SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

AS, Israel rancang sambung semula operasi ketenteraan terhadap Iran

AS, Israel rancang sambung semula operasi ketenteraan terhadap Iran

Apr 13, 2026 | 12:43 PM

AS, Israel rancang sambung semula operasi ketenteraan terhadap Iran

Seorang wanita mengibarkan bendera kebangsaan Iran di hadapan papan iklan gergasi bertulis Selat Hormuz kekal ditutup di Dataran Revolusi, Teheran, pada 12 April 2026.
Seorang wanita mengibarkan bendera kebangsaan Iran di hadapan papan iklan gergasi bertulis Selat Hormuz kekal ditutup di Dataran Revolusi, Teheran, pada 12 April 2026. - Foto AFP

WASHINGTON: Tentera Israel dilaporkan sedang bersiap untuk kembali ke medan tempur selepas rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Pakistan gagal mencapai persetujuan, sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa perang akan kembali tercetus.

Laporan media Israel menyebut bahawa  Angkatan Pertahanan Israel (IDF) telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan bersedia menyambung semula operasi ketenteraan terhadap Iran dalam masa terdekat.

Ketua Turus IDF, Eyal Zamir, mengarahkan tentera berada dalam “keadaan siap siaga tinggi” serta memulakan persediaan bagi kemungkinan konflik disambung semula.

Media lain turut melaporkan bahawa Israel bukan sahaja bersedia untuk perang semula, malah turut jangkakan kemungkinan serangan mengejut dari Iran.

Seorang pegawai kanan pertahanan Israel dipetik berkata, negara itu “berminat untuk menyambung semula perang” kerana konflik sebelum ini berakhir terlalu awal tanpa tekanan mencukupi terhadap Iran, khususnya berkaitan program nuklear dan peluru berpandu balistik.

“Israel mahu memastikan tekanan terhadap Iran diteruskan sehingga isu nuklear dapat diselesaikan,” menurut laporan itu.

Dalam masa sama, Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump dilaporkan sedang mempertimbangkan melancarkan semula serangan ketenteraan terhad terhadap Iran bagi memecahkan kebuntuan rundingan.

Menurut laporan The Wall Street Journal, Encik Trump dan penasihatnya melihat kombinasi sekatan di Selat Hormuz serta serangan terhad sebagai strategi untuk memaksa Teheran kembali ke meja rundingan.

Berucap kepada media, Encik Trump memberi bayangan bahawa sasaran boleh melibatkan prasarana tenaga Iran. “Saya keberatan untuk berbuat demikian, tetapi semua pilihan masih terbuka,” katanya.

Namun, pegawai Amerika menjelaskan bahawa Encik Trump kurang cenderung melancarkan perang berskala penuh, sebaliknya memilih pendekatan tekanan terhad.

Rundingan di Islamabad yang diketuai Naib Presiden Encik JD Vance gagal mencapai sebarang persetujuan, dengan isu utama kekal tertumpu kepada program nuklear Iran.

Amerika menetapkan beberapa garis merah, termasuk menghentikan pengayaan uranium, menutup kemudahan nuklear utama, serta menghentikan sokongan kepada kumpulan sekutu seperti Hamas, Hezbollah dan Houthi.

Namun, Iran menolak tuntutan tersebut, dengan Menteri Luar, Encik Abbas Araghchi, menyifatkan syarat Amerika sebagai melampau. “Kami hampir mencapai persetujuan, tetapi berdepan tuntutan melampau, perubahan syarat dan sekatan,” katanya.

Perkembangan ini berlaku kurang seminggu selepas gencatan senjata selama dua minggu dimeterai melalui perantaraan Pakistan.

Namun, kegagalan rundingan serta peningkatan kesiapsiagaan ketenteraan menunjukkan perjanjian itu kini berada di ambang keruntuhan.

Walaupun usaha diplomatik masih diteruskan oleh Pakistan untuk membawa kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan, situasi semasa menunjukkan konflik boleh tercetus semula pada bila-bila masa. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg