WASHINGTON: Amerika Syarikat secara rasmi menggugurkan Syria daripada senarai negara penaja keganasan pada 24 Ogos, menamatkan penetapan selama 47 tahun yang sekian lama menyekat pelaburan, urus niaga kewangan dan hubungan ekonomi negara itu dengan dunia luar.

Dalam langkah yang menandakan perubahan besar hubungan Washington-Damsyik, Jabatan Negara Amerika turut menarik balik penetapan Barisan al-Nusra, yang kemudian dikenali sebagai Hay’at Tahrir al-Sham (HTS), sebagai pertubuhan pengganas global.

Jabatan Perbendaharaan Amerika pada masa sama mengumumkan kelonggaran sekatan berkaitan Syria, membuka laluan kepada lebih banyak pelaburan asing ketika negara itu berusaha membina semula ekonominya selepas lebih sedekad dilanda perang saudara.

“Hari ini, tindakan ini akan membantu menggalakkan lebih banyak pelaburan di Syria bagi meningkatkan kestabilan politik dan ekonomi,” kata Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent.

Menurut jabatan itu, keputusan tersebut sejajar dengan janji Presiden Donald Trump untuk melonggarkan sekatan terhadap Syria.

Washington bagaimanapun menegaskan bahawa langkah itu tidak bermakna Amerika mengendurkan pendiriannya terhadap ancaman pengganasan.

“Penghapusan sekatan terhadap Syria tidak mengubah pendirian Jabatan Perbendaharaan dalam memerangi pengganasan global dan komitmen kami untuk memastikan pihak yang melakukan perbuatan salah di Syria terus dipertanggungjawabkan,” katanya.

Syria berada dalam senarai negara penaja keganasan Amerika sejak 1979, ketika negara itu diperintah keluarga Assad.

Status tersebut membawa pelbagai sekatan yang selama beberapa dekad menyukarkan Syria mendapatkan pelaburan asing, mengakses sistem kewangan antarabangsa dan menjalankan urus niaga dengan syarikat luar negara.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, berkata keputusan terbaru itu memberi rakyat Syria “laluan menuju kemakmuran”.

Menurut beliau, langkah tersebut menghapuskan halangan utama yang masih membendung pelaburan sektor swasta di Syria, selain membantu pemulihan ekonomi dan penyepaduan semula negara itu ke dalam ekonomi global.

Amerika sebelum ini mengumumkan pada Julai hasrat untuk menggugurkan Syria daripada senarai tersebut, satu langkah yang dilihat sebagai tanda keyakinan Washington terhadap kepimpinan Presiden Ahmed al-Sharaa.

Encik al-Sharaa pernah memimpin HTS, kumpulan bersenjata utama yang mengetuai serangan pihak pembangkang sehingga menggulingkan Presiden Bashar al-Assad pada Disember 2024 selepas keluarganya menguasai Syria selama lebih lima dekad.

HTS sebelum ini dikenali sebagai Barisan al-Nusra dan pernah menjadi cabang Al-Qaeda di Syria.

Kumpulan itu memutuskan hubungan dengan Al-Qaeda pada 2016 sebelum berusaha mengubah imej dan pendekatan politiknya.

Hubungan Amerika-Syria semakin pulih selepas Encik Trump bertemu Encik al-Sharaa di luar Sidang Puncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Turkey.

Utusan Khas Amerika ke Syria, Encik Tom Barrack, menyifatkan pengguguran Syria daripada senarai penaja keganasan sebagai “langkah tegas” dalam perjalanan negara itu daripada pengasingan kepada kerjasama dengan masyarakat antarabangsa.

Beliau berkata status tersebut sebelum ini menjadi satu “tembok” yang menghalang rakyat Syria daripada mendapatkan pelaburan, peluang perniagaan dan sumber yang diperlukan untuk membina semula negara.

“Hari ini, satu lagi tembok diruntuhkan,” katanya menerusi X.

“Modal boleh menggantikan konflik, perusahaan boleh menggantikan pengasingan dan perdagangan boleh terus mengatasi kekacauan.”

Menurut Encik Barrack, keputusan itu bukan sekadar menghapuskan satu sekatan, malah menjadi asas kepada hubungan baharu Amerika-Syria yang dibina atas kepentingan bersama, keselamatan dan kemakmuran.

Damsyik menyambut baik keputusan Washington dan menyifatkannya sebagai titik perubahan penting selepas bertahun-tahun berdepan pengasingan antarabangsa.

Menteri Luar Syria, Encik Asaad al-Shaibani, berkata penghapusan status itu merupakan hasil perubahan yang dibawa rakyat Syria selepas kejatuhan pemerintahan Assad.

“Kami mengucapkan tahniah kepada rakyat Syria atas detik bersejarah ini,” katanya.

Menurutnya, penetapan Syria sebagai negara penaja keganasan selama 47 tahun berkait dengan dasar dan tindakan pemerintahan terdahulu dan “tidak pernah menjadi pilihan rakyat Syria”.

Beliau berkata keputusan Washington turut mencerminkan komitmen pemerintah baharu Syria terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa serta kesediaannya menjalin kerjasama dengan Amerika dan negara lain.

Di bawah kepimpinan Encik al-Sharaa, katanya, Syria akan terus berusaha mengatasi kesan pengasingan selama beberapa dekad dan mewujudkan hubungan berasaskan ketelusan, kepentingan bersama serta rasa hormat.

Menteri Kewangan Syria, Encik Mohammed Barnieh, pula menyifatkan keputusan itu sebagai “kejayaan diplomasi Syria”.

Menurutnya, ia membuka peluang yang sekian lama dinantikan untuk Syria kembali menyertai sistem ekonomi dan kewangan global, menarik pelaburan serta teknologi moden dan meningkatkan pembangunan.

Gabenor Bank Pusat Syria, Encik Safwat Raslan, berkata institusinya kini berusaha membina sistem kewangan yang moden dan boleh dipercayai bagi memanfaatkan peluang ekonomi yang muncul.

Walaupun status Syria sebagai negara penaja pengganasan telah ditarik balik, beberapa sekatan Amerika yang lain masih kekal dan tertakluk kepada proses undang-undang berasingan.

Bagi Syria yang masih berdepan kemusnahan besar selepas perang saudara lebih 13 tahun, keputusan Washington itu dilihat sebagai langkah penting untuk menarik modal asing, memulihkan perdagangan dan mempercepat pembinaan semula negara. - Agensi berita