WASHINGTON: Angkatan tentera Iran mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap tapak tentera Amerika Syarikat di Bahrain dan Kuwait, selepas Washington menyerang lebih 80 sasaran di Iran serta menguatkuasakan semula sekatan terhadap jualan minyak Teheran.

Serangan terbaru itu memberi tekanan besar kepada gencatan senjata rapuh antara Amerika dan Iran, selain mengancam semula keselamatan laluan tenaga di Selat Hormuz.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata operasi bersama peluru berpandu dan dron itu menyasarkan 85 lokasi tentera Amerika di Bahrain dan Kuwait, termasuk kawasan Bandar Salman di Bahrain, daerah tentera laut kelima Amerika serta Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait.

IRGC turut mendakwa berjaya menembak jatuh sebuah dron MQ-9 milik Amerika yang cuba mengganggu operasi berkenaan.

Siren amaran serangan udara dilaporkan berbunyi di Bahrain dan Kuwait.

Tentera Kuwait berkata sistem pertahanan udaranya memintas peluru berpandu dan dron “musuh”, tetapi tidak menyatakan pihak yang melancarkan serangan itu.

Setakat ini, tentera Amerika belum mengeluarkan kenyataan segera mengenai dakwaan serangan Iran itu.

Terdahulu, Markas Pusat Amerika (Centcom) berkata tenteranya menyerang lebih 80 sasaran di Iran, termasuk sistem pertahanan udara, rangkaian perintah dan kawalan serta keupayaan peluru berpandu antikapal.

Centcom turut memaklumkan lebih 60 bot kecil milik IRGC di sekitar Selat Hormuz menjadi sasaran bagi melemahkan kemampuan Iran menyerang kapal perdagangan antarabangsa.

“Pencerobohan tidak wajar oleh pasukan Iran adalah pelanggaran jelas dan berbahaya terhadap gencatan senjata serta menjejaskan kebebasan pelayaran,” menurut kenyataan Centcom.

Pentagon berkata serangan Amerika dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas tiga kapal perdagangan di Selat Hormuz, termasuk sebuah kapal tangki minyak Arab Saudi dan kapal pembawa gas asli cecair Qatar.

Teheran menafikan bertanggungjawab terhadap serangan kapal berkenaan.

Bagaimanapun, Qatar menuduh Iran menyerang kapal LNG gergasi Al Rekayyat, yang dilaporkan terkena dron hingga menyebabkan kebakaran di bilik enjinnya.

Kementerian Luar Qatar berkata ia sudah memanggil timbalan duta Iran dan menyerahkan nota bantahan rasmi.

Iran menyifatkan tuduhan Qatar sebagai mengelirukan, sambil menegaskan Teheran masih mematuhi komitmennya.

Namun, kementerian luar Iran berkata kapal perdagangan tetap berdepan risiko jika menggunakan laluan yang tidak diselaraskan dengan Iran.

Markas Pusat Khatam al-Anbiya, sebahagian daripada struktur tentera Iran, mengecam serangan Amerika di selatan Iran sebagai “tindakan pencerobohan terang-terangan” dan memberi amaran bahawa Iran akan memberikan “tindak balas menghancurkan”.

Ia turut memberi amaran kepada Washington supaya tidak mencampuri urusan Teheran dalam menguruskan Selat Hormuz.

Speaker Parlimen Iran yang juga perunding kanan Teheran, Encik Mohammad Baqer Qalibaf, menuduh Amerika melanggar perjanjian awal yang sebelum ini membuka semula Selat Hormuz.

“Era buli dan pemerasan sudah berakhir. Ia tidak akan membawa hasil. Kami tidak akan tunduk,” katanya dalam hantaran di X.

Selain serangan ketenteraan, Washington pada 7 Julai menarik balik lesen yang sebelum ini membenarkan Iran menjual minyak di pasaran antarabangsa.

Lesen itu asalnya diberikan di bawah perjanjian sementara Jun lalu dan sepatutnya berkuat kuasa sehingga 21 Ogos.

Dengan pembatalan itu, Iran diberi tempoh sehingga 17 Julai untuk menamatkan urus niaga berkaitan.

Kementerian Luar Iran mengecam langkah itu sebagai pelanggaran rangka perjanjian untuk menamatkan perang dan berkata Washington perlu menanggung akibatnya.

Ketegangan itu berlaku ketika rundingan tidak langsung antara Amerika dan Iran masih tertangguh susulan upacara pengebumian berhari-hari bagi bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang terbunuh pada hari pertama serangan Amerika-Israel ke atas Iran.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, yang berada di Iraq bagi menghadiri upacara pengebumian itu, dilaporkan pulang ke Iran selepas serangan Amerika ke atas selatan negara berkenaan.

Presiden Amerika, Donald Trump, yang menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Turkey, sebelum ini memberi amaran bahawa Washington bersedia menyambung semula serangan jika perjanjian muktamad gagal dicapai.

“Kita sama ada akan mencapai perjanjian atau kita akan selesaikan kerja ini,” katanya.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, pula menegaskan rundingan akhir tidak akan bermula selagi ancaman ketenteraan berterusan. - Agensi berita