Topic followed successfully
Go to BHkuAS henti seketika langkah iringi kapal di Selat Hormuz
AS henti seketika langkah iringi kapal di Selat Hormuz
Trump ingin beri laluan kepada rundingan diplomatik, meski ketegangan memuncak, serangan dron berterusan
AS henti seketika langkah iringi kapal di Selat Hormuz
WASHINGTON: Amerika Syarikat akan menghentikan sementara, langkah mengiringi kapal perdagangan melalui Selat Hormuz hanya sehari selepas operasi itu bermula, kata Presiden Amerika, Encik Donald Trump, pada 5 Mei.
Beliau turut melahirkan keinginan mencapai perjanjian damai dengan Iran.
Walaupun terdapat peningkatan kegiatan ketenteraan dalam beberapa hari kebelakangan ini, Encik Trump berkata “kemajuan yang besar telah dicapai” ke arah perjanjian dengan Teheran, dengan operasi pengawalan kapal itu “akan dihentikan sementara buat satu tempoh singkat untuk melihat sama ada perjanjian itu boleh dimuktamadkan dan ditandatangani”.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, berkata Amerika telah menamatkan operasi serangan terhadap Iran, namun tetap berhak melancarkan tindak balas yang “memusnahkan”, sekiranya berlaku sebarang serangan baharu ke atas kapal-kapal di selat yang sempit itu.
Encik Rubio turut mengulangi kata-kata pegawai ketenteraan tertinggi Washington yang terlebih dahulu menyatakan bahawa tentera Amerika bersedia menyambung semula operasi tempur sekiranya diperintahkan.
Encik Trump turut menegaskan, sekatan ke atas pelabuhan Iran “akan kekal berkuat kuasa sepenuhnya”.
Apabila pengumuman itu dibuat di Washington, media Iran melaporkan bahawa Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, telah tiba di Beijing, di mana beliau dijadualkan bertemu rakan sejawatnya dari China, Encik Wang Yi, pada 6 Mei.
Operasi iringan tentera Amerika yang berlangsung hanya sehari setengah dan dipanggil “Projek Kebebasan” oleh Encik Trump itu telah mencetuskan serangan balas Iran, sekali gus mengancam kestabilan gencatan senjata yang sudah pun rapuh.
Tentera laut Pengawal Revolusi Iran memberi amaran akan “tindak balas yang tegas” sekiranya kapal-kapal menyimpang dari laluan yang diluluskan melalui selat itu.
Ini berlaku apabila Ketua Perunding Iran berkata Teheran “belum pun bermula lagi” selepas berlakunya siri serangan di laluan perdagangan yang penting itu.
Dalam pada itu, Amiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan bahawa ia sedang memintas serangan peluru berpandu dan dron bertalu-talu dari Iran buat hari kedua. Namun dakwaan itu dinafikan keras oleh Teheran.
“Angkatan tentera... tidak melancarkan sebarang operasi peluru berpandu atau dron,” kata pasukan komando Iran, Khatam al-Anbiya.
Pada 4 Mei, Iran telah melepaskan peluru berpandu dan dron ke arah tentera Amerika, sementara Washington pula berkata ia telah menyerang enam bot Iran yang didakwa mengancam kapal perdagangan. Ini merupakan peningkatan ketegangan yang paling ketara sejak gencatan senjata sebulan lalu.
Komando Pusat Amerika kekal “bersedia menyambung semula operasi tempur besar... jika diperintahkan,” kata Jeneral Dan Caine kepada wartawan.
“Tiada musuh yang harus menganggap kawalan diri di pihak kami sekarang sebagai kekurangan azam,” jelasnya.
Lebih awal daripada itu pada 5 Mei, Encik Trump menggesa Iran supaya “melakukan perkara yang bijak” dan membuat perjanjian, dengan berkata beliau tidak mahu membunuh lebih ramai rakyat Iran walaupun gencatan senjata itu sedang goyah.
Ketua Pentagon, Encik Pete Hegseth, pula berkata Amerika “tidak mencari gaduh” tetapi memberi amaran akan berlaku serangan yang lebih “luar biasa dan memusnahkan”.
Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, berkata keadaan semasa “tidak boleh diterima”, sambil memberi amaran bahawa “kehadiran jahat Amerika di rantau ini akan berakhir”, ketika Teheran bersumpah untuk terus menguasai Selat Hormuz.
Pertukaran tembakan pada 4 Mei berlaku apabila kedua-dua pihak menguatkuasakan sekatan maritim yang bercanggah berikutan rancangan Encik Trump untuk membimbing kapal keluar dari Teluk.
Perang yang tercetus lebih dua bulan lalu akibat serangan Amerika-Israel ke atas Iran itu telah menjejas teruk ekonomi sejagat walaupun terdapat gencatan senjata yang telah berlangsung beberapa minggu.
Iran menafikan sebarang kerugian angkatan lautnya, tetapi menuduh Washington membunuh lima orang awam di atas bot.
Walaupun terdapat ketegangan, gergasi pengangkutan barangan Denmark, Maersk, berkata salah sebuah kapalnya telah merentasi Selat Hormuz di bawah dengan diiringi Amerika.
UAE pula menyifatkan serangan itu sebagai “peningkatan tindak balas berbahaya”, manakala Arab Saudi menggesa usaha ke arah penyelesaian politik. – Agensi berita.
