Topik diikuti
Pergi ke BHkuRundingan AS, Iran di Switzerland dibayangi penutupan Selat Hormuz
Rundingan AS, Iran di Switzerland dibayangi penutupan Selat Hormuz
Iran umum penutupan pada 20 Jun sedang serangan ke atas Lebanon tiada tanda akan berakhir, namun AS nafi dakwaan
Rundingan AS, Iran di Switzerland dibayangi penutupan Selat Hormuz
BUERGENSTOCK/DUBAI: Naib Presiden Amerika Syarikat, Encik JD Vance, tiba untuk rundingan damai dengan Iran di sebuah pusat peranginan di kawasan pergunungan Switzerland pada 21 Jun, seperti yang dirancang dalam perjanjian damai sementara.
Namun, usaha diplomatik itu dibayangi pengumuman Iran bahawa ia telah mengenakan semula sekatan ke atas Selat Hormuz.
Satu memorandum persefahaman mengenai laluan ke arah menamatkan perang, yang dipersetujui seminggu sebelum itu, menetapkan bahawa Selat Hormuz perlu dibuka semula serta semua permusuhan dihentikan, termasuk di Lebanon, yang telah diserang oleh sekutu Amerika, Israel, pada Mac.
Namun, dengan tiada tanda-tanda konflik di wilayah itu akan berakhir dalam masa terdekat, Iran berkata ia telah menutup semula Selat tersebut pada 20 Jun.
Beberapa pegawai Amerika menafikan dakwaan Selat Hormuz ditutup dan memaklumkan bahawa 55 kapal dagang telah melaluinya pada 20 Jun.
Bagaimanapun, pada 21 Jun, agensi berita Iran, Fars, memetik sumber tentera yang berkata tiada lagi permit baru dikeluarkan untuk kapal-kapal melintasi selat itu sehingga tarikh yang diumumkan kelak.
Perkembangan terbaru itu dilihat bakal menyulitkan lagi rundingan damai berkenaan, dengan kedua-dua pihak pada awalnya berhasrat untuk memulakan fasa perjanjian interim yang diatur Pakistan dan ditandatangani pada 17 Jun lalu bagi menamatkan perang yang telah berlarutan hampir empat bulan.
Encik Vance dilaporkan tiba di Switzerland awal pagi 21 Jun bagi mengetuai delegasi perunding Amerika yang turut disertai utusan khas Presiden Donald Trump, Encik Steve Witkoff dan Encik Jared Kushner.
Sementara itu, delegasi Iran yang diketuai Speaker Parlimen merangkap ketua perunding dalam siri rundingan terdahulu, Jeneral Mohammad Bagher Ghalibaf, dilaporkan telah tiba lebih awal di pusat peranginan berkenaan.
Pengumuman penutupan semula Selat itu dibuat pada hujung minggu ketika pasaran ditutup, sekali gus menyukarkan penilaian segera terhadap kesannya.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, berkata beliau bersetuju dengan memorandum persefahaman minggu lalu bagi mengelakkan kemelesetan global akibat kenaikan harga minyak jika Selat Hormuz ditutup.
Sejak perjanjian itu diumumkan, harga minyak telah jatuh ke paras yang tidak pernah dilihat sejak perang bermula.
Namun, kemungkinan sekatan berkesan oleh Iran boleh menyebabkan harga melonjak semula apabila pasaran dibuka pada Isnin, 22 Jun.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmail Baghaei, berkata rundingan pada 21 Jun di pusat peranginan pergunungan Bürgenstock, Switzerland, yang dimiliki oleh Qatar, melibatkan pengantara Qatar dan Pakistan serta Iran dan Amerika, akan berlangsung hanya selama sehari.
Beliau berkata, memandangkan Washington gagal memberikan jaminan gencatan senjata di Lubnan, rundingan tersebut hanya akan membincangkan pelaksanaan memorandum itu sahaja dan tidak meliputi isu-isu substantif yang dirancang untuk fasa rundingan seterusnya.
Memorandum persefahaman itu memperuntukkan rundingan selama 60 hari mengenai isu seperti pembendungan program nuklear Iran sebagai balasan kepada pelonggaran sekatan antarabangsa.
Iran dijangka menerima manfaat ekonomi awal, seperti pengecualian sekatan dan pembekuan aset yang dibebaskan.
Encik Vance yang mengetuai delegasi Amerika, berhadapan dengan Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammed Baqer Qalibaf.
Mereka sebelum ini pernah bertemu dalam satu-satunya perbincangan bersemuka yang diketahui setakat ini, lebih dua bulan lalu. – Reuters.
