BAGHDAD: Iraq, Syria dan Amerika Syarikat dijangka mengumumkan perjanjian untuk menghidupkan semula saluran paip minyak bersejarah yang menghubungkan Kirkuk di utara Iraq dengan pelabuhan Baniyas di pantai Mediterranean Syria.

Perjanjian itu dibuat sebagai usaha mengurangkan kebergantungan terhadap Selat Hormuz yang kini dikuasai Iran.

Menurut beberapa pegawai kanan Iraq dan sumber serantau, pengumuman itu dijangka dibuat minggu depan ketika Perdana Menteri Iraq, Encik Ali al-Zaidi, mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, di Rumah Putih.

Duta Amerika ke Turkey, yang juga utusan khas ke Syria dan Iraq, Encik Tom Barrack, dilaporkan sedang memuktamadkan butiran perjanjian itu sebelum lawatan rasmi Encik al-Zaidi ke Washington.

Seorang pegawai kanan Iraq berkata Encik Barrack melihat projek berkenaan sebagai model kerjasama ekonomi baharu yang memberi manfaat kepada Amerika dan negara-negara di rantau Levant.

“Beliau mahu menjadikan saluran paip ini sebagai contoh projek pembangunan ekonomi yang mampu memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya kepada Middle East Eye.

Saluran paip sepanjang kira-kira 800 kilometer itu dibina pada 1952 oleh Iraq Petroleum Company, dengan kapasiti mengangkut sekitar 300,000 tong minyak sehari.

Bagaimanapun, Iraq menutup saluran itu pada 1980-an selepas Syria menyebelahi Iran dalam Perang Iran-Iraq.

Kemudahan itu kemudian mengalami kerosakan teruk akibat pencerobohan Amerika ke atas Iraq pada 2003 dan tidak lagi beroperasi sehingga kini.

Menurut sumber serantau, saluran paip itu memerlukan pembinaan semula secara menyeluruh, termasuk pemasangan paip baharu, tangki simpanan, pam dan sistem bekalan elektrik.

Projek itu dijangka mengambil masa antara dua dengan tiga tahun untuk disiapkan.

“Sebuah konsortium syarikat dari Amerika telah dikenal pasti untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan semula, sekali gus menunjukkan komitmen Washington terhadap projek ini,” kata seorang pegawai kanan serantau.

Usaha menghidupkan semula saluran paip itu semakin mendesak selepas Iran memperketat kawalan terhadap Selat Hormuz susulan konflik ketenteraan dengan Amerika dan Israel.

Sebelum ini, Iraq hanya mampu mengeksport minyak dalam jumlah kecil menggunakan lori tangki melalui Syria ketika laluan di Selat Hormuz terganggu.

Penganalisis Asia Barat, Encik Sarhang Hamasaeed, berkata konflik itu telah mengubah persepsi Iraq terhadap Syria.

“Sebelum perang, Iraq memandang Syria dengan penuh keraguan. Namun realiti peperangan menunjukkan Iraq memerlukan Syria sebagai laluan alternatif untuk eksport minyak,” katanya.

Menteri Luar Syria, Encik Asaad al-Shaibani, dijangka turut berada di Washington bagi menghadiri majlis menandatangani perjanjian berkenaan.

Hubungan antara Baghdad dengan Damsyik sebelum ini agak rumit berikutan pemerintah Iraq yang dikuasai parti serta kumpulan Syiah mempunyai hubungan rapat dengan Iran, manakala Presiden Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, merupakan pemimpin Sunni yang pernah mengetuai Barisan al-Nusra, cabang al-Qaeda di Syria.

Namun, landskap politik berubah selepas Encik al-Sharaa mengambil alih pemerintahan Syria dan mendapat sokongan Amerika, Turkey, Qatar serta Arab Saudi.

Pentadbiran Trump turut menarik balik beberapa sekatan terhadap Syria, termasuk terhadap kumpulan Hay’at Tahrir al-Sham (HTS), yang sebelum ini diketuai Encik al-Sharaa.

Malah, Encik Trump pada 7 Julai menyifatkan Encik al-Sharaa sebagai seorang pemimpin yang “hebat” dan “dihormati” ketika sidang kemuncak Nato di Ankara.

Washington juga mengumumkan akan menggugurkan Syria daripada senarai negara penaja keganasan, status yang disandang negara itu sejak 1979.

Langkah itu dijangka memudahkan syarikat Amerika menyertai projek tenaga di Syria, termasuk pembinaan semula saluran paip Kirkuk-Baniyas.

Pada awal Julai, pemerintah Iraq turut meluluskan perjanjian awal yang membolehkan syarikat Amerika, Capital TI dan Chevron, bersama sebuah syarikat dari Qatar menjalankan kajian bagi projek saluran paip dari Kirkuk dan Haditha ke Baniyas.

Iraq merupakan antara negara yang paling terkesan dengan ketegangan di Selat Hormuz kerana kira-kira 95 peratus eksport minyaknya bergantung kepada laluan itu.

Firma analisis tenaga Vortexa melaporkan eksport minyak Iraq melalui laut pada Mei lalu hanya mencapai lapan peratus daripada purata tahun sebelumnya.

Minyak menyumbang hampir 90 peratus hasil belanjawan kerajaan Iraq, menjadikan pembukaan laluan eksport alternatif melalui Syria semakin penting bagi menjamin kestabilan ekonomi negara itu. – Agensi berita.