Topik diikuti
Pergi ke BHkuUtusan AS ke Israel, Mesir bincang langkah lanjut pelan damai Gaza
Rundingan bakal diadakan dengan pengantara dari Mesir, Qatar dan Turkey di Kahirah
WASHINGTON: Lembaga Keamanan mengesahkan penasihat kanan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, Encik Jared Kushner, akan melawat Israel dalam masa terdekat.
Ia dilakukan sebelum beliau ke Kahirah bagi mengadakan rundingan dengan negara pengantara mengenai pelaksanaan fasa seterusnya pelan damai Gaza.
Encik Kushner, yang juga menantu Encik Trump, dijangka ditemani dua utusan kanan Lembaga Keamanan, Encik Nickolay Mladenov, dan Encik Tony Blair, dalam usaha mencari jalan mengatasi perbezaan berhubung pelucutan senjata Hamas dan pengunduran tentera Israel dari Gaza.
Menurut seorang pegawai Lembaga Keamanan, ketiga-tiga mereka dijadual tiba di Israel pada 16 Ogos sebelum meneruskan lawatan ke Kahirah untuk bertemu wakil Mesir serta pengantara lain.
Agensi berita Reuters pula menyatakan Encik Kushner dijangka mengadakan rundingan dengan pengantara dari Mesir, Qatar dan Turkey di Kahirah.
Lawatan itu dilihat penting selepas Israel menyuarakan kebimbangan terhadap rancangan pelucutan senjata yang diluluskan Hamas pada 30 Julai, meskipun Amerika dan Israel secara prinsip bersetuju Gaza akhirnya perlu bebas daripada kegiatan dan keupayaan ketenteraan.
“Kami bersetuju dengan Israel mengenai matlamat melucutkan senjata Hamas, tetapi mereka telah menyuarakan kebimbangan yang berasas dan kami sedang berusaha menanganinya,” kata satu sumber yang mengetahui mengenai perkara itu kepada Reuters.
Seorang pegawai Lembaga Keamanan berkata pertemuan di Israel akan meneruskan rundingan mengenai cara melaksanakan Pelan Damai Menyeluruh 20 Perkara yang dikemukakan Encik Trump bagi menamatkan konflik Gaza.
“Di Israel, kami akan meneruskan perbincangan membina yang sedang berlangsung mengenai cara memajukan Pelan Damai Menyeluruh 20 Perkara Presiden,” katanya.
Menurut pegawai itu, Washington dan Israel berkongsi matlamat akhir yang sama, iaitu memastikan Hamas tidak lagi mempunyai keupayaan ketenteraan.
“Amerika dan Israel bersetuju mengenai keadaan akhir yang ingin dicapai, iaitu Hamas tiada keupayaan ketenteraan.
“Kami akan mendengar kebimbangan yang telah dibangkitkan dan membincangkan langkah seterusnya.
“Perkara paling penting adalah kedua-dua pihak bersetuju mengenai hasil yang ingin dicapai dan sedang mencari jalan untuk mempercepat kemajuan,” tambahnya.
Selepas rundingan di Israel, Encik Kushner, Encik Mladenov dan Encik Blair, dijangka ke Kahirah bagi memperincikan langkah pelaksanaan pelan itu bersama negara pengantara.
“Di Kahirah, pertemuan dirancang dengan pihak Mesir dan pengantara lain.
“Kami akan memperincikan langkah seterusnya bagi pelaksanaan pelan tindakan,” kata pegawai Lembaga Keamanan itu.
Menurutnya, siri pertemuan berkenaan menunjukkan kesungguhan semua pihak untuk melaksanakan pelan Encik Trump bagi mewujudkan keamanan dan keselamatan jangka panjang di Gaza.
Matlamatnya adalah untuk membentuk Gaza yang bebas ketenteraan dengan Hamas menyerahkan kuasa pentadbiran sepenuhnya kepada pemerintahan teknokrat Palestin, sekali gus membolehkan usaha pembinaan semula dilaksanakan.
Encik Trump pada akhir Julai mengumumkan bahawa persetujuan telah dicapai bagi pelucutan senjata sepenuhnya Hamas dan kumpulan bersenjata Palestin lain di Gaza.
Menurut rancangan itu, proses tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat.
Tentera Israel akan berundur dari Gaza sejajar dengan kemajuan proses pelucutan senjata, sementara Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) akan bekerjasama dengan pasukan polis Palestin yang baharu untuk menjaga keselamatan wilayah tersebut.
Namun, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, yang bakal menghadapi pilihan raya pada Oktober, secara terbuka menolak beberapa bahagian rancangan Encik Trump.
Hamas pula berkata ia menerima rancangan berkenaan, tetapi menegaskan pelaksanaannya bergantung kepada Israel terlebih dahulu memenuhi komitmennya, termasuk menghentikan serangan dan melaksanakan pengunduran tentera.
Justeru, misi Encik Kushner dijangka memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang antara kedua-dua pihak dan menentukan urutan pelaksanaan pelucutan senjata serta pengunduran Israel.
Satu sumber yang mengetahui rancangan lawatan itu berkata matlamat utama Encik Kushner adalah untuk “mencari jalan bagi meneruskan pelaksanaan pelan 20 perkara” yang dikemukakan Encik Trump pada akhir 2025.
Rundingan terkini itu berlangsung ketika gencatan senjata Gaza yang bermula pada Oktober lalu terus berdepan pelanggaran.
Menurut pegawai kesihatan Gaza, lebih 1,250 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, terbunuh dalam serangan Israel sejak gencatan senjata berkuat kuasa.
Dalam tempoh sama, empat askar Israel terbunuh dalam serangan oleh Palestin, berdasar perangkaan Israel.
Perang di Gaza telah memusnahkan sebahagian besar wilayah itu, menyebabkan puluhan ribu rakyat Palestin terbunuh, mencetuskan krisis kebuluran dan memaksa hampir seluruh penduduknya berpindah dari kediaman masing-masing.
Sejumlah pakar hak asasi manusia, sarjana dan siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut membuat penilaian bahawa tindakan Israel di Gaza merupakan genosid.
Israel menolak tuduhan itu dan menegaskan operasi ketenteraannya dilakukan sebagai mempertahankan diri susulan serangan Hamas dan kumpulan bersenjata lain pada 7 Oktober 2023.
Lawatan Encik Kushner ke Israel dan Kahirah kini dijangka menjadi ujian penting terhadap usaha Lembaga Keamanan untuk menterjemahkan persetujuan politik mengenai masa depan Gaza kepada langkah pelaksanaan di lapangan. – Agensi berita.
