BEIRUT/BAITULMAKDIS: Sekurang-kurangnya 10 orang terkorban dalam serangan udara Israel di selatan Lebanon pada 20 Jun.

Ia berlaku beberapa jam selepas gencatan senjata dengan Hezbollah dilaporkan telah berkuat kuasa, dengan pihak Israel mendakwa tindakan tersebut sebagai tindak balas terhadap bedilan projektil oleh kumpulan tersebut.

Agensi berita Lebanon NNA berkata jet pejuang Israel dan dron tentera Israel membedil pelbagai lokasi di bahagian selatan negara itu serta di Lembah Bekaa.

Seorang pegawai tentera Israel berkata anggota Hezbollah telah membedil lebih 50 projektil ke arah pasukan tentera Israel di selatan Lebanon sepanjang malam.

Perkara itu sekali gus mencetuskan serangan balas ke atas apa yang disifatkan oleh pegawai tersebut sebagai “sasaran Hezbollah”.

Pihak Hezbollah berkata mereka kekal komited terhadap syarat gencatan senjata yang dipersetujui.

Bagaimanapun, kumpulan itu menyatakan akan bertindak balas terhadap sebarang cubaan Israel untuk menguasai wilayah mereka atau meluaskan petempatan, sambil menambah bahawa anggotanya kini berada dalam kesiapsiagaan penuh.

Dalam pada itu, utusan khas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, Encik Steve Witkoff, dilaporkan dalam perjalanan ke Switzerland, menurut seorang pegawai Amerika, ketika Washington dan Teheran berusaha menghidupkan semula rundingan teknikal yang sebelum ini tergendala.

Penghentian pertempuran di Lebanon merupakan syarat untuk memulakan rundingan selama 60 hari antara Amerika dengan Iran bagi menyelesaikan pertikaian mengenai program nuklear Iran dan isu rumit lain yang diperlukan untuk membentuk perjanjian yang lebih berkekalan, yang penting untuk membuka semula Selat Hormuz dan menstabilkan bekalan minyak sedunia.

Menantu Encik Trump, Encik Jared Kushner, turut dijangka berada di negara itu bagi menyertai rundingan itu.

Bagaimanapun, masa sebenar rundingan tersebut masih belum dapat dipastikan.

Rundingan yang dijadualkan bermula pada 19 Jun sebelum ini dibatalkan secara tiba-tiba susulan peningkatan keganasan antara Israel dengan Hezbollah.

Encik Witkoff dan Encik Kushner sebelum ini mengetuai rundingan dengan Iran yang membawa kepada pemeteraian memorandum persefahaman awal antara kedua-dua pihak.

Penangguhan rundingan berkenaan mencerminkan betapa rapuhnya usaha diplomatik antara Amerika dengan Iran, yang turut dipengaruhi perkembangan keselamatan di Asia Barat, khususnya konflik melibatkan Israel dan Hezbollah di Lebanon.

Peningkatan serangan antara kedua-dua pihak sebelum ini telah menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan rantau berkenaan dan berisiko menggagalkan kemajuan rundingan yang cuba dicapai antara Washington dengan Teheran.

Sehubungan itu, sebarang perkembangan keselamatan di rantau berkenaan dijangka terus menjadi faktor penentu kepada kelangsungan rundingan damai antara kedua-dua negara.

Penangguhan itu merupakan satu kemunduran bagi Encik Trump, yang menandatangani memorandum persefahaman dengan Iran pada 17 Jun, meskipun berdepan kritikan meluas bahawa beliau memberi terlalu banyak kelebihan kepada Iran dari segi manfaat kewangan dan pelepasan sekatan.

Beliau berkata perjanjian itu akan mengelakkan krisis ekonomi global memandangkan Selat Hormuz yang penting akan dibuka semula kepada penghantaran minyak dan gas.

“Kami tidak berunding kerana terdesak, Iran yang terdesak. Mereka sudah habis!” tulis Encik Trump di Truth Social pada 19 Jun.

“Kami akan teruskan tempoh 60 hari itu. Mereka tidak akan mendapat sebarang wang, walaupun satu sen!”

Beberapa jam kemudian pada 19 Jun, beliau berkata kedua-dua pihak masih mempunyai masa untuk mencapai perjanjian.

“Jika tidak, kami akan melakukan perkara yang mereka tidak suka, tetapi saya tidak fikir ia akan sampai ke tahap itu,” katanya dalam ucapan di Pangkalan Bersama Andrews, ketika memperkenalkan pesawat baru yang dihadiahkan Qatar dan akan berfungsi sebagai Air Force One.

Masih belum jelas sama ada perkembangan terkini itu akan menjejaskan selat berkenaan, di mana kegiatan perkapalan meningkat sejak Encik Trump dan rakan sejawatannya dari Iran, Encik Masoud Pezeshkian, menandatangani perjanjian tersebut. – Agensi berita.