Topik diikuti
Pergi ke BHkuNegara teluk percepat projek prasarana, ubah struktur dagang
Negara teluk percepat projek prasarana, ubah struktur dagang
Negara teluk percepat projek prasarana, ubah struktur dagang
RIYADH: Ketegangan berterusan antara Iran dengan Amerika Syarikat kini bukan sahaja mencetuskan kebimbangan keselamatan di Asia Barat, malah mengubah keseluruhan peta perdagangan dan tenaga rantau itu.
Gangguan besar terhadap Selat Hormuz dan Laut Merah akibat konflik terkini menyebabkan negara Teluk mula mempercepat pembinaan laluan perdagangan alternatif, rangkaian kereta api rentas sempadan serta saluran paip minyak dan gas baharu.
Apa yang sebelum ini dianggap projek jangka panjang kini dilihat sebagai keperluan strategik untuk memastikan ekonomi rantau itu tidak lagi terlalu bergantung pada laluan laut yang mudah terdedah kepada konflik geopolitik.
Menurut laporan, South China Morning Post, negara seperti Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Turkey sedang mempercepat pelbagai projek prasarana baharu melibatkan pelabuhan, kereta api dan saluran tenaga rentas negara.
Penganalisis menyifatkan langkah itu sebagai “perubahan struktur” dalam strategi perdagangan Asia Barat.
Selama puluhan tahun, Selat Hormuz menjadi nadi utama eksport minyak dan gas dunia.
Lebih 20 juta tong minyak sehari pernah melalui laluan sempit itu sebelum konflik terbaru tercetus.
Namun, perang antara Iran dengan pakatan Amerika dan Israel mengubah segalanya.
Bergantung satu laluan dagang risiko besar
Penutupan sementara laluan itu, serangan dron dan ancaman sekatan menyebabkan negara Teluk mula menyedari bahawa terlalu bergantung pada satu laluan perdagangan adalah risiko besar.
Menteri Tenaga dan Teknologi UAE yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Abu Dhabi National Oil Company, Sultan Al Jaber, berkata penutupan Hormuz akan menjadi gangguan bekalan terbesar pernah direkodkan.
“Ini bukan hanya isu minyak. Ia melibatkan baja, mineral kritikal, plastik, barangan pengguna dan pelbagai komoditi lain,” katanya ketika berucap di Majlis Atlantik.
Beliau berkata dunia kini terlalu bergantung pada beberapa “titik sempit” perdagangan sejagat yang mudah terganggu akibat konflik.
Percepat bina saluran paip baharu eksport minyak
Bagi mengurangkan pergantungan pada Selat Hormuz, Arab Saudi kini memaksimumkan penggunaan saluran paip Timur-Barat sepanjang 1,200 kilometer yang menghubungkan Teluk Arab ke Laut Merah.
Sebelum perang, saluran paip itu hanya mengangkut sekitar dua juta tong sehari, namun, kini beroperasi hampir pada kapasiti kecemasan penuh sebanyak tujuh juta tong sehari.
Kerajaan Saudi juga sedang mempertimbangkan peluasan laluan tersebut serta pembinaan saluran baharu untuk mengeksport lebih banyak minyak tanpa perlu melalui Selat Hormuz.
UAE pula mempercepat pembinaan saluran paip baharu merentasi negara itu menuju Fujairah di pantai Teluk Oman, di luar Selat Hormuz.
Menurut Sultan Al Jaber, projek itu kini hampir 50 peratus siap dan dijangka beroperasi menjelang 2027.
“Malah jika konflik ini berakhir esok, dunia memerlukan sekurang-kurangnya empat bulan untuk memulihkan 80 peratus aliran perdagangan sebelum krisis,” katanya, sambil menambah pemulihan penuh mungkin hanya berlaku pada penghujung 2027.
Langkah UAE meninggalkan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec) pada Mei lalu juga dilihat sebagai sebahagian usaha negara itu melaksanakan dasar tenaga lebih fleksibel berdasarkan kepentingan pasaran jangka panjang.
Rangkaian kereta api, koridor darat baharu
Selain saluran minyak dan gas, negara Asia Barat kini memberi tumpuan besar pada rangkaian kereta api dan koridor darat baharu.
Antara projek utama ialah kebangkitan semula Laluan Kereta Api Hejaz yang pernah menghubungkan Jeddah ke Istanbul melalui Amman dan Damsyik.
Arab Saudi, UAE, Turkey dan Jordan sedang berbincang untuk menghidupkan semula laluan bersejarah itu sebagai koridor perdagangan moden.
Pada sidang kemuncak Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Jeddah, pemimpin rantau itu turut bersetuju mempercepat projek kereta api GCC yang akan menghubungkan Arab Saudi, UAE, Qatar, Oman, Kuwait dan Bahrain.
Beberapa laluan laut-darat juga sudah mula beroperasi pada 2026, termasuk penghantaran kargo dari pelabuhan Fujairah dan Khor Fakkan di UAE ke Jordan melalui Arab Saudi.
Arab Saudi turut melancarkan perkhidmatan kargo dari pelabuhan Neom yang menghubungkan Laut Merah dengan negara Teluk dan Iraq.
Konflik Hormuz turut membuka peluang baharu pada Syria dan Iraq untuk muncul sebagai penghubung perdagangan penting.
Turkey kini berusaha memulihkan serta memperluas saluran paip yang menghubungkan Iraq ke pelabuhan Mediterranean.
Terdapat juga cadangan memanjangkan saluran paip dari Ceyhan di Turkey hingga ke Basra di Iraq.
Pada masa sama, syarikat milik kerajaan UAE seperti DP World dan Abu Dhabi Ports memperoleh konsesi mengendalikan pelabuhan di Jordan dan Syria.
Pakar ekonomi politik Asia Barat, Encik Karam Shaar, berkata rantau itu sedang membina sistem perdagangan yang lebih pelbagai dan tidak terlalu tertumpu pada satu laluan sahaja.
Menurut beliau, negara Teluk memahami ketidakstabilan geopolitik mungkin akan menjadi fenomena jangka panjang.
Walaupun banyak negara sedang membina alternatif, cabaran terbesar masih dihadapi Qatar.
Hampir satu perlima gas asli cecair (LNG) dunia sebelum ini melalui Selat Hormuz, kebanyakannya dari Qatar.
Tidak seperti minyak mentah yang boleh dialihkan melalui saluran paip, LNG lebih sukar dipindahkan kerana memerlukan terminal dan sistem pengangkutan khusus.
Namun, beberapa negara kini mula membincangkan projek saluran gas baharu dari Qatar ke Turkey melalui Arab Saudi, Jordan dan Syria.
Terdapat juga saranan laluan melalui Kuwait dan Iraq, selain sambungan ke Mesir.
Dunia mula sedar risiko geopolitik
Krisis Hormuz juga menyebabkan banyak negara mula memikirkan semula keselamatan laluan perdagangan sejagat lain.
Iran sebelum ini mencadangkan kutipan bayaran transit di Selat Hormuz, sesuatu yang dianggap berbahaya kerana melanggar prinsip perdagangan maritim antarabangsa.
Pemerhati antarabangsa turut memberi amaran tindakan Iran mungkin menjadi contoh kepada China dalam menangani Selat Taiwan pada masa depan.
Di Asia Tenggara pula, Indonesia terpaksa menafikan cadangan untuk “mengaut keuntungan” dari Selat Melaka selepas kenyataan menteri kewangannya mencetuskan spekulasi.
Penganalisis berkata dunia kini memasuki era baharu di mana laluan perdagangan yang sebelum ini dianggap selamat boleh terganggu secara tiba-tiba akibat perang, ketegangan geopolitik atau bencana luar biasa.
Dalam keadaan itu, pelaburan bagi mengurangkan pergantungan pada laluan sempit seperti Selat Hormuz tidak lagi dianggap projek mahal semata-mata, sebaliknya menjadi keperluan ekonomi dan strategik yang mendesak.
“Dunia kini sedar keselamatan perdagangan bukan lagi sesuatu yang boleh diambil mudah,” kata seorang penganalisis tenaga serantau.
“Siapa yang memiliki lebih banyak laluan alternatif akan mempunyai kelebihan ekonomi dan geopolitik pada masa depan.” – Agensi berita.
