WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump memuktamadkan peraturan baharu yang mengehadkan tempoh tinggal pelajar asing dan wartawan antarabangsa di Amerika Syarikat, langkah terbaharu dalam usaha mengetatkan dasar imigresen negara itu.

Peraturan yang dijangka berkuat kuasa seawal September itu menetapkan pelajar asing hanya dibenarkan tinggal sepanjang tempoh pengajian mereka, dengan had maksimum empat tahun.

Bagi wartawan asing pula, tempoh visa dihadkan kepada 240 hari atau kira-kira lapan bulan, namun mereka boleh memohon lanjutan bagi tempoh yang sama.

Wartawan dari China dikenakan syarat lebih ketat apabila hanya dibenarkan berada di Amerika Syarikat selama 90 hari bagi setiap kemasukan, dengan lanjutan maksimum 90 hari.

Langkah itu adalah sebahagian daripada dasar imigresen lebih tegas yang menjadi antara agenda utama pentadbiran Trump, termasuk memperketat penguatkuasaan di bandar-bandar utama serta mengehadkan laluan imigresen yang sah.

Bagaimanapun, peraturan baharu itu menerima kritikan hebat daripada pertubuhan kebebasan media dan institusi pengajian tinggi.

Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) menyifatkan sekatan terhadap wartawan asing sebagai tindakan yang menjejaskan kebebasan media.

“Perubahan ini memusnahkan keupayaan wartawan antarabangsa untuk membuat liputan dari Amerika Syarikat dan menyukarkan organisasi media asing beroperasi di negara ini,” kata Pengurus Advokasi RSF Amerika Utara, Ben Grazda.

RSF turut menggesa Kongres Amerika Syarikat campur tangan bagi memastikan wartawan asing dapat terus menjalankan tugas mereka tanpa sekatan yang tidak munasabah.

Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) pula menyifatkan tindakan itu sebagai petanda kemerosotan amalan demokrasi dan kebebasan media di negara berkenaan.

Peraturan itu dimuktamadkan selepas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) menerima hampir 22,000 maklum balas awam sejak cadangan berkenaan dikemukakan pada Ogos 2025.

Ketika mengemukakan cadangan itu, DHS mendakwa terdapat pelajar asing yang melanjutkan pengajian berulang kali semata-mata untuk terus tinggal di Amerika Syarikat sebagai “pelajar selama-lamanya”.

Menurut jabatan itu, sistem sedia ada yang digunakan sejak penghujung 1970-an menyukarkan pihak berkuasa memantau pemegang visa pelajar.

Data rasmi menunjukkan Amerika Syarikat menerima lebih 1.1 juta pelajar antarabangsa bagi sesi akademik 2023-2024, sekali gus menjadikannya destinasi pendidikan paling popular di dunia.

Kehadiran mereka menyumbang lebih AS$50 bilion ($64 bilion) kepada ekonomi Amerika Syarikat pada 2023.

Namun, kumpulan pendidikan tinggi memberi amaran bahawa peraturan baharu itu akan mengurangkan daya tarikan universiti Amerika Syarikat kepada pelajar berbakat dari seluruh dunia.

Perikatan Presiden Institusi Pengajian Tinggi dan Imigresen berkata langkah itu hanya menambah kerenah birokrasi serta melemahkan daya saing institusi pengajian tinggi negara itu.

Beberapa universiti juga dilaporkan telah mencatatkan penurunan kemasukan pelajar antarabangsa susulan tindakan pentadbiran Trump sebelum ini, termasuk pembatalan ribuan visa pelajar dan penggantungan pembiayaan penyelidikan persekutuan bernilai berbilion dolar.

Cadangan supaya tempoh visa wartawan asing dilanjutkan antara dua hingga lima tahun turut ditolak oleh DHS, termasuk permintaan supaya proses permohonan dipercepatkan dan bayaran visa dihadkan.

Encik Trump pernah mencadangkan peraturan hampir sama pada penghujung penggal pertamanya sebagai presiden, namun ia dibatalkan oleh penggantinya, Encik Joe Biden.

Peraturan baharu itu kini menunggu semakan Kongres Amerika Syarikat yang dikuasai Parti Republikan. - Agensi berita