Topik diikuti
Pergi ke BHkuIran dakwa serang sasaran berkaitan AS, Bahrain lapor hadapi serangan dron
Iran dakwa serang sasaran berkaitan AS, Bahrain lapor hadapi serangan dron
Kementerian Luar Iran tegas perlu pertahan diri susulan serangan AS di pantainya
Iran dakwa serang sasaran berkaitan AS, Bahrain lapor hadapi serangan dron
DUBAI/WASHINGTON: Iran berkata ia menyerang sasaran yang dikaitkan dengan tentera Amerika Syarikat pada 27 Jun sebagai tindak balas kepada serangan udara Amerika di selatan pantainya.
Ia berlaku sedang kededua pihak saling menuduh berlakunya pelanggaran perjanjian damai minggu lalu yang bertujuan menamatkan perang selama empat bulan.
Kementerian Luar Iran tidak mengenal pasti lokasi serangannya yang merupakan tindak balas yang disifatkan sebagai “serangan udara biadab” oleh Amerika ke atas kemudahan pengawasan pantainya, yang dikatakan turut melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bahrain, yang menjadi tuan rumah Armada Kelima Tentera Laut Amerika, mengutuk serangan dron Iran ke atas wilayahnya sebagai pencabulan kedaulatannya dan ancaman kepada keselamatannya, sambil menambah ia berhak mempertahankan diri.
Terdahulu, tentera Amerika melancarkan serangan ke atas Iran pada 26 Jun sebagai tindak balas terhadap serangan dron Iran ke atas sebuah kapal kargo di Selat Hormuz.
Perkembangan itu meningkatkan ketegangan terhadap perjanjian damai rapuh yang dipersetujui kededua negara minggu lalu.
Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, pada 26 Jun, memberi amaran Iran akan berdepan ‘kekerasan’ sekiranya melancarkan sebarang serangan lanjut selepas tentera Amerika memaklumkan mereka bertindak terhadap serangan Iran ke atas sebuah kapal kargo.
“Iran menandatangani perjanjian gencatan senjata. Kami telah mematuhinya. Jika mereka mempunyai pertikaian mengenai pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MOU), mereka boleh menghubungi kami.
“Namun, keganasan akan dibalas dengan keganasan,” kata Encik Vance, menerusi hantaran di wadah media sosial X, merujuk kepada MOU yang bertujuan menamatkan konflik hampir empat bulan.
Markas Pusat Amerika (Centcom) memaklumkan pesawat tenteranya menyerang lokasi simpanan peluru berpandu dan dron serta tapak radar pesisir pantai.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menyalahkan Iran atas serangan itu dan menyifatkannya sebagai pencabulan terhadap perjanjian yang dicapai minggu lalu.
“Serangan tanpa provokasi oleh tentera Iran terhadap perkapalan komersial jelas melanggar gencatan senjata,” jelas kenyataan Centcom yang mengumumkan serangan tersebut.
Ia menyifatkannya sebagai tindak balas tegas terhadap serangan 26 Jun ke atas sebuah kapal komersial yang sedang melalui Selat Hormuz.
Tentera Amerika berkata pihaknya akan terus menyediakan ‘penyelarasan dan sokongan bagi memastikan laluan selamat’ kepada kapal komersial yang melalui selat berkenaan.
Dengan memetik sumber tentera yang enggan dikenali, media pemerintah Iran melaporkan serangan di pelabuhan Sirik selepas satu letupan didengar di kawasan itu.
Menurut sumber tersebut, tembakan amaran dari Sirik telah dilepaskan ke arah kapal yang melanggar peraturan Selat Hormuz kira-kira lima jam lebih awal.
Dua peluru berpandu amaran turut dilancarkan dari kawasan Karpan ke arah laluan perairan tersebut.
Sebelum ini, Iran meluahkan kemarahan terhadap kenyataan yang disifatkannya sebagai campur tangan, tidak bertanggungjawab dan berbaur hasutan oleh Amerika serta enam negara Teluk, yang menolak dakwaan Teheran berhak mengenakan bayaran tol ke atas kapal yang melalui selat berkenaan.
“Laluan selamat di Selat Hormuz tidak dapat dijamin di bawah aturan yang kabur, laluan alternatif atau proses membuat keputusan yang tidak mengambil kira peranan Iran sebagai negara pesisir,” kata Timbalan Menteri Luar Iran, Encik Kazem Gharibabadi, menerusi hantaran di wadah X.
Bloomberg News melaporkan Oman, yang terletak di seberang Selat Hormuz bertentangan Iran, telah memaklumkan kepada sekutunya kapal yang melalui Hormuz mungkin perlu membayar tol.
Televisyen pemerintah Iran melaporkan tiga kapal tangki asing yang cuba melakukan apa yang disifatkannya sebagai ‘laluan tanpa kebenaran’ di Selat Hormuz diarahkan berpatah balik selepas menerima amaran daripada Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran.
Bagaimanapun, tiada butiran lanjut diberikan. – Agensi berita.
