercakap secara terbuka.
Di sebalik momentum yang diperbaharui itu, para pegawai memberi amaran bahawa perjanjian belum lagi berada di dalam tangan.
Selama berbulan-bulan, rundingan berulang kali yang diusahakan Qatar, Mesir dan Amerika menyaksikan harapan meningkat tetapi musnah hanya beberapa hari kemudian, dengan kedua-dua Israel dan Hamas menyalahkan satu sama lain atas kebuntuan itu.
Pihak perantara telah melakar perjanjian bermula dengan gencatan senjata selama 60 hari, sama seperti perjanjian yang dicapai Israel dengan Hezbollah untuk menamatkan pertempuran di Lebanon, menurut pegawai itu lagi.
Menyusulinya, Hamas akan membebaskan sekitar 100 tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza sebagai pertukaran untuk rakyat Palestin yang dipenjarakan di Israel.
Perkembangan terkini itu timbul selepas beberapa bulan rundingan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas berakhir tanpa membuahkan hasil dan kempen ketenteraan Israel meningkat di utara Gaza.
Israel dan Hamas sebelum ini terperangkap pada syarat-syarat yang tidak dapat disepakati untuk merealisasikan gencatan senjata.
Hamas berkata ia tidak akan membebaskan baki sekitar 100 tebusan sehingga Israel menamatkan perang dan berundur sepenuhnya dari Gaza, manakala Encik Netanyahu pula berikrar untuk terus berjuang sehingga pemerintahan Hamas di Gaza dihapuskan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg