Topik diikuti
Pergi ke BHkuSyria lihat peluang buka laluan tatkala Selat Hormuz lumpuh
Syria lihat peluang buka laluan tatkala Selat Hormuz lumpuh
Berada di kedudukan strategik hubungkan Mediterranean dengan Turkey, Iraq, Jordan dan Lebanon; Syria mahu hidupkan semula ekonomi
Syria lihat peluang buka laluan tatkala Selat Hormuz lumpuh
DAMSYIK: Ketika perang yang melanda Asia Barat menutup akses ke Selat Hormuz, salah satu laluan perkapalan paling penting di dunia, Syria melihat krisis itu sebagai peluang strategik untuk kembali memainkan peranan penting dalam perdagangan serantau dan sejagat.
Dengan kedudukan geografi yang menghubungkan Mediterranean dengan Turkey, Iraq, Jordan dan Lebanon, Syria kini cuba menawarkan diri sebagai laluan alternatif kepada negara Teluk yang terjejas akibat gangguan Selat Hormuz.
Negara teluk cari pelan alternatif sebagai sandaran
Perang yang tercetus selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada penghujung Februari lalu telah menggoncang perdagangan tenaga dunia.
Selat Hormuz, yang sebelum ini menjadi laluan utama eksport minyak dan gas, kini tidak lagi stabil, menyebabkan negara Teluk mula mencari pelan alternatif sebagai sandaran.
Menurut pengarah hubungan tempatan dan antarabangsa pihak berkuasa sempadan serta kastam Syria, Encik Mazen Alloush, hampir semua negara jiran mula menghubungi Syria selepas penutupan Selat Hormuz.
“Selepas Selat Hormuz ditutup, hampir semua negara jiran mengetuk pintu kami untuk mendapatkan akses ke pelabuhan Syria.
“Mereka sedang mengatur pelan alternatif sekiranya krisis ini berlarutan lebih lama,” katanya.
Sebelum perang saudara selama hampir 14 tahun memusnahkan negara itu, Syria mempunyai sejarah panjang sebagai penghubung perdagangan antara Asia, Timur Tengah dengan Eropah.
Pengarah perhubungan awam Pihak Berkuasa Zon Bebas Syria, Encik Hazem Alsabtee, berkata Syria suatu ketika dahulu merupakan sebahagian penting Laluan Sutera purba.
“Syria ialah Laluan Sutera lama. Ia pernah menjadi laluan perdagangan yang amat penting,” katanya.
Kedudukan strategik Syria di pesisir Mediterranean juga menyebabkan Kesatuan Soviet pada era 1960-an berusaha menjalin hubungan rapat dengan keluarga mantan Presiden Bashar al-Assad bagi mendapatkan akses ke pelabuhan Syria.
Namun, perang saudara yang berakhir pada 2024 selepas kejatuhan mantan Presiden Bashar meninggalkan kerosakan besar pada prasarana negara.
Kini, ketika perang serantau mencetuskan gangguan perdagangan baharu, pemerintah Syria melihat peluang untuk menghidupkan semula ekonomi yang lumpuh.
Iraq, UAE mula salur minyak melalui Syria
Antara negara terawal yang mula memanfaatkan laluan alternatif itu ialah Iraq.
Gangguan penghantaran minyak melalui Selat Hormuz menyebabkan minyak mentah Iraq terkumpul tanpa laluan eksport yang jelas.
Keadaan itu memaksa syarikat minyak milik negara Iraq mencari alternatif melalui Syria.
Menurut pengarah perhubungan awam Syria Petroleum Company, Encik Safwan Ahmad, Iraq meminta izin untuk menghantar minyak mentah melalui jalan darat ke pelabuhan Baniyas di pantai Mediterranean Syria.
Bagi Syria, ia menjadi peluang ekonomi yang amat diperlukan selepas bertahun-tahun dilanda perang dan sekatan antarabangsa.
Syria mengenakan bayaran transit dan pengendalian di pelabuhan mereka, sekali gus membuka sumber pendapatan baharu.
Pada akhir Mac, Iraq menjalankan penghantaran minyak pertama melalui laluan itu.
Ada hari menyaksikan lebih 400 lori tangki melintasi sempadan Syria membawa minyak mentah.
menurut Encik Safwan, beberapa syarikat asing turut menunjukkan minat untuk menghidupkan semula saluran paip lama yang menghubungkan Kirkuk di Iraq dengan pelabuhan Baniyas.
“Walaupun Selat Hormuz dibuka semula, negara-negara tetap perlu mencari alternatif. Syria akan menjadi penghubung kepada laut,” katanya.
Selain Iraq, Amiriah Arab Bersatu (UAE) juga mula menggunakan Syria sebagai laluan eksport alternatif.
Pada April, penghantaran pertama sebanyak 200 kenderaan dari UAE tiba di Syria melalui Jordan sebelum dihantar ke Eropah menerusi pelabuhan Latakia.
Usahawan UAE yang juga Pengasas Emaar Properties, Encik Mohamed Alabbar, berkata kumpulannya sedang mempertimbangkan pelaburan sehingga AS$7 bilion ($8.96 bilion) di pesisir Syria dan AS$12 bilion lagi di Damsyik.
Beliau membuat kenyataan itu ketika Forum Pelaburan Syria-UAE pertama di Damsyik pada pertengahan Mei.
Pakar ekonomi politik Asia Barat, Encik Karam Shaar, berkata Syria kini berada dalam “detik yang sangat bertuah” kerana negara serantau mula memerlukan laluan alternatif.
Menurut beliau, pemerintah Syria sedang berusaha meletakkan negara itu sebagai pusat rantaian bekalan baharu bagi rantau Asia Barat.
Ketika menghadiri mesyuarat di Cyprus pada April lalu, Presiden Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, memberitahu pemimpin Kesatuan Eropah bahawa Syria boleh menjadi koridor strategik yang menghubungkan Asia Tengah dan Teluk Arab dengan Eropah.
Sekatan, ketidaktentuan politik jadi penghalang
Walaupun peluang ekonomi mula muncul, Syria masih berdepan pelbagai cabaran besar.
Perang saudara yang panjang memusnahkan jalan raya, grid elektrik, sistem bekalan air dan telekomunikasi negara itu.
Bank Dunia menganggarkan kos pembinaan semula Syria boleh mencecah lebih AS$200 bilion, termasuk lebih AS$80 bilion untuk prasarana sahaja.
Beberapa lintasan sempadan penting seperti al-Tanf juga tidak beroperasi selama bertahun-tahun.
Encik Alloush berkata kos memulihkan sepenuhnya lintasan itu dianggar sekitar AS$25 juta dan memerlukan beberapa bulan untuk siap.
Namun, Syria tetap bertindak pantas bagi memastikan peluang ekonomi tidak terlepas.
Menurut beliau, pihak berkuasa menghantar karavan bergerak, komputer, pasukan kawalan sempadan dan rumah mudah alih untuk membuka semula lintasan tersebut dengan segera.
Walaupun hubungan Syria dengan Amerika Syarikat semakin baik selepas kejatuhan Encik Assad, negara itu masih berdepan sekatan tertentu.
Syria masih berada dalam senarai penaja pengganasan Amerika, sekali gus menyukarkan urus niaga kewangan antarabangsa.
Pada 2025, Syria berjaya melakukan pemindahan elektronik pertama dengan sebuah bank Barat selepas 14 tahun.
Namun, negara itu masih belum disambungkan kepada sistem Swift yang penting bagi urusan kewangan sejagat.
Ketiadaan Parlimen berfungsi dan ketidaktentuan dalam pemerintahan Presiden al-Sharaa turut menyebabkan pelabur asing berhati-hati.
Encik Shaar berkata banyak projek diumumkan di Syria sebelum ini gagal direalisasikan.
“Terdapat kecenderungan di Syria untuk mengumumkan banyak projek tetapi akhirnya tidak menjadi kenyataan,” katanya.
Ketika ini, pihak berkuasa Syria sedang berlumba-lumba menyediakan zon perdagangan bebas dan kemudahan asas untuk menarik pelabur asing.
Namun Encik Alsabtee mengakui pelabur tidak akan datang jika kemudahan asas seperti elektrik dan air masih gagal disediakan.
“Jika saya seorang pelabur yang mahu datang tetapi tiada elektrik, tiada air dan tiada bahan asas untuk bekerja, semuanya menjadi mustahil,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa Syria perlu berhati-hati agar tidak dilihat mengambil kesempatan daripada penderitaan akibat perang serantau.
“Kami tidak mahu mengatakan kami berjaya kerana konflik,” katanya. – Agensi berita.
