WASHINGTON/BEIRUT: Amerika Syarikat mengetuai usaha diplomatik untuk menghalang Israel daripada menyerang Beirut, ibu kota Lebanon, atau infrastruktur awam utama sebagai tindak balas serangan roket maut di Bukit Golan.
Washington giat berusaha untuk mengelak perang besar-besaran antara Israel dan Hezbollah, yang disokong Iran, selepas serangan ke atas Bukit Golan yang diduduki Israel, membunuh 12 orang pada hujung minggu, menurut beberapa sumber yang termasuk pegawai Lebanon, Iran, Timur Tengah dan diplomat Eropah kepada Reuters.
Israel dan Amerika telah menyalahkan Hezbollah atas serangan roket itu, walaupun kumpulan itu telah menafikan bertanggungjawab.
Tumpuan diplomasi mengarah kepada mengekang tindak balas Israel dengan menggesanya agar tidak menyasarkan Beirut yang padat penduduk, pinggir selatan bandar yang membentuk kawasan tengah Hezbollah, atau infrastruktur utama seperti lapangan terbang dan jambatan, kata sumber yang enggan namanya disebutkan.
Timbalan Speaker Parlimen Lebanon, Encik Elias Bou Saab, berkata beliau telah berhubung dengan pengantara Amerika, Encik Amos Hochstein, sejak serangan di Golan pada 17 Julai.
Menurutnya, Israel boleh mengelak ancaman peningkatan besar dengan menyelamatkan Beirut dan kawasan sekitarnya.
“Jika mereka mengelak orang awam dan mereka mengelak Beirut dan pinggir bandarnya, maka serangan mereka boleh dikira dengan baik,” katanya.
Pegawai Israel berkata bahawa mereka mahu menyerang Hezbollah tanpa mengheret wilayah itu ke dalam perang besar-besaran. Dua diplomat Timur Tengah dan Eropah itu berkata Israel tidak membuat sebarang komitmen untuk mengelak serangan ke atas Beirut, pinggir bandar atau infrastruktur awamnya.
Jabatan Negara Amerika berkata ia tidak akan mengulas mengenai usaha diplomatik itu.
“Sokongan kami terhadap keselamatan Israel adalah kukuh dan tidak berbelah-bahagi terhadap semua ancaman yang disokong Iran, termasuk Hezbollah,” kata seorang jurucakap jabatan tersebut.
Jurucakap Rumah Putih, Encik John Kirby, berkata Israel mempunyai hak untuk bertindak balas terhadap serangan Golan.
“Tetapi tiada siapa yang mahukan perang yang lebih luas,” tambahnya yang enggan memberi butiran usaha diplomatik itu.
Pejabat Perdana Menteri Israel dan Hezbollah enggan mengulas mengenainya.
Seorang pegawai Iran berkata Amerika telah menyampaikan mesej kepada Teheran sekurang-kurangnya tiga kali sejak serangan ke atas Bukit Golan, “memberi amaran bahawa peningkatan ketegangan akan merugikan semua pihak”.
Hezbollah ialah rangkaian kumpulan proksi serantau “Paksi Penentangan” Iran yang paling berkuasa dan bersekutu dengan kumpulan Palestin, Hamas.
Ia telah terlibat dalam kejadian saling berbalas tembakan dengan tentera Israel merentasi sempadan selatan Lebanon sejak perang Gaza meletus Oktober lalu.
Semasa perang 2006, tentera Israel telah mengebom pinggir bandar selatan Beirut, merosakkan lapangan terbang Beirut, jambatan, jalan raya, stesen minyak dan infrastruktur lain. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg