Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS, Iran capai kemajuan awal dalam rundingan damai di Switzerland
AS, Iran capai kemajuan awal dalam rundingan damai di Switzerland
AS-Iran setuju buka saluran komunikasi Selat Hormuz, usaha tamatkan perang Lebanon dipercepat
AS, Iran capai kemajuan awal dalam rundingan damai di Switzerland
GENEVA: Amerika Syarikat dan Iran pada 22 Jun bersetuju mewujudkan saluran komunikasi khas bagi memastikan Selat Hormuz kekal dibuka kepada kapal dagang serta mempercepat usaha menamatkan konflik di Lebanon, selepas rundingan pertama kedua-dua negara di Switzerland menunjukkan perkembangan positif.
Perkembangan itu diumumkan pengantara utama rundingan, Qatar dan Pakistan, selepas siri perbincangan intensif antara pegawai kanan Washington dan Teheran di resort Buergenstock, Switzerland.
Rundingan tersebut menjadi usaha diplomatik paling penting setakat ini untuk menamatkan perang di Timur Tengah yang tercetus sejak serangan bersama Amerika dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu.
Dalam kenyataan bersama, Qatar dan Pakistan berkata kedua-dua pihak bersetuju terhadap satu rangka kerja bagi mencapai perjanjian muktamad dalam tempoh 60 hari.
“Kemajuan memberangsangkan telah dicapai termasuk pembentukan mekanisme rundingan teknikal lanjut,” menurut kenyataan itu.
Rundingan teknikal dijadual diteruskan sepanjang minggu ini di resort milik Qatar di kawasan pergunungan Switzerland itu.
Kenyataan sama turut mengesahkan pembentukan saluran komunikasi bagi mengelakkan salah faham dan insiden di Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan sebahagian besar penghantaran minyak dan gas dunia.
Selain itu, satu “sel penyelarasan keselamatan” turut diwujudkan antara Amerika, Iran dan pihak berkuasa Lebanon bagi mengelakkan pertempuran baharu tercetus antara Israel dan Hezbollah.
Naib Presiden Amerika Syarikat, Encik JD Vance, mengetuai delegasi Washington dalam rundingan itu, manakala Iran diwakili Speaker Parlimennya, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf.
Perbincangan berlangsung sehingga awal pagi 22 Jun selepas permulaan yang tegang susulan ancaman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, terhadap Iran.
Menurut Fox News, Encik Trump memberi amaran kepada pegawai Iran bahawa negara itu “tidak akan mempunyai negara lagi” sekiranya cuba menutup Selat Hormuz sekali lagi.
Encik Trump turut mengugut untuk melancarkan semula serangan terhadap Iran jika Tehran gagal menghalang kumpulan sekutunya di Lebanon daripada menyerang Israel.
“Iran mesti segera menghentikan proksi mereka di Lebanon daripada mencetuskan masalah.
“Jika tidak, kami akan menyerang Iran dengan lebih kuat daripada minggu lalu,” katanya menerusi media sosial.
Ancaman itu menyebabkan delegasi Iran dilaporkan meninggalkan bilik rundingan buat sementara sebelum perbincangan diteruskan melalui pengantara Qatar dan Pakistan.
Bagaimanapun, seorang diplomat Amerika menafikan rundingan terhenti sepenuhnya.
“Pegawai Iran tidak pernah meninggalkan Switzerland dan rundingan diteruskan sehingga lewat malam.
“Kami membincangkan Selat Hormuz, Lebanon, isu nuklear dan pelaksanaan memorandum persefahaman,” katanya kepada Reuters.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, menyifatkan rundingan itu sebagai kemajuan besar hasil usaha pengantaraan Pakistan dan Qatar.
“Pengantaraan tanpa henti Pakistan dan Qatar telah menghasilkan kemajuan besar untuk menamatkan perang Lebanon,” katanya menerusi platform X.
Beliau berkata Iran berjaya memperoleh kelonggaran eksport minyak dan petrokimia, pembebasan sebahagian aset yang dibekukan serta pelancaran pelan pembangunan dan pembinaan semula negara itu.
Konflik di Lebanon menjadi isu paling sensitif dalam rundingan apabila Israel terus melancarkan serangan terhadap Hezbollah walaupun memorandum persefahaman antara Washington dan Tehran dimeterai minggu lalu.
Iran sebelum ini mengumumkan penutupan semula Selat Hormuz dengan alasan Amerika gagal memenuhi komitmen menghentikan serangan Israel di Lebanon.
Akibatnya, trafik kapal di selat itu merosot mendadak.
Data firma analisis maritim Kpler menunjukkan hanya lima kapal melalui Selat Hormuz pada 20 Jun berbanding 26 kapal sehari sebelumnya.
Namun data itu mungkin tidak mengambil kira kapal yang mematikan sistem pengesan ketika melalui kawasan Teluk.
Sementara itu, keadaan di Lebanon dilihat sedikit reda pada 21 Jun apabila tiada laporan serangan besar menjelang malam.
Wartawan Reuters di selatan Lebanon menyaksikan kesesakan trafik paling besar sejak memorandum persefahaman ditandatangani, apabila penduduk mula pulang ke rumah masing-masing.
Ada yang berdiri di tepi jalan sambil mengibarkan bendera Hezbollah.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, bagaimanapun menegaskan tenteranya akan terus berada di selatan Lebanon “selama mana diperlukan”.
Beliau juga berikrar tidak akan membenarkan Iran memperoleh senjata nuklear.
Ketua tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, berkata Hezbollah kini berada dalam kedudukan yang amat lemah.
“Hezbollah menerima tamparan besar dan kami akan terus memastikan mereka tidak dapat bangkit semula,” katanya.
Kementerian Kesihatan Lebanon pula memaklumkan jumlah korban akibat konflik kini melepasi 4,100 orang.
Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, dalam kenyataan berasingan menegaskan Teheran tidak akan melepaskan hak memperkaya uranium, tetapi sekali lagi menafikan Iran mahu membangunkan senjata nuklear.
“Kami juga boleh menyatakan secara bertulis bahawa kami tidak berniat membina bom nuklear,” katanya.
Pasaran global menyambut positif perkembangan rundingan tersebut apabila harga minyak mentah Brent jatuh lebih AS$1 (S$1.29) kepada AS$79.44 setong.
Penganalisis melihat kemajuan rundingan itu sebagai petanda awal bahawa ketegangan di Timur Tengah mungkin mula reda selepas berbulan-bulan mengancam kestabilan ekonomi dan tenaga dunia. - Agensi berita
