Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS-Iran dedah 14 syarat perjanjian tamatkan perang Timur Tengah
AS-Iran dedah 14 syarat perjanjian tamatkan perang Timur Tengah
Perjanjian jadi asas muktamad rundingan damai dalam tempoh 60 hari mendatang
AS-Iran dedah 14 syarat perjanjian tamatkan perang Timur Tengah
WASHINGTON: Amerika Syarikat pada 17 Jun mendedahkan teks penuh Memorandum Persefahaman (MOU) antara Washington dengan Iran yang mengandungi 14 perkara utama bagi menamatkan perang di Timur Tengah selepas hampir empat bulan konflik.
Perjanjian itu menjadi asas kepada rundingan damai lebih besar yang akan berlangsung dalam tempoh 60 hari akan datang, termasuk isu program nuklear Iran, sekatan ekonomi dan keselamatan serantau.
Pentadbiran Presiden Donald Trump menyifatkan perjanjian tersebut sebagai “berasaskan prestasi”, dengan segala manfaat kepada Iran hanya diberikan sekiranya Teheran mematuhi komitmen yang dipersetujui.
Pendedahan teks itu dibuat selepas pegawai Washington mendakwa beberapa media dan pegawai asing telah salah menggambarkan kandungan sebenar perjanjian berkenaan.
Antara perkara paling penting dalam MOU itu ialah persetujuan kedua-dua pihak untuk menghentikan semua operasi ketenteraan secara serta-merta dan kekal di seluruh rantau termasuk di Lebanon.
Perjanjian itu turut menetapkan bahawa Amerika dan Iran mesti menghormati kedaulatan serta integriti wilayah masing-masing selain tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara lain.
Kedua-dua negara juga bersetuju mencapai perjanjian muktamad dalam tempoh maksimum 60 hari, dengan tempoh itu boleh dilanjutkan jika dipersetujui bersama.
Dalam perkembangan penting lain, Washington bersetuju mula menarik balik sekatan laut terhadap Iran termasuk sekatan di Selat Hormuz.
Menurut teks MOU, sekatan itu akan ditamatkan sepenuhnya dalam tempoh 30 hari selepas perjanjian dimeterai.
Sebagai balasan, Iran memberi jaminan untuk memastikan laluan kapal perdagangan melalui Selat Hormuz dibuka semula tanpa sebarang caj.
Laluan strategik itu sebelum ini menjadi tumpuan ketegangan dunia selepas konflik serantau menyebabkan ancaman terhadap penghantaran minyak sejagat.
Pegawai kanan Amerika berkata negara Teluk juga dijangka membantu membentuk perjanjian lebih luas mengenai kebebasan pelayaran di kawasan tersebut.
MOU itu turut membuka laluan kepada pembangunan semula ekonomi Iran melalui dana bernilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion ($386.5 bilion).
Bagaimanapun Washington menegaskan dana itu tidak semestinya datang terus daripada pemerintah Amerika, sebaliknya disokong negara-negara serantau dan pihak berkepentingan lain.
“Tiada wang Amerika akan disalurkan terus kepada Republik Islam Iran,” kata seorang pegawai kanan Amerika.
Dalam aspek ekonomi, Amerika juga bersetuju menamatkan semua sekatan terhadap Iran termasuk sekatan berkaitan ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) jika perjanjian akhir berjaya dicapai.
Perjanjian itu menyatakan kedua-dua negara mengiktiraf “kepentingan kritikal” penamatan sekatan terhadap ekonomi Iran.
Selain itu, Washington akan memberikan pengecualian khas bagi eksport minyak mentah Iran termasuk urusan perbankan, insurans dan pengangkutan berkaitan produk petroleum negara tersebut.
Amerika juga bersetuju membebaskan sebahagian dana dan aset Iran yang dibekukan sebelum ini sekiranya pelaksanaan MOU berjalan lancar.
Dalam isu paling sensitif iaitu program nuklear Iran, Teheran mengulangi komitmen bahawa negara itu tidak akan memperoleh atau membangunkan senjata nuklear.
Iran juga bersetuju mengurangkan tahap uranium diperkaya miliknya melalui mekanisme yang dipersetujui bersama di bawah pemantauan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Sementara menunggu perjanjian akhir dimuktamadkan, kedua-dua negara bersetuju mengekalkan status quo.
Ini bermakna Iran tidak akan memperluaskan program nuklearnya manakala Amerika pula tidak akan menambah aset ketenteraan baharu di rantau tersebut.
MOU itu turut menetapkan penubuhan mekanisme khas untuk memantau pelaksanaan perjanjian dan memastikan semua pihak mematuhi syarat yang dipersetujui.
Rundingan mengenai perjanjian akhir akan dimulakan secara rasmi selepas MOU ditandatangani.
Menurut dokumen itu, perjanjian damai muktamad kelak akan disahkan menerusi ketetapan mengikat Majlis Keselamatan PBB bagi memberikan jaminan undang-undang antarabangsa.
Walaupun perjanjian itu dilihat sebagai kejayaan diplomatik besar, ia tetap menerima reaksi bercampur daripada pelbagai pihak.
Sesetengah pihak melihatnya sebagai peluang terbaik untuk meredakan konflik Timur Tengah dan menstabilkan pasaran minyak sejagat.
Namun, pengkritik pula mendakwa perjanjian itu memberi terlalu banyak kelonggaran kepada Teheran.
Beberapa pemerhati antarabangsa turut menyifatkan tempoh rundingan 60 hari akan datang sebagai fasa paling kritikal kerana banyak isu utama masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Bagaimanapun, perjanjian sementara itu dianggap langkah penting ke arah mengelakkan konflik lebih besar di Timur Tengah yang boleh menjejas ekonomi dan keselamatan dunia. – Agensi berita.
