BAITULMAKDIS: Diplomat tertinggi Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, sepakat menzahirkan pendirian bersatu dalam menentang musuh bersama mereka, dengan mengancam “membuka pintu neraka” ke atas Hamas dan “menyelesaikan tugas” menentang Iran.
Ikrar itu dibuat semasa sidang akhbar bersama di Baitulmakdis pada 16 Februari.
Encik Rubio berada di Israel dalam rangka memulakan lawatan pertamanya ke Timur Tengah sebagai Setiausaha Negara dalam pentadbiran baru Presiden Donald Trump.
“Hamas tidak boleh terus bergerak sebagai tentera atau pasukan pemerintah... mereka mesti dihapuskan,” kata Encik Rubio mengenai kumpulan yang memerangi Israel selama lebih 15 bulan di Gaza sehingga gencatan senjata dikuat kuasakan pada 19 Januari.
Berdiri di sebelah Encik Rubio, Encik Netanyahu berkata kedua-dua sekutu itu mempunyai “strategi bersama” dan “pintu neraka akan dibuka” jika semua tebusan yang masih ditahan oleh Hamas di Gaza tidak dibebaskan.
Komen itu dibuat sehari selepas Hamas membebaskan tiga lagi tebusan Israel sebagai pertukaran untuk 369 tahanan Palestin.
Ia pertukaran keenam sedemikian di bawah perjanjian gencatan senjata, yang dibantu oleh Amerika sebagai perantara bersama Qatar dan Mesir.
Komen Encik Netanyahu sejajar dengan komen Encik Trump menjelang pertukaran tebusan dan tahanan pada 15 Februari.
Encik Trump berkata “semua neraka” akan meletus dan beliau akan mendesak gencatan senjata dibatalkan jika tebusan tidak dibebaskan pada hari tersebut.
Israel dan Hamas saling menuduh satu sama lain kerana melanggar perjanjian gencatan senjata.
Menambah ketegangan pada perjanjian itu, Encik Trump mengemukakan cadangan yang dikecam secara meluas oleh dunia Arab iaitu untuk mengambil alih Gaza dan memindahkan secara paksa lebih dua juta penduduknya ke Mesir dan Jordan.
Encik Trump berkata rakyat Palestin telah “menjalani kehidupan penuh sengsara” di Gaza, dan mencadangkan wilayah pantai dibangunkan semula menjadi kawasan peranginan atau ‘Riviera Timur Tengah’.
Washington, sekutu utama Israel dan pembekal senjata, berkata ia terbuka kepada cadangan alternatif daripada kerajaan Arab, tetapi Encik Rubio berkata buat masa ini, “satu-satunya rancangan ialah yang diusulkan Encik Trump”.
Masyarakat antarabangsa, bagaimanapun, termasuk Arab Saudi dan negara Arab lain, sebahagian besarnya menyokong penyelesaian dua negara melibatkan Palestin dan Israel.
Encik Rubio akan menuju ke Arab Saudi pada 17 Februari dan kemudian melawat Amiriah Arab Bersatu (UAE). – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg