DETROIT: Naib Presiden Amerika Syarikat, Cik Kamala Harris mengulangi gesaannya untuk gencatan senjata dalam perang Israel di Gaza dan berkata adalah penting untuk bertindak selepas pembunuhan pemimpin Hamas, Encik Yahya Sinwar, antara dalang serangan 7 Oktober.
Cik Harris mengakui cabaran yang akan mendatang tetapi memberitahu media pada 19 Oktober bahawa beliau akan terus mendesak untuk menamatkan konflik itu.
“Ini membuka jalan yang saya percaya kita harus memanfaatkan sepenuhnya – untuk mendedikasikan diri bagi menamatkan perang ini dan membawa pulang tebusan,” katanya.
“Memandangkan ia berkaitan dengan isu di Timur Tengah dan khususnya di rantau itu, ia tidak pernah mudah. Namun, ia tidak bermakna kita berputus asa. Ia sentiasa sukar. Kita tidak boleh berputus asa,” tambah beliau.
Cik Harris mengelak soalan sama ada kemarahan masyarakat Arab Amerika dan Muslim berhubung sokongan Amerika terhadap pengeboman berterusan Israel ke atas Gaza dan baru-baru ini di Lebanon boleh menyebabkan pilihan raya beliau terjejas di Michigan.
“Saya sering bercakap secara terbuka mengenai hakikat bahawa terdapat begitu banyak kisah tragis di Gaza,” kata Cik Harris, yang turut merujuk kepada serangan awal Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel.
“Apa yang amat penting pada saat ini adalah... mengakui tragedi yang telah berlaku di Gaza, dari segi jumlah besar rakyat Palestin yang tidak bersalah telah dibunuh dan mengambil perkara itu dengan serius serta bercakap benar mengenainya,” katanya.
Cik Harris dan calon presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berada dalam persaingan sengit di negeri seperti Michigan, dengan hanya 17 hari sebelum pilihan raya 5 November.
Cik Harris memerlukan keputusan yang kukuh di bandar yang kebanyakan bukan berkulit putih di Detroit dan Atlanta serta kawasan pinggir bandar di sekitarnya – kedua-duanya mempunyai populasi besar masyarakat Arab Amerika dan Islam – untuk mengulangi kemenangan Presiden Amerika, Encik Joe Biden, pada 2020 di Michigan dan Georgia.
Encik Trump memenangi Michigan dengan 11,000 undi pada 2016. Pada 2020, Encik Biden mengalahkan beliau dengan 155,000 undi.
Pada 18 Oktober, Cik Harris memenangi sokongan daripada 50 rakyat Lebanon-Amerika yang terkenal, yang berkata Amerika telah “tidak berbelah bagi” dalam sokongannya terhadap Lebanon di bawah pentadbiran Encik Biden dan mereka menjangkakan sokongan tambahan jika Cik Harris menang pada November.
Pengesahan itu dibuat di tengah-tengah serangan berterusan Israel ke atas Lebanon yang telah membunuh sekurang-kurangnya 2,350 orang sepanjang 2023, menurut kementerian kesihatan Lebanon, dengan lebih 1.2 juta orang dipindahkan. Serangan Hezbollah telah membunuh 50 tentera Israel dan orang awam, menurut Israel.
Angka kematian meningkat di Gaza selepas serangan 7 Oktober yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang, dengan 253 lagi dijadikan tebusan, menurut pengiraan Israel.
Tindakan tentera Israel di Gaza telah membunuh lebih 42,500 orang, kata pegawai Palestin. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg