Topik diikuti
Pergi ke BHkuUtusan Trump temui pemimpin baharu Hamas, usaha hidupkan semula pelan damai Gaza
8 negara kecam Israel tolak pelan hala tuju tamatkan perang Gaza
KAHIRAH: Utusan dan menantu Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, Encik Jared Kushner, bertemu pemimpin baharu Hamas, Encik Khalil al-Hayya, di Mesir pada 16 Ogos dalam usaha menghidupkan semula pelan damai Gaza yang berdepan kebuntuan selepas ditolak Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.
Pertemuan di bandar El-Alamein di pesisir Mediterranean itu memberi tumpuan kepada pelucutan senjata Hamas, pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari Gaza dan pelaksanaan pelan damai 20 perkara yang dikemukakan Encik Trump.
Encik Kushner mendesak Hamas mengambil “langkah konkrit yang boleh disahkan” dalam proses pelucutan senjata, yang menjadi antara tuntutan utama Encik Netanyahu.
Menurut sumber yang mengetahui perbincangan itu, Encik Kushner turut menyampaikan mesej bahawa “Gaza tidak boleh sekali lagi menjadi sumber pengganasan terhadap Israel”.
Encik al-Hayya mengetuai delegasi kanan Hamas dalam lawatan pertamanya sejak mengambil alih kepimpinan kumpulan itu pada Julai.
Pertemuan itu diadakan kira-kira dua minggu selepas Hamas menerima peringkat terbaru pelan Gaza Encik Trump dengan menyatakan kesediaan menyerahkan senjatanya kepada sebuah jawatankuasa pentadbiran baharu.
Hamas sekali lagi menyatakan komitmennya terhadap rancangan tersebut dalam pertemuan dengan Encik Kushner.
Kumpulan itu kemudian menggesa negara pengantara dan Lembaga Keamanan supaya mendesak Israel “meluluskan rancangan berkenaan dan mula menetapkan jadual pelaksanaannya”.
Pelucutan senjata Hamas merupakan antara komponen utama pelan 20 perkara Encik Trump, yang sebahagian besarnya masih belum dilaksanakan hampir setahun selepas gencatan senjata awal dicapai pada Oktober lalu.
Pelan itu menetapkan Hamas menyerahkan senjatanya secara berperingkat, sementara Israel memulakan pengunduran tenteranya dari Gaza mengikut jadual yang dipersetujui.
Bagaimanapun, Encik Netanyahu menolak pendekatan itu dan menuntut “pelucutan senjata sebenar” dilakukan sebelum sebarang pengunduran tentera Israel.
Penolakan tersebut menyebabkan usaha melaksanakan pelan Gaza itu menemui jalan buntu meskipun Encik Trump sebelum ini mengumumkan bahawa Lembaga Keamanan telah mencapai persetujuan dengan Hamas mengenai pelucutan senjata.
Encik Netanyahu kekal membantah meskipun Wakil Tinggi Lembaga Keamanan bagi Gaza, Encik Nickolay Mladenov, memberi jaminan bahawa Israel tidak perlu mengundurkan tenteranya sehingga Hamas dilucutkan senjata sepenuhnya.
Selepas pertemuan dengan Hamas, Encik Kushner dijadualkan menemui Encik Netanyahu di Israel pada 17 Ogos bagi cuba mencari jalan mengatasi kebuntuan tersebut.
Encik Kushner, yang tidak memegang jawatan rasmi dalam pemerintah Amerika, diberi peranan oleh Encik Trump bersama utusan khas Amerika, Encik Steve Witkoff, dalam beberapa usaha diplomatik utama, termasuk konflik Gaza.
Hubungan langsung Washington dengan Hamas suatu ketika dahulu jarang berlaku kerana Amerika menyenaraikan kumpulan itu sebagai pertubuhan pengganas.
Namun, pemerintahan Encik Trump semakin terbuka mengadakan rundingan langsung dengan Hamas dalam usaha menamatkan konflik, termasuk rundingan yang membantu menghasilkan gencatan senjata Oktober lalu dan pembebasan baki tebusan Israel.
Dalam lawatan sama, Encik Kushner turut bertemu Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, di El-Alamein bagi membincangkan proses damai Gaza dan usaha melaksanakan pelan Encik Trump.
Gambar yang dikeluarkan Mesir menunjukkan Encik Kushner bersama anggota Lembaga Keamanan, termasuk bekas Perdana Menteri Britain, Encik Tony Blair.
Mesir, Qatar dan Turkey, yang menjadi pengantara utama dalam rundingan Gaza, turut menyertai usaha diplomatik itu.
Dalam pada itu, lapan negara Arab dan Islam meningkatkan tekanan terhadap Israel pada 16 Ogos dengan mengecam penolakannya terhadap peta jalan berkenaan.
Mesir, Qatar dan Turkey bersama Jordan, Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Pakistan dan Indonesia berkata Israel “memikul tanggungjawab langsung dan sepenuhnya” kerana menghalang usaha damai.
Dalam kenyataan bersama, mereka berkata penolakan Israel “secara langsung mengancam untuk menggagalkan usaha meluas” Encik Trump untuk mencapai penyelesaian di Gaza.
Penyertaan UAE dalam kenyataan itu dianggap penting kerana negara berkenaan memulihkan hubungan dengan Israel pada 2020 dan sejak itu membangunkan hubungan ekonomi serta strategik dengan negara tersebut.
Parti Likud pimpinan Encik Netanyahu membalas kenyataan itu dengan mendakwa negara Arab mahu menjatuhkan Perdana Menteri tersebut menjelang pilihan raya Israel pada Oktober.
Usaha diplomatik terbaru itu berlangsung ketika serangan dan keganasan masih berlaku di Gaza meskipun gencatan senjata berkuat kuasa sejak Oktober lalu.
Beberapa orang cedera pada 16 Ogos selepas pesawat Israel menyerang sebuah rumah di barat Nuseirat, menurut jurucakap pertahanan awam Gaza, Encik Mahmoud Bassal.
Tentera Israel berkata serangan itu menyasarkan anggota Jihad Islam yang didakwa sedang merancang serangan dan mendakwa langkah diambil untuk mengurangkan risiko terhadap orang awam.
Beberapa penduduk Palestin turut cedera selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah khemah yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di barat Khan Younis.
Mayat seorang kanak-kanak, Suhail Shallouf, turut ditemukan selepas beliau dilaporkan terbunuh akibat tembakan Israel pada 15 Ogos.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas, sekurang-kurangnya 1,262 rakyat Palestin terbunuh dalam operasi Israel sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober. Angka kementerian itu dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tentera Israel pula melaporkan lima anggotanya terbunuh dalam tempoh sama.
Pertemuan Encik Kushner dengan Encik al-Hayya dan Encik al-Sisi kini meletakkan perhatian kepada rundingannya dengan Encik Netanyahu.
Hamas sudah menyatakan kesediaan menerima peta jalan pelucutan senjata, tetapi persoalan utama masih belum terjawab sama ada Israel bersedia menerima mekanisme yang menghubungkan proses penyerahan senjata Hamas dengan pengunduran tenteranya dari Gaza.
Hasil pertemuan Encik Kushner dengan Encik Netanyahu dijangka menentukan sama ada pelan damai Encik Trump dapat dihidupkan semula atau terus berdepan kebuntuan. - Agensi berita
