Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS tapis media sosial pelajar asing mohon visa

Jun 19, 2025 | 3:47 PM
Pemohon visa pelajar akan diminta mendedahkan profil media sosial mereka kepada umum, kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara Amerika Syarikat.
Pemohon visa pelajar akan diminta mendedahkan profil media sosial mereka kepada umum, kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara Amerika Syarikat. - Foto fail

WASHINGTON: Pelajar asing yang ingin menuntut di Amerika Syarikat akan dikehendaki mendedahkan profil media sosial mereka kepada umum bagi membolehkan penyaringan kandungan anti-Amerika di bawah garis panduan baru Jabatan Negara yang dikeluarkan pada 18 Jun.

Jabatan Negara telah menghentikan sementara pengeluaran visa untuk pelajar asing pada akhir Mei sementara ia menyiapkan panduan baru mengenai media sosial.

Jabatan tersebut akan menyambung semula janji temu dengan pemohon kelak.

“Pemeriksaan media sosial yang dipertingkatkan akan memastikan kami menyaring dengan betul setiap orang yang cuba melawat negara kami,” kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara.

Pegawai konsular Amerika akan menjalankan “pemeriksaan menyeluruh terhadap semua pelajar dan pemohon pertukaran pelawat”, kata pegawai itu.

Bagi memudahkan pemeriksaan, tambahnya, pemohon visa pelajar akan diminta melaraskan tetapan privasi pada semua profil media sosial mereka kepada “umum”.

Dalam perintah eksekutif pada hari pertamanya sebagai presiden, Encik Donald Trump, menyeru peningkatan pemeriksaan terhadap orang asing yang memasuki Amerika.

Ia bagi memastikan mereka “tidak mempunyai sikap permusuhan terhadap rakyat, budaya, pemerintah, institusi, atau prinsip asasnya”.

Visa pelajar adalah salah satu siri langkah tegas yang dilakukan oleh pentadbiran Encik Trump mengenai pendidikan tinggi, yang menyaksikan beribu-ribu visa dibatalkan.

Pentadbiran Encik Trump pada 22 Mei telah membatalkan hak Universiti Havard untuk mendaftarkan warga asing – lebih seperempat daripada bilangan pelajarnya.

Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio, juga telah membatalkan visa sebahagian besar pelajar yang mengetuai tunjuk perasaan bagi mengkritik serangan Israel di Gaza.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Encik Rubio telah menggunakan undang-undang tidak jelas dan membenarkannya mengusir warga asing yang terlibat dalam kegiatan yang dianggap bertentangan dengan kepentingan dasar luar Amerika.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri pada April berkata media sosial pemohon pelajar asing akan diperiksa untuk “kegiatan anti-Semitisme” atau anti-Yahudi yang boleh mengakibatkan penafian visa.

Pemerintah Amerika telah memeriksa media sosial individu yang ingin berhijrah ke negara itu atau yang memohon bagi mendapatkan kad hijau selama lebih sedekad. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg