Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS jangka pelucutan senjata Hamas boleh bermula dalam 30 hari
TEL AVIV: Utusan Amerika Syarikat, Encik Jared Kushner, berkata proses pelucutan senjata Hamas boleh bermula dalam tempoh seawal 30 hari, sekali gus membuka jalan kepada pelaksanaan fasa seterusnya pelan damai Gaza, selepas mengadakan rundingan panjang dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.
Encik Kushner berkata rundingan hampir empat jam di Baitulmakdis itu memberi tumpuan kepada cara Hamas menyerahkan senjata, pihak yang akan menyelia proses tersebut serta syarat bagi pengunduran tentera Israel dan pembinaan semula Gaza.
“Kita boleh melihat kemajuan dalam tempoh seawal 30 hari, mudah-mudahan dengan mula mengeluarkan sebahagian senjata dan menutup beberapa terowong Hamas,” katanya kepada Fox News di Tel Aviv.
Beliau bagaimanapun menegaskan kemajuan hanya dapat dicapai dengan kerjasama Israel dan Hamas.
“Kita memerlukan kerjasama daripada kedua-dua pihak,” katanya sambil menyifatkan pertemuan dengan Encik Netanyahu sebagai “sangat baik”.
Rundingan itu adalah usaha terbaru pemerintahan Presiden Donald Trump untuk menghidupkan semula pelan damai Gaza yang terhenti akibat pertikaian mengenai urutan pelaksanaannya.
Israel menegaskan Hamas mesti dilucutkan senjata sepenuhnya dan Gaza dilucutkan senjata sebelum tenteranya berundur atau pembinaan semula wilayah itu dimulakan.
Hamas pula menyatakan komitmen terhadap pelan tersebut tetapi mahu Israel menghentikan serangan dan memulakan pengunduran tenteranya.
Selepas pertemuan itu, pejabat Encik Netanyahu berkata Israel dan Lembaga Keamanan pimpinan Encik Trump telah mengadakan “perbincangan mendalam dan konstruktif”.
Kedua-dua pihak bersetuju menubuhkan dua kumpulan kerja, termasuk satu yang memberi tumpuan kepada pelucutan senjata Hamas dan proses pelucutan senjata Gaza.
Menurut kenyataan itu, proses berkenaan perlu dilakukan dengan segera dan diselesaikan sebelum sebarang usaha pembinaan semula Gaza bermula.
Kumpulan kerja kedua pula akan memberi tumpuan kepada isu kebersihan, bekalan air bersih dan kesihatan awam di Gaza.
Satu lagi persetujuan penting ialah proses penyerahan dan pelucutan senjata Hamas akan diselia serta disahkan oleh seorang jeneral Amerika.
Menurut seorang pegawai Israel, “tiada pengunduran semula tentera atau pembinaan semula akan dilakukan di Jaluran Gaza sebelum Hamas dilucutkan senjata di seluruh Gaza”.
“Langkah pertama ke arah pelucutan senjata Jaluran Gaza ialah menghendaki Hamas menyerahkan senjatanya untuk dilupuskan di bawah pengawasan seorang jeneral Amerika,” katanya.
Pelan yang dipersetujui Hamas pada 30 Julai sebelum ini mencadangkan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) menyelia pelucutan senjata.
Pasukan itu, yang dirancang dikerahkan ke Gaza apabila keadaan mengizinkan, dipimpin Mejar Jeneral Amerika, Encik Jasper Jeffers.
Hamas juga sebelum ini bersetuju memindahkan senjatanya kepada badan pentadbiran Palestin yang baru, tetapi Encik Netanyahu menyuarakan keraguan terhadap aturan tersebut.
Seorang pegawai Lembaga Keamanan menegaskan semua senjata Hamas yang diserahkan akan dilupuskan secara kekal supaya tidak boleh digunakan semula.
Pada masa sama, Israel akan mengekalkan hak untuk bertindak sekiranya Hamas kembali melakukan serangan atau cuba memperoleh senjata baru.
“Jika Hamas kembali melakukan keganasan atau cuba mempersenjatai diri semula, Israel akan mengekalkan hak untuk bertindak sewajarnya,” kata pegawai itu.
Pertemuan di Baitulmakdis turut disertai utusan Lembaga Keamanan bagi Gaza, Encik Nickolay Mladenov, dan bekas Perdana Menteri Britain, Encik Tony Blair.
Sehari sebelumnya, Encik Kushner mengadakan pertemuan yang jarang berlaku dengan pemimpin politik Hamas, Encik Khalil al-Hayya, di Mesir.
Encik Kushner berkata Hamas menyampaikan mesej yang positif mengenai kesediaannya melaksanakan pelan itu, tetapi mengakui Washington masih berhati-hati terhadap komitmen kumpulan tersebut.
“Mereka mengatakan semua perkara yang betul, tetapi sudah tentu amat sukar untuk mempercayai sebuah pertubuhan pengganas yang melakukan kekejaman begitu dahsyat,” katanya.
“Kami mengadakan pertemuan yang sangat baik. Kami akan memberi mereka peluang untuk membuktikannya.”
Dalam pertemuan di Mesir, Encik Kushner dilaporkan mendesak Hamas menunjukkan bukti bahawa ia benar-benar bersedia menyerahkan senjata dan tidak lagi memainkan peranan dalam pemerintahan Gaza pada masa depan.
Hamas pula meminta Lembaga Keamanan memberi tekanan kepada Encik Netanyahu supaya menerima dan melaksanakan pelan damai tersebut.
Perkembangan terbaru itu berlaku ketika Encik Netanyahu berdepan tekanan politik menjelang pilihan raya Israel pada 27 Oktober.
Sebahagian anggota berhaluan kanan dalam gabungan pemerintahannya menentang sebarang langkah yang dianggap memberi ruang kepada Hamas.
Presiden Israel, Encik Isaac Herzog, sebaliknya menyambut baik usaha diplomatik tersebut.
Dalam pertemuannya dengan Encik Kushner, beliau memuji usaha Lembaga Keamanan untuk mewujudkan “masa depan yang lebih cerah dan selamat” bagi Israel, Gaza dan rantau itu.
Walaupun rundingan terbaru belum menyelesaikan pertikaian utama antara Israel dengan Hamas, sasaran 30 hari yang disebut Encik Kushner memberi gambaran bahawa Washington mahu mempercepatkan pelaksanaan pelan tersebut.
Namun, kejayaannya masih bergantung kepada persoalan paling sukar dalam rundingan Gaza – sama ada Hamas benar-benar menyerahkan senjatanya dan sama ada Israel bersedia memulakan pengunduran tenteranya selepas proses itu dilaksanakan.
Dalam satu temu bual yang mendapat perhatian meluas di dunia Arab, Menteri Keselamatan Negara Israel berhaluan kanan Netanyahu, Encik Itamar Ben Gvir, berkata Israel sepatutnya membunuh 30 hingga 40 orang setiap malam di Gaza.
“Bukan hanya mereka yang mengancam anda sekarang. Mereka adalah manusia yang tidak sepatutnya hidup.
“Saya sebenarnya memuji mereka dengan memanggil mereka manusia,” katanya dalam podcast bersama seorang bekas tebusan Gaza- Agensi berita
