Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS, Iran hampir meterai perjanjian, tarikhnya belum pasti
AS, Iran hampir meterai perjanjian, tarikhnya belum pasti
AS, Iran hampir meterai perjanjian, tarikhnya belum pasti
Keputusan muktamad Iran berhubung kemungkinan pemeteraian memorandum persefahaman dengan Amerika Syarikat kini “sedang dipertimbangkan”, menurut sumber yang tahu tentang perkara itu pada 14 Jun.
“Iran masih belum mengumumkan keputusan muktamadnya mengenai usul memorandum persefahaman tersebut.
“Semakan terhadap dimensi politik, undang-undang dan teknikal bagi usul itu masih dijalankan,” kata sumber berkenaan kepada Agensi berita Fars.
Menulis di laman Truth Social pada 13 Jun, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, berkata perjanjian dengan Iran dijadual ditandatangani pada 14 Jun, yang juga hari ulang tahun beliau yang ke-80.
Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, yang negaranya bertindak sebagai pengantara antara Amerika dengan Iran, juga berkata pada 13 Jun bahawa perjanjian itu boleh dimuktamadkan dalam tempoh “24 jam akan datang”.
Bagaimanapun, pihak Iran menyatakan bahawa perjanjian tersebut akan ditandatangani “dalam beberapa hari akan datang”.
Dalam pada itu, delegasi Qatar tiba di Teheran pada 14 Jun sebagai sebahagian daripada proses pengantaraan untuk menamatkan perang antara Iran dengan Amerika itu, menurut media Iran.
Draf terma perjanjian yang didedahkan kepada Reuters oleh pelbagai sumber menunjukkan bahawa Amerika akan mula melepaskan aset Iran bernilai berbilion dolar yang dibekukan serta mengecualikan sekatan terhadap eksport minyaknya, jika Iran membuka semula Selat Hormuz.
Jurucakap Kementerian Ehwal Luar Iran, Encik Esmaeil Baghaei, berkata pelepasan aset yang dibekukan itu merupakan bahagian penting dalam perjanjian dan Teheran perlu mengenakan bayaran bagi perkhidmatan di selat itu, lapor Fars.
Namun, seorang pegawai Amerika berkata:
“Iran akan membuka Selat Hormuz, itu merupakan satu keperluan.
“Ia boleh dibuka tanpa sebarang bayaran tol. Sebaik sahaja mereka melakukannya, kami akan menarik balik sekatan kami.”
Langkah seterusnya adalah pembersihan periuk api di selat tersebut, kata pegawai itu kepada media. - Reuters.
