Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS janji akan terus pertahankan Filipina

Jul 22, 2025 | 3:38 PM
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Encik Pete Hegseth (kanan) berjabat tangan dengan Presiden Filipina Encik Ferdinand Marcos di Pentagon di Washington pada 21 Julai 2025.
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Encik Pete Hegseth (kanan) berjabat tangan dengan Presiden Filipina Encik Ferdinand Marcos di Pentagon di Washington pada 21 Julai 2025. - Foto AFP

WASHINGTON: Pegawai tertinggi Amerika Syarikat berjanji kepada Presiden Ferdinand Marcos dari Filipina bahawa Washington akan mempertahankan sekutu lamanya dan meningkatkan sumber ketenteraan untuk menghalang China dengan tegas.

Encik Marcos yang berada di Washington, dijangka bertemu Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang telah membingungkan ramai sekutu Eropah dengan desakan agar mereka membayar lebih untuk dilindungi sebagai sebahagian daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Kedua-dua Setiausaha Pertahanan Encik Pete Hegseth dan Setiausaha Negara Encik Marco Rubio, yang telah mengenal pasti China sebagai ancaman utama, menyatakan komitmen mereka terhadap perjanjian tujuh dekad dengan Filipina ketika mereka mengadakan pertemuan berasingan dengan Encik Marcos pada 21 Julai.

“Bersama-sama kita kekal komited kepada Perjanjian Pertahanan Bersama. Dan pakatan ini meliputi serangan bersenjata ke atas angkatan tentera, pesawat atau kapal awam kita, termasuk Pengawal Pantai kita di mana-mana di Pasifik, termasuk Laut China Selatan,” kata Encik Hegseth kepada Encik Marcos.

Berkongsi mengenai perbelanjaan pertahanan Amerika yang semakin meningkat, Encik Hegseth berkata bahawa kedua-dua negara “mesti membentuk perisai yang kuat untuk memastikan keamanan, keselamatan dan kemakmuran jangka panjang untuk negara kita”.

“Kami tidak mahu konfrontasi, tetapi kami sentiasa bersedia dan bersikap tegas,” kata Encik Hegseth.

Encik Marcos mengalu-alukan sokongan Amerika dengan menyatakan beliau akur dengan “perubahan kuasa geopolitik politik dan perkembangan politik di dunia”.

China dan Filipina telah terlibat dalam beberapa siri konfrontasi di perairan yang dipertikaikan, yang dituntut Beijing hampir keseluruhannya, walaupun terdapat keputusan antarabangsa bahawa dakwaan itu tidak mempunyai asas undang-undang.

Sejak perlantikannya pada 2022, Encik Marcos telah meningkatkan kerjasama antara bekas jajahan Amerika itu dengan Washington, kedua-duanya di bawah zaman pentadbiran Encik Trump dan pendahulunya Enciuk Joe Biden.

Encik Marcos adalah pemimpin Asia Tenggara pertama yang bertemu Encik Trump dan akan berbincang dengannya mengenai tarif Amerika yang lebih tinggi daripada yang asal dijanjikan dan pengusiran pekerja Filipina di Amerika di tengah-tengah tindakan keras Encik Trump terhadap pendatang asing. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg