WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menjangkakan rundingan dengan Iran disambung minggu ini meskipun beliau menolak cadangan gencatan senjata terbaru Teheran yang turut menggariskan rancangan membuka semula Selat Hormuz.

Kenyataan itu dibuat pada 27 September ketika kedua-dua negara masih berbeza pendirian mengenai syarat menamatkan konflik, dengan Iran menegaskan bahawa pihaknya tidak akan membuka semula laluan perdagangan minyak utama dunia itu selagi tuntutannya tidak dipenuhi.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, berkata Teheran masih menunggu jawapan rasmi Amerika melalui negara pengantara sebelum memutuskan sama ada usaha menghidupkan semula rundingan perlu diteruskan.

Dalam wawancara bersama program Meet the Press terbitan NBC, beliau menyifatkan cadangan terbaru Iran sebagai pelan yang munasabah dan masih boleh dirundingkan.

“Kami mendengar Presiden Trump menolak perjanjian ini. Tetapi kami masih menunggu jawapan rasmi melalui pihak pengantara,” katanya.

Cadangan yang dikemukakan delegasi Iran ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York merangkumi gencatan senjata selama tujuh hari, diikuti pembukaan semula Selat Hormuz dan rundingan mengenai program nuklear Iran.

Encik Trump sebelum ini menolak cadangan tersebut, malah membayangkan kemungkinan Amerika menyambung serangan udara besar-besaran terhadap sasaran di Iran.

Bagaimanapun, dalam wawancara bersama portal berita Axios yang diterbitkan pada 27 September, beliau berkata rundingan tidak langsung dengan Teheran dijangka diteruskan dalam beberapa hari mendatang.

“Mereka mahu mencapai perjanjian, tetapi bukan perjanjian yang saya mahukan. Ia mungkin perjanjian yang boleh kami persetujui setahun lalu,” katanya.

Beliau turut mendakwa Iran telah mengambil tindakan yang melampaui batas dalam rundingan terdahulu.

Menurut Axios, yang memetik sumber yang mengetahui perkembangan tersebut, rundingan tidak langsung antara Washington dengan Teheran mungkin berlangsung seawal 28 September.

Usaha pengantaraan sebelum ini diketuai pegawai Qatar dan Pakistan.

Encik Araghchi, yang masih berada di New York, berkata kenyataan awal Encik Trump tidak semestinya mencerminkan pendirian muktamad Washington.

Menurut beliau, Teheran hanya akan membuat keputusan selepas menerima penjelasan rasmi daripada pihak pengantara.

Perbezaan pendirian itu menunjukkan betapa sukarnya kedua-dua negara mencapai persefahaman selepas berbulan-bulan berperang dan mengenakan tekanan ketenteraan serta ekonomi antara satu sama lain.

Duta Amerika ke PBB, Encik Mike Waltz, mengkritik cadangan Iran kerana didakwanya menuntut terlalu banyak kelonggaran sebelum rundingan substantif dimulakan.

Beliau turut menuduh Teheran melanggar memorandum persefahaman yang dicapai pada Jun lalu dengan menyerang kapal yang melalui Selat Hormuz.

Iran sebaliknya mendakwa perjanjian tersebut gagal kerana tentera Amerika secara sulit membantu kapal melalui laluan berkenaan.

Menurut Encik Waltz, Washington masih meragui kesungguhan Iran untuk berunding mengenai penamatan program nuklearnya.

Pertikaian mengenai Selat Hormuz menjadi antara halangan utama kerana laluan strategik itu penting bagi penghantaran minyak dan gas dunia.

Sejak Amerika dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada Februari lalu, Tehran menggunakan sekatan terhadap perkapalan di selat tersebut sebagai tekanan terhadap Washington.

Gangguan itu menyebabkan harga tenaga meningkat dan menjejaskan ekonomi global.

Sebagai tindak balas, Amerika mengenakan sekatan laut dan memperketat sekatan ekonomi terhadap Iran.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, mendakwa tekanan sekatan ekonomi semakin berkesan kerana Iran kini menghadapi kesukaran mengeksport minyak ke China, pembeli terbesarnya.

Beliau menganggarkan hanya sekitar 15 juta tong minyak Iran masih berada di laut dan penghantaran terakhir ke China mungkin selesai dalam tempoh dua minggu.

Menurut beliau, keadaan itu meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Tehran untuk mencapai perjanjian.

Bagaimanapun, Iran tetap berkeras dengan tuntutan utamanya sebelum bersetuju membuka semula Selat Hormuz.

Tuntutan tersebut termasuk pembebasan kira-kira AS$12 bilion ($15.34 bilion) aset Iran yang dibekukan, pemansuhan sekatan terhadap penjualan minyak serta penamatan sekatan laut Amerika.

Penyelidik Pusat Kajian Strategik Timur Tengah di Teheran, Encik Kamran Karami, berpendapat Iran masih berharap pertukaran pandangan dalam beberapa hari mendatang dapat membuka ruang kompromi.

Encik Araghchi pula menegaskan bahawa tekanan ketenteraan dan ekonomi tidak akan memaksa negaranya menerima tuntutan Washington.

“Kami tetap teguh menghadapi sebarang pencerobohan baharu. Pada masa yang sama, kami bersedia untuk berdiplomasi,” katanya.

“Terpulang kepada Presiden Trump untuk membuat pilihan.” – Agensi berita.