Topic followed successfully
Go to BHkuIran, AS terperangkap dalam konflik tanpa penamat
Iran, AS terperangkap dalam konflik tanpa penamat
Iran, AS terperangkap dalam konflik tanpa penamat
TEHERAN: Kebuntuan rundingan damai antara Iran dengan Amerika Syarikat meletakkan kedua-dua negara dalam keadaan yang semakin tidak menentu: perang besar belum bersambung, tetapi keamanan sebenar juga belum tercapai.
Selepas rancangan untuk menyambung rundingan damai Amerika-Iran tergendala, sekurang-kurangnya buat masa ini, Teheran dan Washington kini berada dalam keadaan “tiada perang, tiada damai”.
Kedua-dua pihak dilihat cuba bertahan lebih lama daripada lawan masing-masing, walaupun pertaruhan itu membawa risiko besar kepada ekonomi sejagat, pasaran tenaga dan keselamatan Asia Barat.
Penganalisis berkata pegawai Iran percaya mereka mampu menanggung tekanan ekonomi akibat perang lebih lama berbanding Presiden Amerika, Encik Donald Trump.
Namun, keyakinan itu tidak menghapuskan kebimbangan utama Teheran. Tanpa rentak rundingan, Iran terus berada di bawah ancaman serangan baharu oleh Amerika atau Israel.
Mantan naib presiden dalam pemerintah Iran sebelum ini yang juga pakar sains politik di Universiti Teheran, Encik Sasan Karimi, menyamakan keadaan semasa dengan situasi selepas perang 12 hari antara Israel dengan Iran pada Jun lalu.
“Apa yang berlaku sekarang hampir sama dengan apa yang kita lihat pada akhir perang 12 hari, iaitu perang berakhir, tetapi tanpa sebarang ketetapan kekal,” katanya.
Kenyataan itu menggambarkan masalah utama dalam krisis tersebut.
Gencatan senjata mungkin menghentikan serangan terbuka, tetapi ia tidak menyelesaikan punca konflik.
Selat Hormuz masih terganggu, sekatan laut Amerika ke atas pelabuhan Iran masih berkuat kuasa, dan rundingan mengenai program nuklear Iran belum bergerak ke arah penyelesaian membina.
Dalam satu rencana yang diterbitkan akhbar konservatif Iran, Khorasan, dan disiarkan semula oleh beberapa media Iran lain, keadaan semasa disifatkan sebagai “limbo strategik” iaitu keadaan tergantung atau tidak menentu yang membawa risiko besar.
“Kedua-dua pihak telah berundur daripada kos perang besar-besaran, tetapi belum keluar daripada logik kekuatan dan tekanan,” ujar rencana itu.
Rencana itu turut memberi amaran keadaan “mungkin lebih berbahaya daripada perang jangka pendek itu sendiri”.
Amaran tersebut berasas kerana kebuntuan berpanjangan boleh mencetuskan salah faham, salah perhitungan atau provokasi baharu.
Dalam keadaan tiada perjanjian rasmi, setiap pergerakan tentera, kapal atau kenyataan politik boleh ditafsir sebagai ancaman.
Usaha untuk menghidupkan semula rundingan gencatan senjata yang diusahakan Pakistan juga belum menunjukkan kemajuan jelas.
Selepas serangan Amerika dan Israel ke atas Iran berakhir dengan gencatan senjata pada awal April, kedua-dua pihak mendakwa mereka berada dalam kedudukan lebih kuat.
Akibatnya, tiada pihak mahu membuat konsesi awal yang boleh membuka ruang rundingan.
Encik Trump membatalkan rancangan menghantar utusan khasnya, Encik Steve Witkoff, dan menantunya, Encik Jared Kushner, ke Islamabad bagi pusingan kedua rundingan.
Menurutnya, Iran hanya akan membuang masa perunding Amerika.
Di pihak Iran pula, pegawai tertinggi negara itu menegaskan mereka tidak akan menyertai rundingan langsung selagi Encik Trump tidak menarik balik sekatan laut Amerika ke atas pelabuhan Iran.
Sekatan itu dikenakan selepas persetujuan gencatan senjata, sebagai sebahagian daripada tekanan Washington terhadap hasil minyak Teheran.
Namun, Iran tetap aktif menggerakkan saluran diplomatik serantau.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, mengadakan pertemuan di Oman selepas lawatannya ke Pakistan, sebelum kembali semula ke Pakistan.
Menurut media Iran, beliau juga ke Russia selepas mengadakan satu lagi pertemuan dengan rakan sejawatannya di Pakistan.
Bagi Teheran, Pakistan penting sebagai pengantara rundingan, manakala Oman pula dianggap kritikal kerana kedudukannya di tepi Selat Hormuz.
Negara Teluk itu sering memainkan peranan sebagai saluran diplomatik tidak langsung antara Iran dengan Barat.
Encik Karimi menggesa kepimpinan Iran supaya menggunakan saat ini untuk membentangkan rangka kerja menyeluruh bagi perjanjian dengan Amerika, termasuk konsesi yang sanggup diberikan Iran, tuntutan akhirnya, serta visi lebih besar bagi pakatan keamanan serantau.
Namun, beliau mengakui dalam politik Iran, mengekalkan keadaan sedia ada kini menjadi pilihan paling selamat.
“Status quo ialah cara paling konservatif untuk bertindak secara politik sekarang,” katanya.
“Ini kerana sebarang perubahan membuka kemungkinan seseorang dipersalahkan pada masa depan” jika rancangan itu gagal.
Dari sudut ekonomi, Iran percaya ia masih boleh menunggu tekanan politik terhadap Encik Trump meningkat.
Ketua Eksekutif, kumpulan pemikir diplomasi ekonomi, Yayasan Bursa & Bazar di London, Encik Esfandyar Batmanghelidj, berkata Teheran melihat gangguan di Selat Hormuz sebagai beban yang lebih cepat memberi kesan kepada Encik Trump berbanding Iran.
Iran, katanya, percaya ia boleh “menunggu Trump” sekurang-kurangnya untuk beberapa minggu, kerana gangguan di selat itu lebih menjejas Washington daripada sudut politik dan ekonomi.
Namun, keadaan ekonomi Iran sendiri sudah parah.
Laporan pemberhentian kerja semakin banyak, manakala pengeluaran petrokimia dan ubat-ubatan terganggu akibat perang.
Akhbar ekonomi utama Iran, Donya-e-Eghtesad, meramalkan inflasi tahunan boleh meningkat mencecah 49 peratus “dalam keadaan paling optimistik” jika perjanjian dicapai.
Jika keadaan “tiada perang, tiada damai” berlarutan, inflasi boleh menghampiri 70 peratus dalam beberapa bulan akan datang.
Sekiranya perang bersambung, inflasi melampau pula boleh melebihi 120 peratus.
Walaupun begitu, beberapa pakar ekonomi menganggarkan pemerintah Iran masih mampu bertahan antara tiga dengan enam bulan dalam krisis semasa.
Bagi Washington pula, tekanan mungkin tiba lebih cepat melalui kenaikan harga minyak, gangguan eksport baja dan kesan berantai terhadap ekonomi sejagat.
Inilah dilema utama kedua-dua pihak.
Iran mungkin mampu bertahan dari segi politik, tetapi terus terdedah kepada ancaman ketenteraan.
Amerika pula mungkin mempunyai kelebihan tekanan tentera dan sekatan, tetapi berdepan risiko kemarahan sejagat jika Selat Hormuz terus terganggu dan harga tenaga melonjak.
Seperti kata Encik Batmanghelidj, keadaan tanpa perjanjian damai dan tanpa perang terbuka tetap berbahaya bagi Iran.
“Keadaan tanpa perjanjian dan tanpa perang, dari sudut Iran, menjadikan negara itu terus terdedah pada ancaman,” katanya.
Akhirnya, kebuntuan itu bukan sekadar soal siapakah lebih lama mampu bertahan antara Tehran dengan Washington.
Ia juga menjadi ujian sama ada kedua-dua pihak mampu keluar daripada tekanan, ancaman dan sekatan sebelum keadaan yang kelihatan reda kembali berubah menjadi perang terbuka. – Agensi berita.
