Topik diikuti
Pergi ke BHkuTrump: MOU Washington-Teheran berakhir, enggan runding dengan Iran
Trump: MOU Washington-Teheran berakhir, enggan runding dengan Iran
Langkah diambil sebagai tindak balas AS terhadap serangan ke atas kapal di Selat Hormuz, gugat gencatan senjata sementara
Trump: MOU Washington-Teheran berakhir, enggan runding dengan Iran
ANKARA: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengisytiharkan memorandum persefahaman (MOU) antara Washington dengan Teheran bagi menamatkan konflik kini “sudah berakhir”.
Beliau juga menegaskan tidak lagi berminat meneruskan rundingan dengan kepimpinan Iran, yang disifatkannya sebagai “orang sakit”.
Kenyataan keras itu dibuat ketika Encik Trump menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Ankara pada 8 Julai, hanya beberapa jam selepas Amerika melancarkan gelombang baharu serangan udara ke atas Iran dan menarik balik kelonggaran sekatan yang sebelum ini membenarkan Teheran menjual minyak di pasaran antarabangsa.
Langkah Washington itu diambil sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas tiga kapal perdagangan di Selat Hormuz, sekali gus menggugat gencatan senjata sementara yang dimeterai lebih tiga minggu lalu.
Apabila ditanya sama ada memorandum persefahaman itu masih berkuat kuasa, Encik Trump memberikan jawapan yang tegas.
“Bagi saya, ia sudah berakhir. Saya tidak mahu berurusan dengan mereka. Mereka sampah. Mereka orang sakit. Mereka dipimpin oleh orang sakit. Setakat yang saya fikirkan, berurusan dengan mereka hanya membuang masa,” katanya di hadapan Setiausaha Agung Nato, Encik Mark Rutte.
Walaupun menganggap perjanjian itu sudah tidak lagi bermakna, Encik Trump berkata wakil Amerika masih boleh meneruskan rundingan dengan Iran.
Beliau berkata Utusan Khas Amerika, Encik Steve Witkoff, dan menantunya, Encik Jared Kushner, akan terus berhubung dengan Teheran, namun menegaskan terpulang kepada Iran sama ada mahu kembali ke meja rundingan.
“Mereka boleh terus bercakap, tetapi saya fikir mereka hanya membuang masa,” katanya.
Encik Trump turut menuduh Iran berulang kali memutarbelitkan kandungan gencatan senjata yang ditandatangani pada 17 Jun lalu.
“Kita mencapai persetujuan bahawa tidak akan ada senjata nuklear. Kita buat perjanjian, kemudian mereka keluar berjumpa media dan berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan. Ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka,” katanya.
Memorandum persefahaman yang dimeterai di Switzerland bertujuan menghentikan permusuhan selama 60 hari, membuka semula Selat Hormuz kepada pelayaran antarabangsa serta memberi ruang kepada rundingan bagi mencapai perjanjian damai yang lebih menyeluruh, termasuk berkaitan program nuklear Iran.
Namun, perkembangan terbaharu menyebabkan masa depan proses rundingan itu kini semakin tidak menentu.
Pentagon berkata serangan udara terbaharu Amerika dilancarkan selepas tiga kapal perdagangan, termasuk sebuah kapal tangki minyak Arab Saudi dan kapal pembawa gas asli cair (LNG) Qatar, diserang di Selat Hormuz.
Markas Pusat Amerika (Centcom) menyatakan lebih 80 sasaran di Iran diserang, termasuk sistem pertahanan udara, peluru berpandu antikapal, radar pantai dan pusat kawalan tentera.
Lebih 60 bot laju milik Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) turut dimusnahkan bagi mengurangkan keupayaan Teheran mengancam laluan perdagangan antarabangsa.
“Serangan tidak berasas oleh Iran terhadap kapal perdagangan merupakan pelanggaran jelas dan berbahaya terhadap gencatan senjata serta kebebasan pelayaran,” menurut kenyataan Centcom.
Sebagai tindak balas, Iran mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap pangkalan tentera Amerika di Bahrain dan Kuwait.
IRGC berkata operasi itu menyasarkan 85 lokasi tentera Amerika, termasuk Markas Armada Kelima Tentera Laut Amerika di Bahrain dan Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait.
Iran turut mendakwa berjaya menembak jatuh sebuah dron MQ-9 Reaper milik Amerika.
Tentera Kuwait mengesahkan sistem pertahanan udaranya memintas beberapa peluru berpandu dan dron “musuh”, namun tidak menyatakan pihak yang melancarkan serangan itu.
Markas Pusat Khatam al-Anbiya, iaitu komando tertinggi tentera Iran, menyifatkan serangan Amerika sebagai “tindakan pencerobohan terang-terangan” dan memberi amaran Teheran akan memberikan “tindak balas yang menghancurkan”.
Ia turut memberi amaran bahawa Iran tidak akan membenarkan Amerika campur tangan dalam pengurusan Selat Hormuz.
Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Baqer Qalibaf, pula menuduh Washington melanggar perjanjian sementara yang dimeterai Jun lalu.
“Era buli dan pemerasan sudah berakhir. Ia tidak akan membawa hasil. Kami tidak akan tunduk,” katanya menerusi media sosial.
Dalam perkembangan lain, Amerika turut menarik balik lesen am yang dikeluarkan Perbendaharaan Amerika pada 22 Jun lalu yang membenarkan Iran menjual minyak mentah serta produk petrokimia sehingga 21 Ogos.
Dengan pembatalan lesen itu, Iran diberi tempoh sehingga 17 Julai untuk menamatkan semua urus niaga berkaitan.
Langkah berkenaan disifatkan Kementerian Luar Iran sebagai pencabulan terhadap perjanjian damai sementara, sambil memberi amaran Washington akan bertanggungjawab terhadap segala akibatnya.
Ketegangan yang semakin memuncak turut menggoncang pasaran tenaga dunia.
Harga minyak mentah Brent melonjak lebih lima peratus kepada AS$78.09 (S$ S$101.01) setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) meningkat kepada AS$74.23 setong, paras tertinggi dalam tempoh hampir dua minggu.
Ketua penganalisis komoditi SEB, Encik Bjarne Schieldrop, berkata perkembangan terbaharu meletakkan masa depan rundingan 60 hari antara AS dan Iran dalam keadaan yang amat tidak menentu.
“Perkembangan ini menimbulkan keraguan serius terhadap proses rundingan yang sedang berlangsung. Berdasarkan keadaan semasa, harga minyak menghampiri AS$80 setong lebih mencerminkan realiti pasaran berbanding AS$70,” katanya.
Qatar dan Kuwait turut mengecam serangan terbaharu yang menyasarkan negara-negara Teluk, sambil menggesa semua pihak mengelakkan tindakan yang boleh menggagalkan usaha diplomatik bagi meredakan konflik di Asia Barat. – Agensi berita.
