KUWAIT CITY: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio memberi jaminan kepada sekutu negara Teluk bahawa Washington akan terus melindungi kepentingan mereka ketika rundingan sedang dijalankan dengan Iran bagi mencapai penyelesaian muktamad perang Asia Barat.

Encik Rubio yang mengadakan lawatan ke rantau Teluk berkata semua keputusan berkaitan rundingan dengan Teheran akan dibincangkan bersama negara sekutu di rantau itu.

“Kami akan sentiasa selaras dengan rakan-rakan kami di Teluk. Kami akan melibatkan mereka dalam setiap perbincangan dan keputusan berkaitan rundingan ini,” katanya ketika lawatan ke Kuwait City pada 24 Jun.

Lawatan Encik Rubio bertujuan meredakan kebimbangan negara Teluk selepas beberapa negara di rantau itu menjadi sasaran peluru berpandu dan dron Iran sepanjang konflik baru-baru ini.

Gangguan perang itu turut menjejaskan penghantaran minyak dan gas apabila Tehran melaksanakan sekatan di Selat Hormuz, laluan maritim penting yang mengendalikan sebahagian besar eksport tenaga dunia.

Pada masa sama, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata rundingan dengan Iran berjalan lancar.

“Kami sedang melakukan dengan sangat baik dalam rundingan dengan Iran,” katanya selepas bertemu Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) Encik Mark Rutte di Rumah Putih.

Encik Trump turut memohon Kongres meluluskan dana tambahan hampir AS$88 bilion (S$114 bilion), sebahagian besarnya untuk Pentagon bagi menampung kos perang Iran.

Permohonan itu dibuat sehari selepas Kongres meluluskan resolusi simbolik yang menggesa Encik Trump menamatkan permusuhan dengan Iran kecuali tindakan ketenteraan diluluskan secara rasmi oleh ahli perundangan.

Walaupun gencatan senjata dicapai, Iran dilihat semakin yakin selepas perang berakhir dengan Teheran menegaskan ia tidak akan melepaskan kawalan terhadap Selat Hormuz.

Perjanjian awal antara Washington dan Tehran bagi menghentikan konflik turut disifatkan Iran sebagai “pengisytiharan kekalahan Amerika”.

Ketua perunding Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, berkata memorandum persefahaman yang dicapai dengan bantuan pengantaraan Pakistan membuktikan keteguhan Iran.

“Memorandum Islamabad adalah hasil ketahanan dan kekuatan rakyat Iran yang berani. Ia menjadi pengisytiharan kekalahan Amerika,” katanya.

Encik Rubio turut menghadiri mesyuarat Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Bahrain pada 25 Jun selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Kuwait dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Perjanjian awal Amerika-Iran yang menetapkan rundingan selama 60 hari bagi mencapai penyelesaian jangka panjang gagal menangani kebimbangan utama negara Teluk mengenai program peluru berpandu Iran dan kumpulan proksi serantau.

Namun Encik Rubio menegaskan Washington tidak akan melakukan apa-apa yang boleh menjejaskan keselamatan sekutunya.

“Kami tidak akan melakukan sesuatu yang melemahkan keselamatan rakan-rakan kami,” katanya.

Amerika Syarikat turut menegaskan komitmennya untuk mengekalkan kebebasan pelayaran tanpa bayaran di Selat Hormuz.

“Saya tidak mengetahui mana-mana negara di dunia yang menyokong bayaran atau tol untuk menggunakan selat itu,” kata Encik Rubio di Kuwait.

Encik Trump turut menyifatkan sebarang bayaran terhadap kapal yang menggunakan laluan berkenaan sebagai “tidak boleh diterima”.

Bagaimanapun, Iran berulang kali menegaskan ia akan terus mengawal Selat Hormuz bersama Oman dan mengenakan apa yang disifatkan sebagai yuran perkhidmatan maritim serta keselamatan.

Perdana Menteri Qatar pula dilaporkan mengunjungi Oman untuk memulakan rundingan melibatkan negara Teluk, Iraq dan Iran mengenai masa depan laluan maritim itu.

Menurut sumber diplomatik, negara Teluk dijangka menuntut kebebasan pelayaran tanpa caj manakala Iran dijangka mahu mengenakan bayaran berkaitan keselamatan dan perlindungan alam sekitar.

Sumber diplomatik lain berkata rundingan berasingan bagi usaha perdamaian antara Iran dan negara Teluk dijangka diadakan di Arab Saudi dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan berkaitan, Encik Ghalibaf menegaskan keamanan di Lebanon kekal menjadi syarat penting bagi mencapai perjanjian muktamad antara Tehran dan Washington.

“Bagi kami, gencatan senjata di Lebanon sama penting dengan gencatan senjata di Iran,” katanya.

Konflik di Lebanon tercetus selepas Hezbollah yang disokong Iran melancarkan serangan terhadap Israel ketika perang berlangsung.

Walaupun keganasan di Lebanon semakin reda dalam beberapa hari kebelakangan ini, Hezbollah menuduh Israel melanggar perjanjian gencatan senjata selepas serangan dron Israel membunuh dua individu di selatan Lebanon.

Tentera Israel berkata ia menyasarkan “dua anggota bersenjata Hezbollah” dan akan terus bertindak menghapuskan ancaman keselamatan.

Di bawah tekanan Amerika Syarikat, pegawai Lebanon dan Israel memulakan rundingan langsung di Washington sejak April lalu, dengan Beirut cuba memisahkan rundingan itu daripada perjanjian Amerika-Iran.

Di bandar pesisir Tyre di Lebanon, seorang tukang gunting rambut, Encik Hussein Hassan, berkata penduduk cuba meneruskan kehidupan walaupun kesan perang masih jelas kelihatan.

“Penduduk Tyre cintakan kehidupan dan pekerjaan. Kami membersihkan debu dan bangkit semula seperti burung phoenix,” katanya. - Agensi berita