DOHA: Walaupun Pakistan diberi pengiktirafan umum sebagai pengantara utama dalam perjanjian rangka kerja damai antara Amerika Syarikat dengan Iran, beberapa pegawai serta diplomat mendedahkan bahawa Qatar memainkan peranan penting di belakang tabir dalam membantu menjayakan rundingan berkenaan.

Menurut sumber diplomatik, Qatar membantu merapatkan perbezaan antara Washington dengan Teheran menerusi pelbagai saluran komunikasi sulit termasuk menjadi tuan rumah kepada beberapa pertemuan tidak langsung, menyampaikan mesej serta menyokong proses rundingan yang dijangka dimeterai secara rasmi menerusi memorandum persefahaman di Geneva pada 19 Jun ini.

Perjanjian itu dijangka membuka laluan kepada rundingan lebih luas membabitkan program nuklear Iran, keselamatan serantau dan isu ekonomi selepas berbulan-bulan usaha diplomatik melibatkan beberapa negara Asia Barat.

Walaupun Islamabad mengetuai usaha pengantaraan rasmi, Doha dilihat muncul sebagai saluran komunikasi dipercayai antara kedua-dua pihak terutama ketika rundingan itu memasuki fasa paling sensitif.

Peranan Qatar semakin jelas dalam beberapa minggu menjelang kejayaan perjanjian tersebut apabila Doha dijangka menjadi lokasi pertemuan persediaan tidak langsung antara pegawai Amerika dengan Iran sebelum majlis menandatangani memorandum di Geneva itu.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed Al-Ansari, berkata memorandum itu merupakan langkah penting ke arah rundingan lebih besar antara Washington dengan Teheran.

“Memorandum ini akan membuka pintu kepada rundingan mengenai program nuklear Iran, isu peluru berpandu dan keselamatan serantau,” katanya dalam sidang media mingguan kementerian itu pada 16 Jun.

Beliau berkata Qatar terus menyokong usaha pengantaraan yang diketuai Pakistan dan mengesahkan bahawa delegasi Qatar akan menghadiri majlis menandatangani perjanjian di Geneva.

Bagaimanapun, Encik Majed Al-Ansari menegaskan bahawa Qatar tidak menjalankan usaha pengantaraan berasingan antara Amerika dengan Iran, sebaliknya bertindak menyokong inisiatif Pakistan bersama rakan serantau lain.

Beliau turut menafikan laporan yang mendakwa rundingan rasmi sedang berlangsung di Doha ketika ini.

Menurut beliau, persefahaman berkaitan Selat Hormuz turut menjadi sebahagian daripada memorandum berkenaan dan pembukaan semula laluan perkapalan strategik itu dijangka membantu memulihkan bekalan tenaga dunia selain mengurangkan tekanan terhadap harga makanan dan tenaga global.

“Keselamatan Qatar dan negara Teluk lain menjadi pertimbangan utama sepanjang rundingan dan hubungan diplomatik ketika krisis ini berlangsung,” katanya.

Ketika serangan peluru berpandu dan dron terus menjadi perhatian dunia dalam beberapa bulan kebelakangan ini, diplomasi Qatar dilihat bergerak aktif secara senyap di belakang tabir.

Teheran dilaporkan menerima beberapa kunjungan delegasi kanan Qatar termasuk lawatan yang berlangsung hanya beberapa jam sebelum pengumuman perjanjian itu dibuat.

Lawatan terdahulu memberi tumpuan kepada isu yang masih menghalang persefahaman muktamad termasuk program nuklear Iran, aset Iran yang dibekukan, keselamatan serantau dan masa depan pelayaran di Selat Hormuz.

Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, turut dilaporkan mengunjungi Washington sebanyak dua kali, masing-masing pada akhir Mac dan pertengahan Mei.

Dalam lawatan itu, beliau mengadakan perbincangan dengan Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, mengenai konflik serantau dan syarat bagi mencapai persetujuan damai.

Doha juga menjadi tuan rumah kepada delegasi kanan Iran pada akhir Mei yang disertai Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf; Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, serta Gabenor Bank Pusat Iran, Encik Abdolnaser Hemmati.

Perbincangan itu dipercayai menyentuh isu aset Iran yang dibekukan, keselamatan maritim, langkah membina keyakinan serta pembukaan semula Selat Hormuz.

Seorang diplomat Barat yang tahu tentang proses rundingan itu berkata peranan Qatar lebih tertumpu kepada usaha memudahkan komunikasi berbanding menjadi pengantara rasmi.

“Pakistan mengetuai proses rasmi dan menjadi wajah utama rundingan itu kerana hubungan rapat Fil Marsyal Pakistan dengan Presiden Donald Trump, tetapi Qatar secara senyap telah melakukan sebahagian besar usaha penting untuk merapatkan kedua-dua pihak,” katanya kepada akhbar The New Arab.

Pendekatan itu mencerminkan strategi diplomasi lebih luas Qatar yang sejak sekian lama memainkan peranan sebagai saluran komunikasi utama antara Amerika dengan pihak yang mempunyai hubungan langsung terhad dengan Washington.

Menerusi catatan di platform X, bekas Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar, Encik Hamad bin Jassim Al Thani, beliau berkata diplomasi Qatar memainkan peranan penting dalam membantu menyelesaikan pertikaian itu dan membuka jalan kepada persetujuan antara Amerika dengan Iran.

Beliau turut memuji kepimpinan Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, selain mengucapkan terima kasih kepada Arab Saudi, Mesir, Turkey dan Pakistan atas sumbangan mereka dalam usaha diplomatik tersebut.

Namun, beliau mengingatkan bahawa kestabilan jangka panjang tidak boleh bergantung kepada gencatan sementara semata-mata.

“Perjanjian semasa adalah apa yang mampu dicapai dalam keadaan serantau dan global ketika ini, namun ia memerlukan usaha berterusan untuk membina asas kukuh bagi perjanjian yang lebih berkekalan,” katanya.

Pakar hubungan antarabangsa di Universiti Waseda di Jepun, Encik Abdullah Baabood, berkata peranan Qatar amat penting dalam mewujudkan suasana politik dan serantau yang membantu kejayaan rundingan tersebut.

“Walaupun Qatar bukan pengantara langsung, negara itu menggunakan hubungan rapat dengan semua pihak untuk menyokong usaha meredakan ketegangan, membina persefahaman serantau dan mengukuhkan inisiatif Pakistan,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan itu mencerminkan strategi tradisional diplomasi Qatar yang menumpukan usaha pencegahan konflik dan pembinaan jambatan komunikasi antara pihak bertelagah. – Agensi berita.