WASHINGTON: Butiran baharu memorandum persefahaman (MOU) rahsia antara Amerika Syarikat dengan Iran mula didedahkan pada 16 Jun, termasuk cadangan menghentikan konflik di Lebanon, lantas memberi Iran peranan mengurus Selat Hormuz serta melonggarkan sementara sekatan minyak terhadap Teheran.

Laporan saluran Israel, Channel 12, menyatakan bahawa dokumen itu turut membuka laluan kepada rundingan damai lebih besar membabitkan program nuklear Iran, keselamatan serantau dan pengunduran tentera Amerika dari Asia Barat.

Perjanjian itu dijangka ditandatangani secara rasmi di Geneva, Switzerland, pada 19 Jun ini sebelum tempoh rundingan selama 60 hari dimulakan.

Walaupun memorandum itu menyentuh isu program nuklear Iran, dokumen berkenaan tidak mengandungi janji konkrit mengenai pembongkaran penuh program tersebut selain komitmen Teheran untuk tidak menghasilkan atau memiliki senjata nuklear.

Sebaliknya, Amerika dan Iran hanya bersetuju mengadakan perbincangan lanjut mengenai pengayaan uranium dan keperluan nuklear Iran sepanjang tempoh rundingan.

Menurut laporan itu, memorandum berkenaan mengandungi 12 perkara utama yang sebelum ini didedahkan oleh Axios dan Channel 12.

Antara kandungan utama ialah persetujuan Iran, Amerika dan sekutu masing-masing untuk menghentikan semua permusuhan di rantau Asia Barat termasuk di Lebanon, yang kini menyaksikan konflik berterusan antara Israel dengan Hezbollah.

Iran juga akan mengulangi komitmen bahawa negara itu tidak akan membangunkan atau memperoleh senjata nuklear.

Selain itu, Washington dan Teheran akan membincangkan masa depan stok uranium diperkaya Iran serta kegiatan pengayaan uranium pada masa depan.

Sepanjang rundingan itu berlangsung, Iran dibenarkan mengekalkan “status quo” program nuklearnya yang dilaporkan mengalami kerosakan besar selepas serangan Amerika ke atas beberapa tapak nuklear menerusi OperasiMidnight Hammer’.

Dokumen itu juga tidak menyatakan bahawa Iran perlu memusnahkan stok uranium diperkaya yang disimpan di bawah tanah.

Sebaliknya, kedua-dua pihak hanya berjanji untuk “menyelesaikan” isu berkenaan melalui rundingan.

Dari aspek ekonomi, memorandum itu memberi beberapa kelegaan besar kepada Iran.

Amerika dilaporkan akan menamatkan sekatan laut terhadap Iran, tidak mengenakan sekatan baharu dan tidak menambah jumlah tenteranya di rantau itu sepanjang tempoh rundingan.

Washington juga akan memberikan pengecualian sementara sekatan bagi membolehkan Iran kembali menjual minyak di pasaran dunia.

Selain itu, aset Iran yang dibekukan di luar negara akan dibenarkan digunakan sebaik sahaja memorandum itu berkuat kuasa.

Salah satu perkara paling penting dalam dokumen itu membabitkan Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik dunia yang menjadi laluan utama eksport minyak global.

Di bawah cadangan itu, Iran akan bertanggungjawab memastikan laluan kapal dagang melalui Selat Hormuz berjalan selamat dan bebas sepanjang tempoh 60 hari rundingan tanpa sebarang caj transit dikenakan.

Bagaimanapun, memorandum itu turut menyebut rundingan lanjut akan diadakan antara Iran, Oman dan negara Teluk bagi menentukan aturan baharu berkaitan perkapalan dan keselamatan maritim.

Beberapa sumber serantau memberitahu media bahawa Teheran mungkin akan menuntut bayaran tertentu bagi “perkhidmatan” keselamatan dan maritim di laluan tersebut.

Sumber diplomatik berkata Oman dan Iran sudah mula mengadakan perbincangan awal mengenai perkara itu.

Jika perjanjian muktamad berjaya dicapai selepas tamat rundingan 60 hari, Amerika dilaporkan akan mengundurkan tenteranya dari rantau itu dalam tempoh 30 hari serta menarik balik semua sekatan terhadap Iran.

Perjanjian akhir itu juga dikatakan bakal membuka jalan kepada dana pembinaan semula Iran bernilai AS$300 bilion ($384 bilion).

Namun, beberapa penganalisis memberi amaran bahawa banyak perkara dalam memorandum itu dijangka menerima tentangan hebat daripada ahli politik Amerika, sekutu Washington di Asia Barat dan pakar kawalan senjata nuklear.

Isu pengayaan uranium, pengunduran tentera Amerika, pelonggaran sekatan serta dana pembinaan semula Iran dijangka menjadi fokus utama perdebatan.

Rumah Putih setakat ini belum mengesahkan ketulenan dokumen yang dilaporkan Channel 12 itu.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bagaimanapun berkata butiran penuh memorandum itu hanya akan diumumkan selepas majlis menandatangani perjanjian di Switzerland pada 19 Jun ini.

Pentadbiran Encik Trump sebelum ini menegaskan bahawa matlamat utama rundingan itu ialah memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear, sambil mengurangkan ketegangan di Asia Barat.

Perjanjian itu juga dilihat sebagai usaha terbesar Washington dan Teheran untuk memulihkan hubungan selepas ketegangan bertahun-tahun termasuk konflik ketenteraan, sekatan ekonomi dan serangan ke atas kapal dagang di Teluk.

Sementara itu, pemerintah Iran belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kandungan memorandum berkenaan.

Pemerhati antarabangsa melihat perkembangan itu sebagai titik penting dalam usaha membentuk semula landskap politik dan keselamatan Asia Barat selepas konflik berpanjangan melibatkan Iran, Israel dan sekutu Barat.

Jika berjaya dilaksanakan, memorandum tersebut berpotensi menjadi asas kepada perjanjian damai lebih luas yang boleh mengubah hubungan kuasa di rantau itu untuk tempoh jangka panjang. – Agensi berita.