Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS kenakan sekatan ke atas pusat penipuan siber Asia Tenggara

Sep 9, 2025 | 11:03 AM
pusat penipuan, kemboja, kandal
Gambar yang dirakam pada 17 Julai 2025 dan dikeluarkan pada 18 Julai oleh Agence Kampuchea Presse (AKP) menunjukkan polis memeriksa peralatan yang dirampas semasa serbuan ke atas sebuah pusat penipuan di wilayah Kandal. - Foto AFP

WASHINGTON: Amerika Syarikat mengenakan sekatan kewangan dan diplomatik terhadap hampir 20 syarikat dan individu di Myanmar serta Kemboja yang terlibat dalam rangkaian penipuan siber berskala besar, didakwa menggunakan buruh paksa untuk menipu rakyat Amerika sehingga berbilion dolar setiap tahun.

Jabatan Perbendaharaan Amerika mengumumkan pada 8 September bahawa sembilan entiti di bandar Shwe Kokko, Myanmar yang beroperasi di bawah perlindungan Tentera Nasional Karen serta 10 syarikat dan individu di Kemboja telah disenarai hitam.

“Industri penipuan siber Asia Tenggara bukan sahaja mengancam keselamatan kewangan rakyat Amerika, malah memperhambakan ribuan mangsa melalui buruh paksa moden,” kata Encik John Hurley, Setiausaha Rendah Perbendaharaan bagi Perisikan Kewangan dan Keganasan.

“Perbendaharaan akan menggunakan segala kuasa yang ada untuk melawan jenayah kewangan terancang dan melindungi rakyat Amerika daripada kerugian besar akibat penipuan ini,” ujar Encik Hurley.

Menurut Perbendaharaan, rakyat Amerika kehilangan lebih AS$10 bilion ($13 bilion) pada 2024 akibat sindiket penipuan berpusat di Asia Tenggara.

Modus operandi rangkaian ini ialah memerangkap pencari kerja dengan tawaran palsu sebelum memaksa mereka bekerja dalam kem penipuan secara ancaman keganasan.

“Pengendali skim ini menggunakan ikatan hutang, kekerasan, malah ugutan eksploitasi seksual untuk memaksa individu menipu mangsa dalam talian,” kata kenyataan rasmi Perbendaharaan.

Mangsa dipaksa menghantar mesej teks atau menggunakan aplikasi mesej untuk menghubungi sasaran, yang kemudiannya diarahkan berkongsi akses jauh ke peranti mereka.

Antara taktik paling ketara dikenali sebagai ‘pig butchering’, di mana mangsa dipujuk melabur dalam mata wang kripto atau skim pelaburan palsu.

Kaedah ini menjerat mangsa secara beransur-ansur sebelum mengakibatkan kerugian besar.

Di Myanmar, tiga individu, Tin Win, Saw Min Min Oo dan syarikat Chit Linn Myaing Co disekat kerana bertindak bagi pihak Tentera Nasional Karen.

Turut disenarai ialah She Zhijiang, pengasas projek Yatai New City di Shwe Kokko.

Di Kemboja, antara tokoh yang dikenakan sekatan termasuk Dong Lecheng, Xu Aimin, Chen Al Len dan Su Liangsheng, bersama enam syarikat yang menukar hotel, kasino dan blok pejabat kepada pusat penipuan.

Sekatan di bawah Akta Magnitsky ini melarang mereka memasuki Amerika dan mengakses sistem perbankan antarabangsa.

Organisasi hak asasi manusia sebelum ini mengecam pihak berkuasa Kemboja kerana didakwa “menutup mata” terhadap pusat penipuan yang menggunakan buruh paksa.

Pertubuhan hak asasi antarabangsa Amnesty International dalam laporannya pada Jun lalu menuduh pemerintah Phnom Penh sengaja mengabaikan pencabulan hak asasi berkaitan sindiket ini.

Myanmar dan Kemboja kini menjadi pusat utama penipuan siber global, dikendalikan oleh rangkaian jenayah yang sering mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang dari China.

Anggaran menunjukkan kira-kira 150,000 mangsa terperangkap di pusat penipuan di Kemboja, manakala kerajaan Thailand menganggarkan sekitar 100,000 orang diperhambakan di Myanmar.

Shwe Kokko, bandar berhampiran sempadan Thailand, telah mencuri tumpuan apabila pihak berkuasa Thailand membantu ribuan mangsa asing untuk kembali ke negara asal.

Encik Hurley menegaskan: “Langkah ini adalah mesej jelas bahawa Amerika tidak akan berdiam diri terhadap jenayah kewangan berskala global yang menindas manusia dan merompak kewangan rakyat.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg