Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump dijangka sambut Putera Mahkota Saudi dengan penuh istiadat

Nov 17, 2025 | 1:16 PM
Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, bercakap ketika bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di Riyadh, Arab Saudi, 13 Mei 2025.
Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, bercakap ketika bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di Riyadh, Arab Saudi, 13 Mei 2025. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bersedia menerima Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MBS), di Rumah Putih pada 18 November ini dengan sambutan penuh istiadat, menandakan pemulihan sepenuhnya hubungan Washington–Riyadh selepas ketegangan yang tercetus akibat pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi pada 2018.

Menurut sumber diplomatik kepada CNN, majlis sambutan itu akan melibatkan upacara rasmi pada waktu pagi dan diikuti jamuan makan bertali leher kupu-kupu pada sebelah malam. Walaupun bukan lawatan negara secara rasmi kerana MBS bukan ketua negara, Rumah Putih tetap merancang sebuah acara pada tahap tertinggi.

Encik Trump sendiri menegaskan betapa pentingnya kunjungan itu, dengan berkata: “Kami bukan sekadar bertemu. Kami sedang memberi penghormatan kepada Arab Saudi, kepada Putera Mahkota.”

Lawatan pada 18 November ini adalah yang pertama bagi MBS ke Rumah Putih selepas lebih tujuh tahun, mencerminkan hubungan peribadi yang rapat antara kedua-dua pemimpin serta kesediaan Washington mengukuhkan semula kerjasama strategik dengan Riyadh.

Encik Trump dijangka menjadikan rundingan pemulihan hubungan Arab Saudi–Israel sebagai agenda utama lawatan kali ini. Beliau berharap Riyadh akan menyertai Perjanjian Abraham, iaitu inisiatif yang menjadi antara pencapaian utama dasar luar Amerika di bawah pentadbirannya.

“Perjanjian Abraham pasti menjadi antara topik utama perbincangan. Saya berharap Arab Saudi akan menyertai tidak lama lagi,” katanya. Rundingan pemulihan sebelum ini terhenti selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 dan perang yang menyusul, namun Encik Trump percaya peluang itu kembali terbuka selepas tercapainya gencatan senjata.

Walaupun bayangan pembunuhan Encik Jamal Khashoggi masih menghantui hubungan kedua-dua negara, ia tidak lagi menjadi penghalang. Kali terakhir MBS berada di Washington ialah pada 2018, beberapa bulan sebelum Encik Khashoggi dibunuh di Konsulat Saudi di Istanbul.

Laporan Agensi Risik Pusat (CIA mendapati MBS “kemungkinan besar” mengarahkan operasi tersebut, tetapi beliau terus menafikannya. Bagaimanapun, Encik Trump tidak pernah memutuskan hubungan dengan MBS sepanjang penggal pertamanya. Malah Presiden Joe Biden, yang suatu ketika dahulu berjanji menjadikan Arab Saudi “pariah”, akhirnya turut melawat Riyadh. Dengan lawatan baru ini, sebarang keretakan hubungan AS–Saudi dilihat sudah berakhir.

Sepanjang kunjungan MBS, jadualnya dijangka padat. Beliau akan disambut dengan upacara rasmi diiringi pancaragam tentera, menghadiri pertemuan dua hala di Pejabat Oval, dan seterusnya diraikan dalam majlis makan malam rasmi yang dianjurkan oleh Wanita Pertama Amerika, Cik Melania Trump.

Senarai tetamu kebanyakannya terdiri daripada ketua eksekutif syarikat gergasi teknologi dan tenaga, selain ahli Kongres serta gabenor yang sebahagiannya dihubungi sendiri oleh Encik Trump.

Perbincangan antara kedua-dua pemimpin akan merangkumi beberapa perkara utama. Dalam bidang pertahanan, Amerika dan Arab Saudi sedang memuktamadkan perjanjian keselamatan baru termasuk kemungkinan pembelian pesawat pejuang Amerika.

Namun pakar seperti Profesor Bernard Haykel berpendapat bahawa Riyadh mungkin tidak berminat membeli jet F-35 kerana syarat kawalan yang dikenakan Amerika Syarikat dianggap terlalu ketat. “Jika mereka membayar untuk pesawat tersebut, mereka mahu kebebasan menggunakannya. Syarat yang ditetapkan Washington dilihat sebagai pelanggaran terhadap kedaulatan Saudi,” katanya.

MBS bagaimanapun dijangka menerima perjanjian keselamatan dua hala yang memberi jaminan perlindungan Amerika dalam situasi serangan - satu bentuk komitmen lebih kukuh daripada arahan eksekutif presiden.

Dalam sektor tenaga, Riyadh terus berusaha membangunkan program nuklear awam. Arab Saudi dijangka meminta “payung nuklear” Amerika dan mungkin bersedia menangguhkan pengayaan uranium jika menerima jaminan keselamatan yang mencukupi.

Selain itu, kunjungan MBS kali ini turut disertai lebih 1,000 delegasi Saudi yang akan menghadiri Sidang Pelaburan Amerika–Saudi di Kennedy Center, bertujuan memperkukuh peluang pelaburan antara kedua-dua negara.

Kecerdasan buatan (AI) pula dijangka menjadi antara fokus terbesar lawatan ini. Arab Saudi mahu membina ekosistem AI domestik yang mampu berdiri sendiri, bukan sekadar bergantung kepada pusat data asing.

Syarikat AI Saudi, HUMAIN, sedang membangunkan sistem operasi baru untuk menyaingi Windows dan macOS. Riyadh juga mahu jaminan bahawa Amerika akan menjadi rakan strategik jangka panjang dalam pembangunan inovasi, infrastruktur data dan bakat.

Bekas Duta Amerika ke Riyadh, Encik Michael Ratney, berkata bahawa kerajaan Saudi “mahu kepastian bahawa Amerika akan terus menjadi rakan utama dalam pembangunan sektor AI mereka, bukan sekadar pembekal teknologi.”

Mineral nadir bumi, sektor penting yang kini dikuasai China, turut dijangka dibincangkan sebagai langkah Arab Saudi mengembangkan peranannya dalam rantaian bekalan global.

Lawatan MBS ke Washington ini dijangka mengukuhkan hubungan strategik kedua-dua negara, memuktamadkan perjanjian keselamatan penting, menyusun semula rangka kerja pemulihan Saudi–Israel, serta membuka peluang kerjasama baru dalam bidang tenaga, perlombongan, program nuklear awam dan kecerdasan buatan.

Ia juga dijangka menghasilkan beberapa pengumuman pelaburan besar yang akan didedahkan dalam Sidang Pelaburan Amerika–Saudi keesokan harinya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg