WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata rundingan pusingan kedua dengan Iran dijangka berlangsung hujung minggu ini, susulan kegagalan pertemuan pertama di Islamabad pada 12 April lalu mencapai persetujuan untuk menamatkan perang secara kekal.

Bercakap kepada wartawan di luar Rumah Putih pada 16 April, Encik Trump menyatakan harapan agar gencatan senjata sementara selama dua minggu yang dijadual tamat pada 21 April tidak perlu dilanjutkan, dan kedua-dua pihak dapat mencapai persetujuan muktamad.

Presiden Trump, berkata Iran menawarkan jaminan untuk tidak memiliki senjata nuklear bagi tempoh lebih 20 tahun, salah satu isu yang menjadi halangan utama dalam rundingan di Islamabad hujung minggu lalu.

“Iran mahu membuat perjanjian, dan kami berurusan dengan mereka dengan sangat baik,” katanya.

Encik Trump turut memberi bayangan bahawa beliau mungkin akan ke Pakistan sekiranya perjanjian berjaya dimeterai.

“Jika perjanjian ditandatangani di Islamabad, saya mungkin akan pergi. Mereka mahukan saya,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mendakwa sekatan laut Amerika terhadap kapal berkait Iran di Selat Hormuz menjadi faktor utama yang memaksa Teheran kembali ke meja rundingan.

Menurutnya, garis merah Washington kekal jelas iaitu Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear.

“Mereka telah bersetuju untuk memulangkan bahan nuklear itu,” katanya, walaupun tiada pengesahan rasmi daripada Iran mengenai perkara tersebut.

Encik Trump juga menyifatkan hubungan semasa dengan Iran sebagai positif, sambil mengaitkannya dengan tekanan ketenteraan dan ekonomi.

“Kami mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Iran sekarang… dan saya fikir ini hasil gabungan kira-kira empat minggu pengeboman dan sekatan yang sangat kuat,” katanya.

Konflik dengan Iran, yang bermula pada 28 Februari susulan serangan Amerika dan Israel sudah mengorbankan ribuan nyawa serta menyebabkan harga minyak melonjak, sekali gus menimbulkan tekanan politik besar kepada presiden Amerika.

Jika gencatan senjata 10 hari Israel-Lebanon yang mula berkuat kuasa 17 April membuka jalan kepada perjanjian damai lebih luas dengan Iran, ia akan menjadi kejayaan penting bagi pentadbiran Encik Trump yang sebelum ini berdepan kesukaran untuk membuka semula Selat Hormuz yang strategik serta menyekat laluan Iran ke arah pembangunan senjata nuklear.

Sebelum ini, Amerika mengancam untuk menyambung semula serangan udara dan mengekalkan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran sekiranya Teheran enggan menerima perjanjian.

Dalam perkembangan berkaitan, televisyen negara Iran menyiarkan pertemuan antara Ketua Tentera Pakistan, Encik Asim Munir, dengan Speaker Parlimen Iran, Encik Mohammad Bagher Ghalibaf, yang mengetuai delegasi Iran dalam rundingan pertama di Islamabad.

Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Amir-Saeid Iravani, pula menyatakan Teheran “berhati-hati optimistik” terhadap rundingan tersebut dan berharap ia membawa kepada hasil yang bermakna.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, memberi amaran keras terhadap Iran.

“Jika Iran membuat pilihan yang salah, mereka akan berdepan sekatan dan serangan ke atas prasarana, tenaga dan bekalan kuasa,” katanya.

Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, yang mengetuai rundingan pertama, sebelum ini menyifatkan tawaran kepada Iran sebagai “perjanjian besar” untuk menamatkan konflik dan menyelesaikan pertikaian berhubung program nuklear negara itu.

Di pihak Israel, Menteri Pertahanan, Encik Israel Katz, memberi amaran bahawa Iran kini berada di persimpangan kritikal. “Iran berdepan pilihan bersejarah meninggalkan laluan keganasan dan senjata nuklear, atau menuju ke jurang yang lebih berbahaya,” katanya.

Dalam masa sama, ketegangan di Selat Hormuz kekal tinggi. Laluan penting yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia itu terus terganggu susulan operasi ketenteraan dan sekatan laut oleh Amerika.

Komand Pusat Amerika (Centcom) mendakwa telah menghentikan sepenuhnya perdagangan laut Iran, termasuk mematahkan sekurang-kurangnya 13 kapal yang cuba keluar dari pelabuhan negara itu.

Washington juga mengenakan sekatan baharu terhadap industri minyak Iran, dengan Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent, menyatakan ia menyasarkan “elit rejim”.

Sebagai tindak balas, pegawai kanan tentera Iran memberi amaran bahawa negara itu tidak akan membenarkan sebarang eksport atau import melalui Teluk Parsi, Laut Oman dan Laut Merah jika tekanan berterusan.

Penasihat ketenteraan kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, turut memberi amaran bahawa Iran boleh menyerang kapal Amerika sekiranya Washington cuba mengawal laluan strategik itu. – Agensi berita.