Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS, Iran terus bercanggah mengenai status Selat Hormuz
AS, Iran terus bercanggah mengenai status Selat Hormuz
AS, Iran terus bercanggah mengenai status Selat Hormuz
TEHERAN: Ketidaktentuan mengenai status Selat Hormuz terus mencetuskan kebimbangan global apabila Amerika Syarikat dan Iran mengeluarkan kenyataan bercanggah sama ada laluan perkapalan strategik itu masih dibuka kepada kapal dagang.
Situasi itu menambah ketegangan dalam rundingan antara Washington dengan Teheran bagi menamatkan perang yang tercetus sejak Februari lalu.
Pemerhati maritim melaporkan jumlah kapal yang melalui Selat Hormuz pada 21 Jun menurun berbanding hari sebelumnya, walaupun punca sebenar belum dapat dipastikan.
Selat Hormuz merupakan laluan penting bagi eksport minyak dan gas dunia, dengan kira-kira satu perlima bekalan minyak global sebelum ini melalui kawasan itu.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata beliau telah bercakap dengan beberapa pegawai Iran pada malam 20 Jun dan memberi amaran keras supaya Tehran tidak menutup selat berkenaan.
“Anda tutup selat itu dan anda tidak akan mempunyai negara lagi,” kata Encik Trump seperti dipetik Fox News.
Kenyataan Encik Trump dibuat ketika Naib Presiden Amerika Syarikat, Encik JD Vance, mengetuai delegasi Amerika dalam rundingan baharu bersama pegawai Iran di Switzerland.
Tentera Iran pada 20 Jun mengumumkan bahawa Selat Hormuz ditutup dan mendakwa Amerika melanggar perjanjian gencatan senjata awal yang dimeterai minggu lalu kerana gagal menghalang tindakan ketenteraan Israel terhadap Hezbollah di Lebanon.
Sayap tentera laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran turut memberi amaran bahawa kapal yang menghampiri selat itu meletakkan keselamatan mereka dalam risiko.
Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, Komand Pusat Amerika (Centcom) menegaskan laluan itu masih dibuka.
“Iran tidak mengawal Selat Hormuz. Trafik perkapalan masih bergerak dan tentera Amerika memantau keadaan bagi memastikan situasi itu kekal,” kata jurucakap Centcom, Kapten Tim Hawkins.
Data penjejakan kapal menunjukkan beberapa kapal mula mengelak laluan utara selat itu selepas ancaman terbaru Iran.
Penganalisis kanan firma risikan maritim Ambrey, Encik Daniel Mueller, berkata keadaan masih tegang walaupun tiada serangan dilaporkan setakat ini.
“Situasi kekal berisiko tinggi. Iran masih mendakwa selat itu ditutup semula, tetapi belum ada serangan berlaku,” katanya.
Firma risikan maritim Windward pula melaporkan hanya 12 kapal direkodkan melalui selat itu setakat 21 Jun, jauh lebih rendah berbanding hari sebelumnya.
Centcom sebelum ini berkata 55 kapal dagang melalui Selat Hormuz pada 20 Jun, jumlah tertinggi dalam sehari sejak perang bermula tetapi masih jauh lebih rendah berbanding purata 130 kapal sehari sebelum perang.
Menteri Tenaga Amerika Syarikat, Encik Chris Wright, berkata sebanyak 67 kapal berjaya melalui selat itu dalam tempoh 24 jam lalu dengan bantuan tentera Amerika.
Menurut beliau, tentera Amerika membantu mengiringi kapal menggunakan laluan selatan yang lebih selamat selepas Iran dipercayai memasang periuk api di laluan utama.
Encik Windward turut mendakwa beberapa kapal yang melalui selat itu mematikan sistem pengesan atau transponder bagi mengelakkan dikesan.
“Kebimbangan kembali melanda laluan yang sememangnya tidak menentu,” menurut firma itu.
Sementara itu, Menteri Luar Pakistan, Encik Ishaq Dar, berkata tiada bayaran transit atau caj perkhidmatan akan dikenakan ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz sepanjang tempoh rundingan 60 hari ketika ini.
“Tiada bayaran transit atau perkhidmatan akan dikenakan di Selat Hormuz sepanjang tempoh semasa,” katanya kepada Al Arabiya.
Beliau turut mendedahkan tiga pasukan teknikal sedang terlibat dalam rundingan antara Washington dan Teheran membabitkan program nuklear Iran, dana Iran yang dibekukan serta situasi di Lebanon.
Menurut Encik Dar, Pakistan memainkan peranan penting membantu membuka ruang dialog antara Amerika dan Iran selepas kedua-dua negara tidak mengadakan hubungan langsung selama 47 tahun.
“Kami bekerjasama dengan rakan serantau dan antarabangsa bagi membantu usaha pengantaraan serta memastikan rundingan ini berjaya,” katanya.
Perkembangan terbaru itu berlaku ketika pasaran tenaga global terus memantau sebarang ancaman terhadap Selat Hormuz yang dianggap antara laluan perkapalan paling penting di dunia.
Sebarang gangguan besar di kawasan itu dijangka memberi kesan langsung kepada harga minyak dan bekalan tenaga antarabangsa. – Agensi berita.
