TEHERAN: Pemimpin tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, mengesahkan beliau memberi kebenaran walaupun dengan keberatan kepada rundingan langsung dengan Amerika Syarikat bagi menamatkan konflik di Asia Barat, namun menegaskan langkah itu tidak bermaksud Tehran menerima pendirian Washington.

Dalam kenyataan bertulis yang dimuat naik di saluran Telegram rasminya pada 18 Jun, Encik Mojtaba berkata beliau sebenarnya mempunyai pandangan berbeza mengenai memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara Iran dan AS, tetapi tetap meluluskan proses itu selepas menerima jaminan daripada pemerintah Iran.

“Kepada rakyat Iran, saya ingin menjelaskan bahawa saya pada dasarnya mempunyai pandangan yang berbeza mengenai perkara ini,” katanya.

“Namun, berdasarkan komitmen yang diberikan Presiden sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan Nasional Tertinggi untuk melindungi hak rakyat Iran dan Paksi Penentangan, saya memberikan kebenaran,” katanya lagi.

Kenyataan itu merupakan reaksi pertama beliau selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, menandatangani MOU yang membuka laluan kepada rundingan lebih luas mengenai program nuklear Iran.

Encik Trump menyifatkan MOU yang dicapai dengan Iran sebagai sesuatu yang “berkemungkinan besar penyerahan tanpa syarat”, selain menegaskan konflik itu membuktikan keluasan kuasa Presidennya.

“Kita mempunyai ketenteraan paling berkuasa di dunia, tanpa tandingan,” kata Encik Trump dalam temu bual bersama wartawan Axios, Encik Marc Caputo, menurut klip yang dikeluarkan pada 18 Jun.

Perjanjian itu turut memulakan tempoh 60 hari rundingan antara kedua-dua negara bagi membincangkan isu strategik termasuk program nuklear, sekatan ekonomi dan keselamatan serantau.

Encik Mojtaba menegaskan rundingan bersemuka yang bakal berlangsung tidak bermaksud Iran akan tunduk kepada tuntutan Amerika.

“Rundingan secara langsung pada masa depan tidak bermakna kami menerima pendirian musuh,” katanya.

Beliau turut memuji pegawai Iran yang terbabit dalam rundingan tersebut dan menyifatkan mereka bertindak dengan niat baik demi kepentingan negara.

Menurut beliau, Presiden Pezeshkian dan pegawai lain memberi jaminan bahawa Iran tidak akan tunduk sekiranya Washington menuntut konsesi melampau.

Pada masa sama, Encik Mojtaba mendakwa Encik Trump menandatangani perjanjian itu “kerana terdesak” selepas tekanan besar yang dihadapi Amerika akibat konflik berpanjangan di Asia Barat.

Encik Mojtaba, yang dilantik sebagai Pemimpin Tertinggi selepas bapanya, Ali Khamenei, terbunuh dalam serangan udara Amerika pada hari pertama perang pada 28 Februari lalu, juga dilaporkan masih belum muncul di khalayak ramai sejak cedera dalam serangan terhadap kediaman bapanya pada awal perang.

Menurut laporan CNN, sebaik sahaja beberapa pemimpin utama Republikan di Capitol Hill mengetahui butiran awal perjanjian Encik Trump dengan Iran, ada dalam kalangan mereka terlalu terkejut hingga enggan memberikan sebarang komen. 

Sekumpulan senator Parti Republikan mula secara terbuka mempersoalkan terma rundingan tersebut, dengan ramai menggesa Encik Trump mengubah strategi sepenuhnya.

Sebahagian daripada mereka, khususnya yang tidak berdepan tekanan kempen pemilihan semula, secara terbuka mengkritik perjanjian itu. 

Penganalisis melihat kenyataan Mojtaba sebagai isyarat rasmi bahawa Teheran bersedia meneruskan rundingan dengan Washington walaupun masih berhati-hati terhadap hasil akhir perjanjian tersebut.

Pengarah Program Iran di Institut Kajian Keselamatan Nasional Israel, Encik Raz Zimmt, berkata Encik Mojtaba dilihat cuba mengekalkan jarak politik daripada proses rundingan itu.

“Jika rundingan berjaya dan menguntungkan Iran, beliau boleh mengambil kredit. Tetapi jika gagal, tanggungjawab boleh diletakkan kepada Presiden Pezeshkian,” katanya kepada Axios.

Perjanjian itu juga mengandungi beberapa manfaat ekonomi penting kepada Iran.

Di bawah memorandum berkenaan, Amerika bersetuju menarik balik sekatan minyak yang selama ini menekan ekonomi Iran.

Dokumen itu turut menyatakan Washington akan membantu menyediakan dana pembinaan semula bernilai AS$300 bilion (S$405 bilion) yang disokong beberapa negara serantau selepas persetujuan muktamad dicapai mengenai program nuklear Iran.

Keputusan Encik Trump menamatkan perang dan memeterai perjanjian dengan Iran menerima kritikan daripada beberapa sekutunya sendiri di Amerika.

Senator Parti Republikan, Encik Bill Cassidy, menyifatkan langkah itu sebagai “kesilapan dasar luar terburuk dalam beberapa dekad”.

“Iran tidak benar-benar dihalang daripada cita-cita nuklearnya dan mereka kini tahu ancaman terhadap Selat Hormuz boleh berjaya,” katanya.

Encik Trump bagaimanapun mempertahankan keputusan tersebut dan memberi amaran bahawa Amerika bersedia “mengebom Iran habis-habisan” jika Teheran melanggar perjanjian.

Dalam hantaran media sosial pada 18 Jun, Encik Trump turut menyifatkan pengkritik perjanjian itu sebagai “bodoh” sambil menyamakan kesepakatan tersebut sebagai satu “kemenangan”.

Di Iran pula, golongan konservatif turut mengkritik rundingan itu kerana melihatnya sebagai terlalu bertolak ansur dengan Amerika.

Namun, Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, menegaskan perjanjian tersebut sebenarnya membuktikan “kegagalan Amerika”, manakala Encik Pezeshkian menyifatkannya sebagai “bersejarah”.

Penganalisis Perancis dari Institut Penyelidikan Mediterranean dan Asia Barat, Agnes Lavallois, berkata ramai percaya Amerika sebenarnya hanya mahu memastikan Selat Hormuz dibuka semula demi kestabilan pasaran tenaga global.

Amerika pada 18 Jun mengumumkan bahawa sekatan laut terhadap pelabuhan Iran yang menghalang kapal keluar masuk negara itu telah ditamatkan, walaupun kapal perang Amerika akan terus berada di kawasan berkenaan.

Tiga kapal tangki minyak Arab Saudi dilaporkan keluar dari Teluk melalui Selat Hormuz pada 18 Jun manakala kapal gas asli cecair (LNG) Perancis, Mraikh, menjadi kapal LNG pertama melalui laluan itu sejak konflik bermula.

Televisyen Iran melaporkan, semua kapal yang ingin melalui Selat Hormuz perlu mengemukakan permohonan kepada sebuah badan pemerintah baharu yang ditugaskan mengawasi laluan berkenaan.

Selaras dengan perjanjian, tiada sebarang bayaran akan dikenakan ke atas kapal-kapal yang memohon kebenaran untuk tempoh 60 hari.

Namun, Israel masih meneruskan perangnya terhadap Hezbollah di Lebanon, menimbulkan persoalan sama ada perjanjian itu akan dilaksanakan.

Israel, yang bukan sebahagian daripada pihak terlibat dalam rundingan, berkata ia tidak berhasrat untuk berundur daripada Lebanon dan mengeluarkan peta baharu menunjukkan zon pendudukan yang diperluas.

Encik Trump secara terbuka mengkritik operasi Israel di Lebanon itu yang membawa kepada salah satu perpecahan terbesar antara kedua-dua negara dalam beberapa dekad. – Agensi berita.