Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump pertahan putera Saudi atas pembunuhan Khashoggi

Sambut baik ikrar pelaburan Saudi bernilai AS$1 trilion
Nov 19, 2025 | 6:06 PM
presiden donald trump,Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bertemu dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman di Pejabat Oval Rumah Putih pada 18 November. - Foto EPA

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 18 November mempertahankan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman atas pembunuhan seorang wartawan dan mengalu-alukan ikrar pelaburan AS$1 trilion ($1.3 trilion).

Encik Trump berusaha mengukuhkan hubungan yang semakin meningkat dengan pemimpin de facto Saudi itu, dengan memberinya perarakan tentera menunggang kuda dan penerbangan yang menampilkan jet F-35 yang dikatakan akan dijual Washington kepada Riyadh tidak lama lagi.

Memulakan mesyuarat Rumah Putih mereka dengan pujian atas rekod hak asasi manusia putera itu yang “luar biasa”, Encik Trump menepis kes pembunuhan Encik Jamal Khashoggi pada 2018, dengan menyatakan “sesuatu telah berlaku” dan menyifatkan wartawan yang mati itu sebagai “sangat kontroversial”.

Encik Trump turut berang terhadap seorang wartawan, menuduhnya “memalukan” Putera Mohammed dengan mengajukan soalan mengenai pembunuhan tersebut.

Perisikan Amerika mendapati putera itu telah meluluskannya dan Encik Trump menyatakan bahawa kerabat diraja itu “tidak tahu apa-apa mengenainya”.

Putera Saudi itu membalas dengan menyatakan pembunuhan dan pemotongan anggota badan Encik Khashoggi di dalam konsulat Saudi di Istanbul adalah satu “kesilapan besar”, sambil menegaskan ia telah disiasat sepenuhnya.

Pewaris takhta Saudi itu kemudian menggembirakan Encik Trump dengan mengumumkan beliau sedang meningkatkan pelaburan Saudi sebanyak AS$600 bilion yang dijanjikannya kepada Encik Trump ketika presiden Amerika melawat negara itu pada Mei lalu.

“Kami boleh mengumumkan bahawa kami akan meningkatkan pelaburan AS$600 bilion itu kepada hampir AS$1 trilion,” kata Putera Mohammed yang juga dikenali sebagai MBS di Pejabat Oval.

Encik Trump yang tersenyum lebar, memintanya untuk mengesahkan angka tersebut, yang dijawab oleh kerabat diraja Saudi: “Sudah tentu.”

Encik Trump melakukan segala usaha sempena lawatan putera Saudi itu, memberinya layanan yang biasanya dikhaskan untuk lawatan negara ke Rumah Putih, walaupun hakikatnya beliau bukan ketua negara.

Beliau menyambut Putera Mohammed di Halaman Selatan Rumah Putih ketika tembakan meriam kedengaran, sebelum mereka menyaksikan penerbangan lintas lalu oleh jet pejuang tentera Amerika.

Pemimpin Republikan berusia 79 tahun itu kemudian menunjukkan kepada putera itu galeri potret presiden di tepi Taman Bunga Mawar – termasuk potret pendahulunya daripada Demokrat, Encik Joe Biden.

Isteri Encik Trump, Wanita Pertama Melania Trump pula mengadakan jamuan malam untuk putera Saudi itu.

Legenda bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo, yang bermain untuk pasukan bola sepak di Arab Saudi, juga akan berada di Rumah Putih untuk menyertai jamuan tersebut, kata seorang pegawai Rumah Putih.

Encik Trump memberi keutamaan kepada peningkatan hubungan dengan kerajaan Teluk yang kaya dengan minyak itu, terutama ketika beliau berusaha mengubah gencatan senjata antara Israel dengan Hamas di Gaza menjadi keamanan serantau yang bertahan lebih lama.

Encik Trump berkata beliau telah mendesak putera itu supaya memulihkan hubungan dengan Israel sebagai sebahagian daripada Perjanjian Abraham yang dilancarkannya dalam penggal pertamanya.

Menurut Putera Mohammed, beliau sedang berusaha untuk melakukannya “secepat mungkin” tetapi menegaskan akan mendapatkan “laluan penyelesaian dua negara yang jelas” untuk sebuah negara Palestin terlebih dahulu.

Encik Trump mengulangi hasrat untuk menjual jet pejuang F-35 yang didambakan oleh Arab Saudi, meskipun terdapat kebimbangan daripada Israel dan amaran bahawa China boleh mencuri teknologi jet tersebut.

Beliau juga akan memeterai perjanjian rangka kerjasama nuklear awam, kata seorang pegawai Amerika. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg