Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS, Iran runding pelbagai isu di luar program nuklear
AS, Iran runding pelbagai isu di luar program nuklear
Isu termasuk sekatan ekon terhadap Teheran, dana pembangunan semula, status Selat Hormuz
AS, Iran runding pelbagai isu di luar program nuklear
GENEVA: Amerika Syarikat dan Iran memulakan rundingan baharu pada 21 Jun bagi mencari penyelesaian kekal untuk menamatkan perang antara kededua negara, sekali gus membuka laluan kepada perjanjian lebih menyeluruh yang disasarkan dimuktamadkan dalam tempoh 60 hari.
Bagaimanapun, rundingan yang berlangsung di Switzerland itu dilihat berdepan pelbagai cabaran besar, termasuk konflik berterusan antara Israel dengan Hezbollah di Lebanon yang berpotensi menggagalkan proses damai pada bila-bila masa.
Program nuklear Iran dijangka menjadi fokus utama rundingan, selain beberapa isu lain seperti pengurangan sekatan ekonomi terhadap Teheran, dana pembangunan semula bernilai AS$300 bilion ($384 bilion) dan status laluan strategik Selat Hormuz.
Perbincangan turut dijangka menyentuh program peluru berpandu balistik Iran yang sejak sekian lama menjadi kebimbangan utama Israel dan sekutunya.
Perjanjian rangka kerja yang dimeterai minggu lalu membuka ruang kepada pembebasan berbilion dolar aset Iran yang dibekukan di luar negara serta kemungkinan pengurangan sekatan ekonomi Amerika terhadap Teheran.
Bagi Iran, isu itu amat penting kerana ekonomi negara tersebut terjejas teruk akibat sekatan antarabangsa selama bertahun-tahun selain kemusnahan akibat perang selama tiga bulan.
Namun Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memberi bayangan bahawa sekatan tidak akan ditarik balik serta-merta.
“Sekatan akan ditarik balik sebaik sahaja mereka berkelakuan baik,” katanya sebelum ini.
Naib Presiden Amerika Syarikat, Encik JD Vance, pula berkata bantuan kewangan kepada Iran mungkin dikaitkan dengan komitmen Teheran menghentikan sokongan terhadap kumpulan sekutu serantau seperti Hezbollah di Lebanon dan Houthi di Yaman.
Pakar keselamatan Timur Tengah dari King’s College London, Encik Andreas Krieg, berkata isu utama bukan lagi sama ada bantuan kewangan akan diberikan, tetapi bila dan bagaimana ia dilaksanakan.
“Akhirnya semua pihak memahami apa yang diharapkan. Persoalannya sekarang ialah siapa yang bergerak dahulu dan berapa banyak aset akan dibebaskan pada setiap peringkat,” katanya.
Selain sekatan, rundingan turut memberi perhatian kepada penubuhan dana pembangunan semula Iran bernilai AS$300 bilion.
Amerika sebelum ini bersetuju membantu merangka pelan dana tersebut, tetapi Encik Trump kemudian menjelaskan pemerintah Amerika sendiri tidak akan membiayainya secara langsung.
Ini membuka kemungkinan negara Teluk lain menjadi penyumbang utama dana berkenaan.
Menurut seorang diplomat yang terlibat dalam rundingan, dana itu akan diwujudkan selepas perjanjian damai penuh dicapai dan lebih tertumpu kepada pelaburan swasta berbanding pampasan perang.
Beliau berkata syarikat dari Amerika, Asia, Timur Tengah, Amerika Selatan dan Afrika sudah menunjukkan komitmen awal melibatkan hampir separuh daripada jumlah dana itu.
Namun isu berkenaan sensitif secara politik bagi Encik Trump kerana beliau sebelum ini mengkritik mantan Presiden Amerika, Encik Barack Obama, selepas Washington menyerahkan AS$1.7 bilion kepada Iran dalam perjanjian 2015.
Isu Selat Hormuz turut menjadi antara topik paling rumit dalam rundingan.
Perjanjian awal hanya menetapkan Iran tidak akan mengenakan bayaran terhadap kapal yang melalui Selat Hormuz selama sekurang-kurangnya 60 hari.
Selepas tempoh itu, Teheran memberi bayangan mungkin mengenakan caj tertentu sebagai balasan kepada “perkhidmatan” yang disediakan.
Encik Trump bagaimanapun menolak idea tersebut.
“Tiada tol selepas tempoh 60 hari kecuali dikenakan oleh dan untuk Amerika Syarikat,” katanya menerusi media sosial.
Selat Hormuz ialah laluan penting yang mengendalikan sebahagian besar eksport minyak dan gas dunia.
Sebarang ancaman terhadap laluan itu boleh menggugat ekonomi global dan menyebabkan harga tenaga melonjak.
Encik Krieg berkata Iran mungkin menggunakan isu Selat Hormuz sebagai alat tawar-menawar bagi mendapatkan konsesi lain termasuk pembebasan aset yang dibekukan di luar negara.
“Saya tidak nampak Iran akan mengenakan bayaran terhadap negara yang membantu membebaskan aset mereka,” katanya.
Sementara itu, program peluru berpandu balistik Iran terus menjadi isu sensitif dalam rundingan.
Pada awal perang, Washington menyatakan usaha mengehadkan program peluru berpandu Iran menjadi salah satu objektif utama.
Namun selepas beberapa bulan konflik, penilaian risikan Amerika mendapati Iran masih mengekalkan sekitar 70 peratus pelancar bergerak dan stok peluru berpandunya.
Encik Trump kini dilihat mengambil pendekatan lebih longgar terhadap isu itu.
“Jika negara lain memilikinya, agak tidak adil untuk mereka tidak mempunyai sedikit pun,” katanya.
Encik JD Vance pula berkata kemampuan peluru berpandu Iran kini sudah “merosot dengan ketara”.
Encik Krieg berkata kemungkinan Iran menerima kawalan ketat atau had besar terhadap program peluru berpandu mereka adalah sangat rendah.
“Bagi Iran, peluru berpandu adalah satu-satunya kemampuan yang masih memberi kesan pencegahan terutama terhadap Israel,” katanya.
Beliau menambah Iran percaya kedudukan rundingan mereka kini lebih kukuh berbanding sebelum perang bermula.
Rundingan di Switzerland dijangka berlanjutan beberapa minggu dengan masyarakat antarabangsa memantau rapat sama ada kededua negara mampu mencapai perjanjian damai paling besar di Timur Tengah dalam beberapa dekad. – Agensi berita.
