Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Memo AS tuntut universiti patuh syarat ideologi, had pelajar antarabangsa untuk dana persekutuan

Oct 2, 2025 | 2:23 PM
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah mengancam untuk memotong dana persekutuan kepada universiti atas pelbagai isu, termasuk protes pro-Palestin yang menentang perang sekutu Amerika Syarikat, Israel, di Gaza, dasar berkaitan transgender, inisiatif perubahan iklim serta program kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI).
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah mengancam untuk memotong dana persekutuan kepada universiti atas pelbagai isu, termasuk protes pro-Palestin yang menentang perang sekutu Amerika Syarikat, Israel, di Gaza, dasar berkaitan transgender, inisiatif perubahan iklim serta program kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI). - Foto Reuters

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dilaporkan menggesa beberapa universiti terkemuka di negara itu menandatangani satu perjanjian yang mengandungi syarat baharu yang ketat bagi mendapatkan akses istimewa kepada dana persekutuan.

Menurut The Wall Street Journal, perjanjian yang dihuraikan melalui memorandum 10 perkara itu dihantar pada 1 Oktober kepada sekurang-kurangnya sembilan universiti utama, termasuk Institut Teknologi Massachusetts, Brown, Dartmouth, Universiti Pennsylvania, Universit of Southern California (USC), Universiti Texas dan Universiti Arizona.

Jurucakap Rumah Putih enggan memberi komen lanjut, namun seorang pegawai kanan memaklumkan kepada Reuters bahawa universiti yang bersetuju akan menerima “geran persekutuan yang besar dan bermakna” selain beberapa manfaat lain.

Dalam memorandum tersebut, pentadbiran Trump menetapkan beberapa syarat yang dilihat mengubah dasar universiti secara mendalam.

Antara perkara utama dalam memo itu ialah larangan penggunaan faktor kaum dan jantina dalam proses pengambilan pekerja serta kemasukan pelajar. Selain itu, universiti diminta mengehadkan jumlah pelajar antarabangsa peringkat sarjana kepada maksimum 15 peratus daripada keseluruhan pelajar, di samping membekukan yuran pengajian selama lima tahun bagi memastikan akses pendidikan yang lebih stabil dan berpatutan.

Memo tersebut juga menetapkan keperluan ujian standard seperti SAT untuk semua pemohon, mengekang fenomena inflasi gred yang dikatakan merosakkan integriti akademik, serta mewajibkan universiti mempromosikan persekitaran pembelajaran yang “neutral secara politik dan terbuka kepada pelbagai pandangan”. Langkah-langkah ini, menurut pentadbiran Trump, bertujuan “mengembalikan keseimbangan” dalam institusi pendidikan tinggi Amerika Syarikat.

“Tiada lebih daripada 15 peratus populasi pelajar sarjana di sesebuah universiti boleh terdiri daripada peserta program visa pelajar, dan tidak lebih lima peratus boleh datang dari satu negara sahaja,” menurut memo itu. Bagi universiti yang telah melebihi had tersebut, kemasukan baru perlu memenuhi had 15 peratus.

Memo itu turut menekankan keperluan universiti menyemak semula struktur tadbir urus dan “menghapuskan atau mengubah unit yang menghukum, memperlekeh atau menggalakkan kebencian terhadap idea konservatif”.

Selain itu, memo menggesa agar pelajar antarabangsa disaring untuk memastikan mereka “menyokong nilai Amerika dan Barat” serta “menolak individu yang menunjukkan permusuhan terhadap Amerika Syarikat, sekutu atau nilainya”. Universiti juga digesa menyerahkan maklumat lengkap tentang rekod pelajar asing, termasuk rekod disiplin, jika diminta oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Jabatan Negara.

Langkah ini mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan pejuang hak akademik dan kebebasan bersuara. Mereka mendakwa pentadbiran Trump cuba menyelaraskan institusi pendidikan dengan agenda politiknya.

“Ini adalah usaha untuk menundukkan universiti kepada garis politik pentadbiran Trump, sekali gus mengancam kebebasan akademik,” kata seorang aktivis pendidikan tinggi yang enggan dikenali.

Encik Trump sebelum ini berulang kali mengancam untuk memotong dana persekutuan ke atas universiti yang menurutnya menyokong “nilai anti-Amerika” termasuk protes pro-Palestin terhadap perang Israel di Gaza, inisiatif iklim, polisi transgender serta program kepelbagaian, kesaksamaan dan inklusif (DEI).

Cik May Mailman, Penasihat Kanan Projek Khas di White House, memberitahu The Wall Street Journal bahawa pentadbiran Trump “berharap universiti melihat langkah ini sebagai sesuatu yang munasabah dan perlu demi masa depan pendidikan Amerika”.

Pentadbiran Trump juga giat menyiasat beberapa universiti besar atas pelbagai isu, termasuk protes pro-Palestin. Columbia dan Brown dilaporkan telah mencapai penyelesaian dengan kerajaan selepas siasatan, termasuk bayaran pampasan. Columbia bersetuju membayar lebih AS$220 juta (S$283.3 juta) kepada pemerintah manakala Brown akan membayar AS$50 juta untuk pembangunan tenaga kerja tempatan.

Encik Trump turut mendakwa sedang dalam rundingan akhir dengan Universiti Harvard yang bakal melibatkan pembayaran AS$500 juta sebagai sebahagian penyelesaian kes berkaitan dasar universiti.

Dalam satu kenyataan kepada media, Encik Trump berkata, “Kami mahu memastikan universiti tidak lagi menjadi tempat berkembangnya nilai anti-Amerika dan diskriminasi terhadap idea konservatif. Ini masa untuk pembaharuan.”

Syarat baharu ini dijangka memberi kesan besar kepada pelajar antarabangsa, termasuk dari Asia Tenggara. Had pengambilan maksimum 15 peratus boleh menjejaskan peluang kemasukan pelajar luar negara ke universiti elit Amerika.

“Ini jelas satu usaha mengurangkan pergantungan universiti kepada pelajar antarabangsa,” kata seorang penganalisis pendidikan di Washington. “Jika dilaksanakan, ia bukan sahaja memberi kesan kepada akses pendidikan, malah boleh mengurangkan pendapatan universiti yang bergantung kepada yuran pelajar asing.”

Memo itu juga menimbulkan kebimbangan privasi kerana menggesa universiti menyerahkan maklumat pelajar antarabangsa kepada pihak berkuasa keselamatan, susulan tindakan pentadbiran Trump baru-baru ini cuba mengusir pelajar pro-Palestin yang menentang perang Israel di Gaza.

Penganalisis melihat pelan ini sebagai usaha menyeluruh untuk menjadikan institusi pendidikan tinggi Amerika lebih sehaluan dengan agenda konservatif Trump, terutamanya menjelang pilihan raya.

“Ini bukan sekadar soal dana, tetapi cara mengubah wajah pendidikan tinggi di Amerika agar selaras dengan naratif nasionalis dan anti-imigran,” kata seorang profesor dasar awam dari Universiti Georgetown.

Walaupun universiti yang menandatangani perjanjian dijanjikan geran besar dan sokongan kerajaan, syarat yang dikenakan dijangka mencetuskan perdebatan hangat tentang kebebasan akademik, hak pelajar antarabangsa, serta peranan universiti sebagai ruang terbuka untuk pemikiran kritis. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg