WASHINGTON: Jet pejuang F-35 yang Amerika Syarikat bakal jual kepada Arab Saudi adalah kurang canggih berbanding yang dikendalikan oleh Israel, kata pegawai dan pakar pertahanan Amerika pada 19 November.
Ini, menurut mereka, adalah selaras dengan undang-undang Amerika yang menjamin kelebihan ketenteraan Israel di rantau tersebut.
Presiden Donald Trump mengumumkan penjualan itu minggu ini, tetapi pegawai berkata pesawat Saudi tidak akan mempunyai ciri-ciri unggul armada Israel yang merangkumi sistem senjata canggih dan peralatan peperangan elektronik.
Penjualan jet tersebut dibincangkan dalam lawatan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MBS), di Rumah Putih pada 18 November.
Israel menikmati kebenaran unik untuk mengubah suai F-35-nya, termasuk keupayaan untuk mengintegrasikan sistem senjatanya sendiri dan menambah keupayaan mematikan radar dan menaik taraf bahagian lain yang tidak memerlukan kelulusan Amerika.
Namun begitu, Tentera Udara Israel (IDF) menentang penjualan yang dirancang itu, memberi amaran dalam kertas kerja kepada pemimpin politik bahawa ia akan menjejas keunggulan udara Israel di rantau tersebut, lapor The Times of Israel pada 18 November.
Meskipun Saudi memperoleh jet tersebut, ia tidak mungkin menerima Peluru Berpandu Taktikal Lanjutan Bersama AIM-260, kata pengarah eksekutif Institut Pengajian Aeroangkasa Mitchell, Encik Douglas Birkey.
AIM-260 adalah peluru berpandu udara-ke-udara generasi baru yang sedang dibangunkan untuk pesawat generasi kelima.
Jangkauan jarak peluru berpandu taktikal sejauh lebih 120 batu mewakili teknologi peluru berpandu paling sensitif yang berkaitan dengan platform F-35.
Peluru berpandu itu kemungkinan besar akan ditawarkan kepada Israel.
Jet F-35 disesuaikan untuk setiap negara dan juruterbang dan Amerika mempunyai versi yang paling termaju, dengan setiap negara lain menerima piawaian pesawat pejuang yang lebih rendah.
Jet pejuang yang dihasilkan untuk Arab Saudi oleh syarikat Lockheed Martin, boleh dibuat dengan teknologi yang lebih rendah berbanding jet Israel berdasarkan pakej perisian yang dibenarkan.
Di luar perbezaan keupayaan, Israel mengekalkan kelebihan dari segi angka. Ia kini mengendalikan dua skuadron F-35, dengan skuadron ketiga dalam pesanan.
Arab Saudi pula akan dihadkan kepada dua skuadron yang tidak akan siap untuk dihantar dalam beberapa tahun.
Israel telah mengendalikan F-35 selama kira-kira lapan tahun, memberikannya pengalaman yang ketara dalam mempelajari sistem dan keupayaan pesawat tersebut.
Pegawai Amerika berkata semakan formal kelebihan ketenteraan kualitatif (QME) diperlukan sebelum penjualan dimuktamadkan.
Sebarang penjualan kepada Arab Saudi biasanya mesti diluluskan oleh Kongres Amerika. Seorang pegawai mencadangkan sokongan kuat Israel di Capitol Hill boleh menghalang kelulusan penjualan itu.
Pegawai juga menyatakan bahawa Israel sedang berusaha untuk membawa Arab Saudi ke dalam Perjanjian Abraham untuk tujuan menormalisasi serantau dan untuk mengelakkan hubungan yang tegang dengan Encik Trump.
Bantahan Kongres melalui resolusi bersama penolakan yang kalis veto, memerlukan majoriti dua pertiga di kededua dewan untuk mengatasi veto presiden, ambang yang dianggap sukar dicapai.
Penjualan itu akan meletakkan Arab Saudi setaraf dengan Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), yang juga telah ditawarkan F-35.
Perjanjian tersebut masih tergendala akibat pertikaian mengenai jadual penghantaran, keupayaan pesawat dan kebimbangan mengenai akses China kepada teknologi tersebut. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg